Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

COVID-19: 20 orang didenda hadiri pesta sambut tahun baru di cawangan KTV tanpa lesen

Seramai 20 orang didenda S$3,500 setiap seorang hari ini (8 Nov) kerana melanggar peraturan perhimpunan sosial COVID-19 dengan menghadiri pesta kiraan detik ambang tahun baru dengan 44 peserta.

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: 20 orang didenda hadiri pesta sambut tahun baru di cawangan KTV tanpa lesen

(Gambar fail Tradehub 21)

Diterbitkan : 08 Nov 2021 01:58PM Dikemas Kini : 08 Nov 2021 02:05PM

SINGAPURA: Seramai 20 orang didenda S$3,500 setiap seorang hari ini (8 Nov) kerana melanggar peraturan perhimpunan sosial COVID-19 dengan menghadiri pesta kiraan detik ambang tahun baru dengan 44 peserta.

Kesemua mereka mengaku bersalah atas satu pertuduhan masing-masing meninggalkan rumah mereka untuk berjumpa dengan orang lain di Tradehub 21 pada lewat 31 Disember 2020, atau awal 1 Jan 2021, untuk minum arak dan berbual-bual.

Tertuduh, berusia antara 22 dengan 34 tahun, ialah: Ang Jun Xiang Dylan, Ang Kun Teng Javier, Cheong Zhen Qin Hermen, Chong Jia Hao, Choo Han Yi, Chua Cheng Fang Caroline, Goh Jing Kiat, Ho Hsien Ni, Joey Pay, Khoo Yan Jie, Koh Wei Jian, Lim Zhuang Yu Fabian, Nicole Low Ming Mei, Pang Pei Yi Gerald, Qiu Haili, Sammy Lim Zhi Wei, Samuel Tan Jia Hao, Tan Siang Chuan, Kevin Seow Xu Jie dan Toh Jing En.

Mahkamah diberitahu bahawa pasukan keselamatan di Tradehub 21, sebuah bangunan perindustrian di 22 Boon Lay Way, mengesan kumpulan-kumpulan orang masuk dan keluar dari sebuah unit pada 31 Disember.

Pada waktu itu, saiz kumpulan maksimum adalah lapan orang dan Singapura berada dalam Fasa 3 pembukaan semulanya.

Pengurus operasi di KH Security Agency menghubungi polis sekitar pukul 1.20 pagi pada 1 Januari dan berkata: "Orang ramai adakan disko di dalam bangunan perindustrian ini."

Pegawai polis kemudian datang ke tempat kejadian dan mendapati bahawa unit itu berbau kuat rokok, dengan muzik kuat dimainkan di dalamnya. Unit itu, yang diperuntukkan bagi sebuah pejabat, mempunyai sistem karaoke yang memainkan muzik dan terdapat meja, kerusi dan sofa di dalamnya.

Terdapat 44 orang di dalamnya yang sedang meminum minuman keras, menyanyi karaoke dan bersembang, tanpa langkah-langkah jarak selamat.

Siasatan mendapati seorang lelaki berusia 24 tahun, Muhammad Farhan Sazali, menyewa unit di bangunan itu bagi pihak Alex Sim Wang Yang, 24 tahun.

Sim menggunakan unit itu sebagai tempat hiburan awam tanpa lesen, memainkan muzik di dalamnya dan menjual minuman keras termasuk menara bir, botol Martell dan tin Carlsberg.

Pada Disember 2020, Sim mempromosikan pesta kiraan detik dengan minuman keras ditawarkan di unit itu, melalui media sosial dan perkongsian dari mulut ke mulut. Kesemuanya, 44 orang meninggalkan rumah mereka dan tiba di unit Tradehub 21 antara pukul 9.00 malam pada 31 Disember hingga pukul 1.00 pagi pada 1 Januari.

Pendakwa raya meminta denda S$3,500, dengan mengatakan bahawa "kelakuan buruk pesalah patut mendapat hukuman tegas terutamanya memandangkan penularan semula pandemik COVID-19".

Kes-kes bagi tertuduh yang lain masih belum selesai. Atas kesalahan melanggar peraturan COVID-19, pesalah boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan