Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

COVID-19: 3 kelompok baru dikenal pasti, 130 jangkitan tempatan dilaporkan di S'pura

Singapura melaporkan 130 kes tempatan baru COVID-19 setakat tengah hari Jumaat (23 Jul), termasuk 78 kes yang berhubung kait dengan kelompok jangkitan Pelabuhan Perikanan Jurong dan enam lagi dengan kelompok KTV.

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: 3 kelompok baru dikenal pasti, 130 jangkitan tempatan dilaporkan di S'pura

Kerja-kerja pembersihan dijalankan di Pelabuhan Perikanan Jurong. (Gambar: Grace Fu/Facebook)

Diterbitkan : 24 Jul 2021 12:58AM Dikemas Kini : 24 Jul 2021 01:00AM

SINGAPURA: Singapura melaporkan 130 kes tempatan baru COVID-19 setakat tengah hari Jumaat (23 Jul), termasuk 78 kes yang berhubung kait dengan kelompok jangkitan Pelabuhan Perikanan Jurong dan enam lagi dengan kelompok KTV.

Setakat Jumaat malam, sebanyak 665 kes dikaitkan dengan kelompok jangkitan Pelabuhan Perikanan Jurong/Pasar & Pusat Penjaja Hong Lim, menjadikannya kelompok aktif terbesar di Singapura.

Kelompok KTV pula kini mempunyai 227 kes.

Sebanyak 64 jangkitan yang dilaporkan hari ini dikaitkan dengan kes terdahulu dan sudah dikuarantin manakala 37 dikesan melalui ujian pengawasan.

Baki 29 jangkitan tidak berkait dengan mana-mana kes sebelumnya, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kemas kini hariannya.

Dua kes melibatkan warga emas berusia lebih 70 tahun yang tidak divaksinasi atau belum selesai divaksinasi dan berisiko mendapat penyakit lebih serius, tambah MOH.

Terdapat juga tiga kes import yang dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan setibanya di Singapura.

Salah satu jangkitan tersebut dikesan ketika tiba di Singapura manakala lagi dua jatuh sakit semasa tempoh SHN atau pengasingan.

Kesemuanya, Singapura melaporkan 133 kes baru COVID-19 pada Jumaat.

TIGA KELOMPOK BARU

Tiga kelompok baru jangkitan COVID-19 telah dikenal pasti. Kelompok yang berhubung kait dengan Kes 65342 mempunyai tiga kes manakala kelompok-kelompok dikaitkan dengan Kes 65360 dan 65484 masing-masing mempunyai empat dan lima kes.

MOH tidak mendedahkan maklumat lebih lanjut mengenai Kes 65342, 65360 dan 65484.

Enam kelompok ditutup setelah tiada lagi kes dikaitkan dengannya selama dua tempoh pemeraman lalu, tambah kementerian itu. Kelompok-kelompok itu berhubung kait dengan ION Orchard, serta dengan Kes 64135, 64349, 64359, 64374 dan 64444.

Pada masa ini terdapat 26 kelompok aktif COVID-19 di Singapura, setiap mempunyai antara tiga hingga 665 jangkitan.

KIT UJIAN SENDIRI ART

MOH , dengan kerjasama Persatuan Rakyat (PA) akan mengedarkan kit ujian pantas antigen (ART) DIY kepada orang ramai dari 24 hingga 25 Julai menerusi pusat Jawatankuasa Penduduk (RC) dekat Pasar Basah Admiralty serta Pasar & Pusat Makanan Bukit Timah.

Pengagihan kit ujian swab sendiri itu adalah sebahagian daripada siasatan kementerian ke atas jangkitan COVID-19 melibatkan pasar dan pusat makanan yang mungkin dimulakan oleh penjual ikan yang pernah berkunjung ke Pelabuhan Perikanan Jurong.

Mereka yang layak mendapatkan kit tersebut sangat digalakkan agar mengambil dan menggunakannya, nasihat MOH.

11 WARGA EMAS SAKIT TERUK: MOH

MOH menyatakan jumlah keseluruhan kes baru dalam masyarakat telah meningkat kepada 961 kes pada minggu lalu daripada 178 kes minggu sebelumnya.

"Kita mungkin akan terus menyaksikan jumlah kes yang tinggi dalam beberapa hari mendatang sedang kami meningkatkan usaha untuk mengesan jangkitan agar penularannya dalam masyarakat dapat dikekang," tambah kementerian itu.

Jumlah kes yang tidak berhubung kait dalam masyarakat juga meningkat kepada 97 kes minggu lalu berbanding 18 kes pada minggu sebelumnya.

Sebanyak 447 pesakit kini dirawat di hospital, dengan kebanyakannya dalam keadaan baik dan dalam pemantauan.

Pada masa ini terdapat 11 kes penyakit serius yang memerlukan sokongan oksigen, dan dua lagi berada dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi.

Tidak seorang pun dalam kalangan 13 kes ini yang telah lengkap divaksinasi. Sebelas orang berusia 60 tahun ke atas, yang tidak menerima suntikan vaksin atau belum lengkap divaksinasi, telah jatuh sakit, menurut MOH.

"Terdapat bukti yang berterusan bahawa vaksinasi membantu mencegah penyakit serius jika seseorang dijangkiti. Sepanjang 28 hari lalu, 10 kes tempatan memerlukan bantuan oksigen, dimasukkan ke unit jagaan rapi atau meninggal dunia. Lapan daripada mereka belum menerima suntikan vaksin, dua belum selesai divaksinasi dan tidak seorang pun daripada mereka yang sudah mendapatkan vaksinasi penuh," tambah Kementerian Kesihatan.

LEBIH RAMAI WARGA SENJA DIVAKSINASI

Dalam satu catatan Facebook pada Jumaat malam, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung mendedahkan bahawa lebih ramai penduduk berusia 70 tahun ke atas sedang mendapatkan suntikan vaksin.

"Sejak tiga hari lalu, bilangan warga emas berusia 70 tahun ke atas yang tampil untuk mendapatkan dos pertama adalah sekitar 1,000 sehari, seganda jumlah sebelumnya," katanya.

Beliau mengiktiraf usaha yang dibuat doktor umum, sukarelawan, pasukan vaksinasi bergerak, serta rakan-rakan dan anggota keluarga penduduk warga emas untuk menggalak mereka agar mendapatkan suntikan vaksin.

"Jika kita dapat mengekalkannya selama beberapa hari atau minggu, mudah-mudahan kita dapat meningkatkan kadar vaksinasi dalam kalangan warga emas menjangkaui 80 peratus," kata Encik Ong.

Sehingga Jumaat, Singapura telah melaporkan 63,924 kes COVID-19. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan