Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

COVID-19: Bar dan tempat hiburan akan ditutup sementara

Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa (24 Mac) mengumumkan langkah-langkah lebih ketat untuk mengurangkan penularan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 24 Mar 2020 09:19PM Dikemas Kini : 25 Mar 2020 09:16AM

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa (24 Mac) mengumumkan langkah-langkah lebih ketat untuk mengurangkan penularan COVID-19.

Ini termasuk menutup bar dan tempat-tempat hiburan seperti panggung wayang dan tempat karaoke.

Semua kelas tuisyen di pusat-pusat tuisyen dan kelas-kelas pengayaan serta aktiviti keagamaan juga digantung.

Tempat-tempat awam lain seperti pusat beli-belah, muzium dan tempat-tempat daya tarikan boleh terus beroperasi.

Namun para pengendali perlu mematuhi beberapa langkah.

Antaranya, mengurangkan ruang operasi di dalam satu tempat pada satu masa, agar tempat itu tidak mempunyai lebih dari satu orang bagi setiap 16 meter persegi.

Perhimpunan di luar tempat kerja dan sekolah-sekolah perlu dihadkan kepada 10 orang.

RAWATAN COVID-19 TANPA SUBSIDI BAGI YANG INGKAR NASIHAT TIDAK KE LUAR NEGARA

Sementara itu, masih terdapat sekitar 1,000 penduduk Singapura dan pemegang pas jangka panjang yang melancong ke luar negara setiap hari.

Golongan ini menimbulkan risiko kepada kesihatan penduduk Singapura apabila mereka pulang ke sini.

Lantas, mulai 27 Mac, warga Singapura dan pemegang pas jangka panjang yang mengabaikan nasihat perjalanan dan masih melancong ke luar negara akan dikenakan bayaran tanpa subsidi jika mereka perlu dirawat di hospital awam sekiranya diuji positif COVID-19. 

WARGA S'PURA PULANG DARI BRITAIN, AS DIBAWA TERUS DARI LAPANGAN TERBANG KE HOTEL

Dalam pada itu, rakyat Singapura yang pulang dari Britain dan Amerika Syarikat pula akan dibawa dari lapangan terbang terus ke hotel bagi mematuhi notis Jangan Keluar Rumah selama 14 hari.

Setiap daripada mereka akan mempunyai bilik dan tandas sendiri dan makanan juga disediakan, kata MOH.

Mereka yang pulang daripada negara-negara itu itu merangkumi jumlah terbesar kes COVID-19 yang diimport sejauh ini, dan langkah ini dapat mencegah virus itu dijangkiti anggota keluarga mereka yang lain, kata Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong.

Encik Wong bagaimanapun tidak mendedahkan lokasi kemudahan itu tetapi mengatakan ia terletak di "merata Singapura".

Ia akan berkuat kuasa mulai 11.59 malam pada Rabu (25 Mac).

Menurut Encik Wong, sekitar 1,200 orang pulang ke Singapura dari AS dan Britain setiap hari, namun jumlah itu mungkin berubah.

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : CNA/NF/HK/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan