Images

COVID-19 buktikan model gaji progresif 'lebih baik' daripada gaji minimum, kata Zaqy Mohamad

SINGAPURA: Pandemik COVID-19 menunjukkan model gaji progresif (PWM) adalah "lebih baik daripada sekadar gaji minimum semata-mata", kata Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Zaqy Mohamad di Parlimen pada Selasa (6 Jul).

Ini kerana model gaji progresif, yang merundingkan pertumbuhan gaji dengan rakan kongsi perikatan tiga pihak, mewujudkan satu persetujuan berdasarkan sektor mengenai kadar pertumbuhan yang sesuai, ujar beliau.

Khususnya, kata Encik Zaqy, "pendekatan mengikut sektor" membolehkan model gaji progresif dilancarkan baru-baru ini bagi sektor pembersihan serta juga sektor-sektor lain yang dapat disesuaikan kepada model tersebut dalam jangka masa pendek.

"Gaji minimum bulat-bulat mungkin tidak dapat mencapai kesepakatan ini atau berjaya seperti pertumbuhan gaji," jelasnya.

"Sektor-sektor seperti pelancongan, penerbangan, hospitaliti dan lain-lain yang terjejas teruk mungkin tidak boleh bersetuju dengan langkah seumpama itu. Pendekatan bersasar kami membolehkan gerakan perikatan tiga pihak untuk memajukan PWM pada satu rentak yang bergantung kepada bagaimana sektor-sektor berbeza menunjukkan prestasinya dalam pasaran."


Beliau juga menarik perhatian bahawa model tersebut membolehkan pihak-pihak berkepentingan untuk merancang lebih awal kenaikan pembayaran model gaji progresif dalam kontrak mereka bersama pembeli perkhidmatan buat jangka masa bertahun-tahun ke depan.

Satu semakan yang dijalankan pada pertengahan tempoh oleh jawatankuasa perikatan tiga pihak juga memastikan mana-mana peningkatan kekal mampan, kata Encik Zaqy.

Satu keprihatinan utama dalam menaikkan gaji juga adalah sama ada ia akan menyumbang kepada lebih banyak pengangguran. Namun, kesepakatan yang diwujudkan dalam kalangan pihak berkepentingan dalam model gaji progresif menyediakan keyakinan lebih tinggi bahawa sebarang kenaikan gaji "boleh disokong oleh pasaran dan masyarakat", serta tidak akan meletakkan risiko pada pengambilan pekerja, menurut beliau.

Encik Zaqy menekankan bahawa masyarakat mempunyai peranan dalam membantu memperkasa pekerja bergaji rendah.

Misalnya, Encik Zaqy memberi contoh, majikan perlu memacu daya penghasilan dengan teknologi lebih baik atau meneroka model perniagaan baru. Para pembeli perkhidmatan perlu "mendakap kontrak berdasarkan hasil dan tempoh kontrak yang menggalakkan pelaburan dalam teknologi baru".

Pengguna juga perlu menyumbang dengan membayar tinggi sedikit bagi perkhidmatan serta produk sedang sektor-sektor melaksanakan model gaji tersebut, tambah Encik Zaqy.

PERLUAS MODEL KE SEKTOR LAIN

Selain membantu pekerja berpendapatan rendah mengatasi pandemik, ia juga penting untuk membantu memperkukuhkan prospek jangka panjang mereka. Inilah sebab sebuah kerja kumpulan perikatan tiga pihak yang tertumpu kepada kumpulan berkenaan ditubuhkan tahun lalu.

Ia akan mengeluarkan saranan-saranannya "pada bulan-bulan mendatang", kata Encik Zaqy.

Beliau menekankan matlamat Pemerintah ialah untuk melaksanakan model gaji progresif ke atas semua sektor, dengan tiga sektor berikutnya melibatkan perkhidmatan makanan, runcit dan pengurusan sisa.

Kelompok perikatan tiga pihak yang mengendalikan rancangan itu akan mengambil kira keadaan pasaran serta apa yang boleh dilaksanakan setiap sektor sedang mereka berusaha untuk pulih daripada kemelesetan ekonomi akibat pandemik, kata Encik Zaqy.

Beliau menambah sektor-sektor tersebut "sedang membuat permulaan yang baik" dalam membangunkan model masing-masing dan komited untuk menyerahkan saranan-saranan mereka mengenai perkara itu sebelum hujung tahun ini.  

- CNA/FZ/fz

Top