Images
  • pm lee (7)
    (Gambar: Mediacorp/Jeremy Long)

COVID-19 akan mempunyai kesan 'signifikan' terhadap ekonomi: PM Lee

SINGAPURA: Situasi virus COVID-19 yang berlaku sekarang akan mempunyai kesan ketara terhadap ekonomi Singapura dalam beberapa suku akan datang, menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (14 Feb).

Menurutnya, penularan virus itu "amat hebat".

Encik Lee menarik perhatian kepada bagaimana ekonomi di rantau ini lebih terkait berbanding ketika wabak SARS menular pada 17 tahun lalu, sambil menekankan peranan lebih besar yang dimainkan oleh China dalam rantau ini.

"Saya tidak boleh katakan sama ada kita akan mengalami kemelesetan ekonomi atau tidak," kata Encik Lee.

"Ia satu kemungkinan, tetapi ekonomi kita pastinya akan terjejas."

Dalam mesej kepada Singapura yang disiarkan minggu lalu, Perdana Menteri menyatakan Singapura mungkin akhirnya perlu menukar pendekatan dalam menangani virus itu jika jumlah kes jangkitan yang disahkan terus meningkat.

"Saya tidak fikir kita telah sampai hingga ke tahap begitu," katanya. "Ia satu situasi yang berkembang. Setiap hari ia membawa perkembangan baru."

Sedang jumlah kes adalah tinggi, kes-kes yang berlaku baru-baru ini pula kebanyakkannya dapat dikesan, menurut Encik Lee.

Beliau menambah, kehidupan seharian perlu diteruskan meskipun Singapura perlu membuat "keputusan wajar" tentang langkah terbaik dalam menangani virus berkenaan.

Tentang sama ada Singapura perlu menerima pemeriksaan suhu badan dan langkah-langkah lain sebagai satu kebiasaan baru, Encik Lee mengatakan berapa lama langkah sedemikian diperlukan bergantung kepada perkembangan wabak itu di Singapura, rantau ini dan seluruh dunia.

Sedang Singapura diisytiharkan sebagai bebas wabak SARS dalam kurang empat bulan, virus COVID-19 "mungkin tidak begitu cepat", katanya.

"Ia akhirnya akan berlalu, dan kami akan pulang kepada keadaan biasa tetapi saya tidak boleh katakan berapa lama masa yang diambil."

Berhubung penubuhan jawatankuasa kerja bersama antara Malaysia dengan Singapura, Encik Lee mengatakan meskipun kedua-duanya adalah dua negara berasingan, mereka merangkumi "satu kawasan" dari segi perspektif kesihatan awam, sambil menarik perhatian kepada jumlah trafik yang tinggi antara kedua-dua buah negara setiap hari.

Oleh demikian, Malaysia dan Singapura perlu bekerjasama dalam menangani masalah ini, katanya.

Vietnam, sebagai pengerusi ASEAN, juga akan menyelaraskan respons kumpulan itu terhadap virus tersebut.

"Bagi kita di Singapura, jika rantau ini mengalami masalah, ia akan menjadi amat sukar bagi Singapura untuk mengasingkan diri dan memastikan masalah itu berada di luar sempadan kita."

Encik Lee sedang bercakap kepada media di luar lawatannya ke Terminal 3 Lapangan Terbang Changi hari ini.

Lapangan Terbang Changi berada di barisan hadapan situasi virus COVID-19 kini, kata Encik Lee, sambil menarik perhatian bahawa industri penerbangan terjejas teruk dengan jumlah penerbangan ditawarkan berkurangan.

Semasa lawatannya itu, Encik Lee diiringi Menteri Negara Kanan bagi Pengangkutan dan Kesihatan Lam Pin Min dan mereka telah bertemu dengan pelbagai kakitangan lapangan terbang, termasuk pengendali bagasi, pegawai daftar masuk dan imigresen.

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

- CNA/HA/ha

Top