Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

COVID-19: Dua beradik 'tersangkut' lebih 25 guni barangan Raya tetap optimis

Jika sebelum ini, perniagaan di bazar Geylang boleh membawa mereka keuntungan sehingga S$20,000, kerugian yang dijangkakan tahun ini lima kali ganda jumlah tersebut! 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Jika sebelum ini, perniagaan di bazar Geylang boleh membawa mereka keuntungan sehingga S$20,000, kerugian yang dijangkakan tahun ini lima kali ganda jumlah tersebut! Itulah nasib yang menimpa adik beradik Encik Hairul Nizam, 36 tahun dan Cik Hartini Ramle, 26 tahun.

Akibat bazar Raya di Geylang Serai yang dibatalkan ekoran kebimbangan penularan COVID-19, perniagaan mereka kini tersangkut dengan lebih 25 guni barangan yang sudah ditempah.
Pakaian dan kasut Hari Raya yang mengisi guni-guni itu sudah ditempah seawal November 2019 untuk menyerikan sambutan Aidilfitri 2020. Namun ia kini tersadai di flat HDB empat bilik Encik Hairul Nizam menantikan untuk digayakan.

(Gambar: Hairul Nizam Ramle)

(Gambar: Hairul Nizam Ramle)

Produk-produk yang kebanyakannya bermotifkan batik dan moden itu sepatutnya dijual di Bazar Raya Geylang Serai April ini. Namun, sebahagiannya kini terpaksa dijual dari tingkat dua sebuah rumah kedai di North Bridge Road yang disewa Encik Hairul Nizam.

Memandangkan ruang sebesar bilik darjah itu kosong selama hampir setahun, ia memerlukan banyak kerja pembaikan. Untuk menjimatkan kos, Encik Hairul Nizam dengan bantuan rakan handal sendiri memerah keringat membersih dan mengecat ruang tersebut yang terletak di atas restoran Sabar Menanti II. Kerja-kerja ubah elok termasuk sewa menelan belanja hampir S$10,000.

Hampir 5,000 barangan yang dipamerkan di kedainya itu hanya membentuk separuh stok yang ditempah. Baki 50 peratus lagi terkandas di Malaysia dan Indonesia ekoran perintah berkurung di negara-negara tersebut.

KERUGIAN DIJANGKA MELEBIHI S$100,000

Pembatalan bazar Raya tahun ini bukan sahaja memberi kesan kepada dua beradik ini, malah kepada ibu mereka.

"Mak kami sampai tidak terkata, sampai menangis sebab dia baru nak berjinak-jinak berniaga, nak dapat pendapatan tambahan. Terus jadi macam ini. Sedih," jelas Cik Hartini yang terkenangkan detik ketika mendapat tahu berita tentang pembatalan bazar.

Namun, mereka faham langkah tersebut demi keselamatan masyarakat umum.

"Kita sudah tiada tempat untuk berniaga dan sudah menyimpan stok yang banyak. Oleh itu kami dan rakan niaga iaitu 'Dolls Cabana by Eyfa Sufi' sama-sama mengambil keputusan untuk mencari satu pop-up store berdekatan Masjid Sultan," kata Encik Hairul Nizam yang sudah hampir lima tahun membuka gerai di bazar Raya Geylang Serai sebelum ini.

"Kami sudah membelanjakan hampir S$50,000 untuk stok. Jadi secara keseluruhan, kerugian kami mungkin lebih daripada S$100,000," kata Encik Hairul Nizam.

BARU MULA PERNIAGAAN, DIPAKSA TUTUP PULA SEBAB...

Keadaan kini lebih mencabar lagi setelah Perdana Menteri mengumumkan langkah jarak selamat yang lebih ketat pada Jumaat. Mulai Selasa (7 Apr), kedai mereka akan ditutup sebulan.

Apakah perancangan adik beradik berjiwa keusahawanan ini sekiranya stok mereka tidak habis terjual?

Kedua-dua beradik itu menarik nafas panjang lalu termenung sejenak sebelum menjawab pertanyaan kami.

"Kalau tidak terjual tak tahu lah. Kita memang tidak ada stor atau gudang. Mungkin kita akan menyewa sebuah gudang untuk menampung barang-barang ini semua dan tunggu untuk setahun lagi yang akan memakan lagi kos untuk kami juga. Satu lagi caranya adalah untuk letakkan di rumah."

Walaupun rintangan demi rintangan kian melanda, dua beradik itu tetap optimis berbekalkan semangat berniaga yang kental serta usaha berterusan yang saling mendukung.

Dengan hampir 5,000 pengikut di lelaman Facebook mereka, Minimalist Studio SG, Encik Hairul Nizam dan Cik Hartini juga merancang untuk menggunakan wadah Facebook LIVE bagi menjual produk mereka.

Daya kreatif mereka untuk melancarkan penjualan menerusi Facebook juga diharap menarik pelanggan untuk terus menyemarakkan semangat Aidilfitri. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan