Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

COVID-19: Bekalan bekas makanan dijangka berkurangan di tengah pemutus jangkitan

Langkah pemutus rantaian jangkitan yang berpanjangan di Singapura boleh menimbulkan cabaran kepada syarikat-syarikat yang membekalkan bekas makanan pakai buang, memandangkan permintaan meningkat untuk pembelian makanan dibawa pulang dan khidmat penghantaran.

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: Bekalan bekas makanan dijangka berkurangan di tengah pemutus jangkitan

(Gambar hiasan: Unsplash/James Sutton)

Diterbitkan : 09 Apr 2020 04:14PM Dikemas Kini : 09 Apr 2020 04:22PM

SINGAPURA: Langkah pemutus rantaian jangkitan yang berpanjangan di Singapura boleh menimbulkan cabaran kepada syarikat-syarikat yang membekalkan bekas makanan pakai buang, memandangkan permintaan meningkat untuk pembelian makanan dibawa pulang dan khidmat penghantaran di tengah-tengah langkah jarak selamat COVID-19 yang diperketat.

Meskipun para pembekal bekas makanan mengatakan mereka sudah menyimpan stok tambahan, sebilangan daripada mereka menyuarakan kebimbangan berhubung permintaan yang meningkat semasa tempoh sebulan langkah pemutus rantaian jangkitan.

Pengarah New Modern Metal & Plastics Stephanie Ng berkata syarikatnya sudah memperoleh bekalan sebulan sebagai persiapan menangani langkah-langkah baru itu.

"Minggu lalu, saya sudah menghubungi syarikat pengeluar di Malaysia untuk menghasilkan hanya barang-barang penting (yang digunakan dalam pesanan makanan untuk dibawa pulang)," kata Cik Ng, yang syarikatnya melihat lonjakan kira-kira 30 peratus dalam permintaan untuk bekas makanan.

Sebahagian besar permintaan yang bertambah itu datang daripada kedai makanan dan minuman (F&B) yang membuat "pembelian cemas", kata pengarah operasi Dillic International, Priscilla Ng.

"Sejak pengumuman oleh Perdana Menteri pada Jumaat lalu, kami mencatatkan peningkatan jualan mulai Jumaat petang," katanya sambil menambah bahawa beliau juga menerima banyak pertanyaan melalui emel, telefon dan wadah online dari pelanggan lama dan baru.

Permintaan bagi produk bungkusan makanan biasa meningkat 30 peratus, sementara permintaan bagi produk khusus mengikut permintaan pelanggan meningkat sebanyak 5 peratus.

Meskipun syarikat itu mempunyai cukup bekalan sehingga Mac, dan kembali mendapat bekalan dari China, Cik Ng masih menjangkakan akan wujud kekurangan bekas makanan pada minggu-minggu akan datang.

"Kami tidak diberi cukup masa untuk buat persiapan... Mustahil untuk mendapatkan bekalan dengan begitu cepat," katanya, sambil menambah bahawa syarikat itu memerlukan dua hingga tiga minggu untuk membawa masuk stok baru.

"Jadi apa-apa stok yang masih ada di Singapura harus cukup bertahan," katanya


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan