Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bantuan Dana Ketabahan dipertingkat bagi keluarga bergaji rendah terjejas COVID-19

Mereka yang layak bakal menerima dua bayaran sehingga S$1,000 setiap satu, jika anggota keluarga kehilangan pendapatan selepas dikenakan kuarantin, menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau cuti ketidakhadiran lebih daripada sekali.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 01 Aug 2021 06:30PM Dikemas Kini : 01 Aug 2021 08:48PM

SINGAPURA: Keluarga berpendapatan rendah yang terjejas oleh pandemik COVID-19 akan menerima sokongan tambahan daripada The Courage Fund atau Dana Ketabahan, menurut Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) pada Ahad (1 Ogos).

Singapura kembali ke Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) bulan lalu di tengah-tengah lonjakan kes tempatan COVID-19. Sebahagian besar kes itu berhubung kait dengan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong, yang setakat Sabtu mempunyai 1,027 kes.

Dana Ketabahan ditubuhkan pada 2003 untuk memberi bantuan kepada mangsa penularan sindrom pernafasan akut (SARS), serta kakitangan penjagaan kesihatan dan tanggungan mereka. Dana itu juga digunakan untuk memberi sokongan kepada mereka yang terjejas COVID-19.

APA YANG DITAMBAH?

Di bawah dana tersebut, isi rumah berpendapatan rendah layak mendapat bayaran sekali sahaja tidak lebih S$1,000 jika anggota keluarga mereka dijangkiti COVID-19 atau perlu jalani kuarantin, Notis Jangan Keluar Rumah (SHN), atau mengambil cuti ketidakhadiran.

Nilai bantuan berdasarkan pendapatan per kapita isi rumah setelah terjejas COVID-19. Setakat 13 Julai, lebih 2,300 isi rumah telah dibantu di bawah skim ini.

Mulai Ahad, dana tersebut akan menyediakan hingga dua agihan bantuan kepada isi rumah yang terjejas kuarantin, SHN, atau cuti ketidakhadiran lebih daripada sekali dan masih mengalami "kehilangan pekerjaan atau pendapatan yang berlarutan", menurut kenyataan media tersebut.

"Ia juga akan menilai pemohon berdasarkan pendapatan sedia ada dan bukan pendapatan sebelum COVID-19, untuk menunjukkan dengan lebih tepat keadaan kewangan pemohon," kata MSF dan NCSS.

SIAPA YANG LAYAK?

Untuk layak menerima bantuan di bawah skim tersebut, sekurang-kurangnya seorang anggota isi rumah itu haruslah warga Singapura atau penduduk tetap.

Isi rumah juga harus mempunyai sekurang-kurangnya seorang anggota yang terkena jangkitan COVID-19 atau dikuarantin, menjalani SHN atau cuti ketidakhadiran.

Isi rumah mesti mengalami kehilangan pendapatan sepenuhnya atau sebahagian - sekurang-kurangnya 10 peratus - akibat arahan kuarantin, SHN atau cuti ketidakhadiran itu.

Bagi sokongan yang dipertingkat, pendapatan bulanan kasar isi rumah harus tidak lebih S$6,200 atau pendapatan bulanan kasar per kapita tidak melebihi S$2,000.

Penerima ComCare juga boleh memohon bantuan di bawah Dana Ketabahan sekiranya mereka memenuhi kriteria kelayakan.

BAGAIMANA UNTUK BUAT PERMOHONAN?

Setakat 13 Julai, Dana Ketabahan telah menerima derma bernilai S$18.4 juta bagi COVID-19, dengan sekitar S$2.7 juta sudah diagihkan kepada lebih 2,500 penerima.

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli berkata disebabkan kesan COVID-19 terus berlarutan, isi rumah berpendapatan lebih rendah akan lebih terjejas dari segi kewangan.

Beliau berharap sokongan yang dipertingkat ini akan membantu mereka "bangkit semula" dengan lebih cepat.

Isi rumah yang layak boleh meminta bantuan dana melalui portal online  https://go.gov.sg/tcf.

Orang ramai yang memerlukan bantuan dalam mengisi borang permohonan mereka boleh menghubungi talian hotline ComCare di 1800 222 0000, e-mel Ask_SSO [at] msf.gov.sg atau membuat janji temu untuk mengunjungi Pejabat Perkhidmatan Sosial terdekat mereka bagi mendapatkan bantuan.

Permohonan mesti dibuat dalam tempoh enam bulan dari tamat tempoh kuarantin, SHN, cuti ketidakhadiran atau hari keluar dari hospital akibat COVID-19, berdasarkan tarikh paling lewat. Pemohon yang layak boleh menerima dana dalam dua hingga tiga minggu setelah menyerahkan maklumat atau dokumen yang diperlukan.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan