Images
  • virus (5)
    (Gambar: TODAY/Yong Jun Yuan)

COVID-19: 8 kes baru disahkan di S'pura, semua ada kaitan dengan kes lalu

SINGAPURA: Lapan kes baru jangkitan virus korona COVID-19 diumumkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) pada Khamis (13 Feb), dengan semuanya mempunyai kaitan dengan kes-kes lalu.

"Siasatan epidemiologi lebih lanjut dan pengesanan sentuh menemui kaitan antara kes-kes yang diumumkan sebelum ini dengan kes-kes baru," menurut MOH dalam kenyataan medianya.

Ini membawa jumlah keseluruhan di Singapura kepada 58 orang.

Lima kes baru dikaitkan dengan kelompok Gereja Grace Assembly of God, manakala dua lagi dikaitkan dengan kelompok di tapak binaan Seletar Aerospace Heights.

Salah satu kes baru melibatkan anggota keluarga pekerja DBS, yang diuji positif virus korona COVID-19 pada Rabu.

LIMA KES BARU ADA KAITAN DENGAN GEREJA

Kes ke-51, ke-53, ke-54, ke-57 dan ke-58 semuanya dikaitkan dengan kelompok yang ada kaitan dengan Gereja Grace Assembly of God, di mana terdapat dua kes yang disahkan sebelumnya (ke-48 dan ke-49).

Lima kes baru itu tidak mempunyai sebarang rekod perjalanan ke China baru-baru ini.

DUA KES BARU DIKAITKAN DENGAN TAPAK BINAAN

Dua daripada pesakit baru - kes ke-52 dan ke-56 - dikaitkan dengan kelompok di tapak binaan Seletar Aerospace Heights di mana terdapat dua kes yang disahkan sebelum ini.

Kedua-dua kes baru itu tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China baru-baru ini.

PEKERJA DBS DAN ANGGOTA KELUARGANYA

Salah satu kes baru, kes ke-55 adalah rakyat Singapura berusia 30 tahun yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China baru-baru ini. Beliau adalah anggota keluarga kes ke-50, seorang pekerja DBS yang diuji positif virus COVID-19 pada Rabu.

Setakat sehingga Khamis, sekurang-kurangnya 1,367 orang maut di China dan hampir 60,000 dijangkiti COVID-19.

Perangkaan itu diumumkan selepas wilayah Hubei melaporkan hampir 15,000 kes baru setelah pihak berkuasa menukar kaedah diagnosis virus itu.

Menurut para pegawai, imej paru-paru bagi kes-kes yang disyaki kini dianggap sudah cukup untuk membuat diagnosis dan bukan setakat ujian nukleik biasa.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

- CNA/TQ/tq

Top