Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

COVID-19: Bersihkan permukaan barang biasa disentuh, termasuk telefon bimbit

Orang awam harus lebih peka tentang barang-barang yang biasa mereka sentuh, termasuk telefon bimbit, bagi melindungi diri mereka daripada penyakit virus korona COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: Bersihkan permukaan barang biasa disentuh, termasuk telefon bimbit

Gambar fail seseorang menggunakan telefon bimbit.

Diterbitkan : 13 Feb 2020 01:43PM Dikemas Kini : 13 Feb 2020 01:49PM

SINGAPURA: Orang awam harus lebih peka tentang barang-barang yang biasa mereka sentuh, termasuk telefon bimbit, bagi melindungi diri mereka daripada penyakit virus korona COVID-19.

Semasa satu sidang media yang diadakan pada Rabu (12 Feb), pengarah khidmat perubatan Kementerian Kesihatan (MOM) Kenneth Mak menasihati orang ramai supaya membersihkan permukaan telefon bimbit mereka. Encik Mak menekankan bahawa virus itu boleh menular dalam bentuk cecair dan permukaan yang tercemar.

Beliau menambah buat masa ini, tiada sebarang bukti kukuh yang menunjukkan bahawa virus itu boleh merebak melalui udara.

Encik Mak berkata terdapat mesej-mesej "berniat baik" yang menular dalam kalangan orang awam, yang bertujuan menggalak amalan baik demi melindungi diri mereka daripada virus COVID-19. Beliau bagaimanapun menekankan bahawa amalan mencuci tangan adalah "pertahanan terbaik" terhadap penularan virus itu dalam kalangan masyarakat.

"Nasihat terbaik yang boleh saya berikan kepada anda bagi melindungi diri sendiri adalah, mencuci tangan anda dengan sabun dan air secara tetap, serta menjadi lebih peka tentang barang-barang yang anda biasa sentuh," katanya.

Encik Mak merujuk kepada telefon bimbit sebagai salah satu objek yang paling biasa disentuh oleh orang ramai.

"Yang penting bukanlah menggunakan pelitup tetapi sebaliknya, mencuci tangan," tambahnya.

Mereka yang berasa tidak sihat harus berjumpa doktor dengan secepat mungkin, katanya sambil menambah bahawa para pesakit tidak seharusnya berjumpa dengan berbilang doktor kerana ia akan menjadikannya sukar untuk memastikan sama ada mereka sudah jatuh sakit bagi tempoh masa yang berpanjangan.

Buat masa ini, Singapura sudah mengesahkan 50 kes jangkitan COVID-19.

Sehingga Rabu (12 Feb), lagi enam pesakit sudah dibenarkan pulang dari hospital. Dengan itu, seramai 15 orang sudah sembuh sepenuhnya. Seramai 35 pesakit masih berada di hospital, termasuk lapan yang berada dalam Unit Jagaan Rapi (ICU).

Virus COVID-19 sudah membunuh lebih 1,300 di China dan menjangkiti lebih 60,000 orang sejak ia menular pada lewat tahun lalu.

Virus itu sudahpun merebak ke beberapa negara lain termasuk Singapura, Jepun, Thailand dan Amerika Syarikat. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkannya sebagai darurat kesihatan awam pada bulan lalu. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan