Images

COVID-19: 2 lagi kes dikaitkan dengan kelompok kapal tangki NewOcean 6

SINGAPURA: Singapura melaporkan 22 kes baru COVID-19 hari ini (11 Jan).

Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Tiada kes jangkitan baru dilaporkan dalam kalangan masyarakat mahupun di dormitori pekerja asing.

Semua kes diimport dan sudah dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan sebaik tiba di Singapura.

Antara kes import itu adalah dua rakyat Singapura dan dua penduduk tetap yang pulang dari India. Lagi tiga merupakan pemegang pas tanggungan yang tiba dari India dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Lagi 10 melibatkan pemegang permit kerja yang tiba dari Indonesia, Bangladesh dan India, termasuk dua pembantu rumah asing.

Dua daripada pemegang permit kerja itu - Kes 59176 dan 59180 - adalah anak kapal yang bertugas dalam kapal tangki bunker NewOcean 6, menurut MOH.

Mereka dikenal pasti sebagai kontak rapat Kes 58812 dan dikuarantin pada 31 Disember. Mereka diuji semasa dalam kuarantin dan disahkan positif COVID-19 pada 10 Januari.

Menurut MOH Kes 59170, seorang pemegang permit yang tiba dari Bangladesh pada 14 Disember dan diberikan Notis SHN di sebuah kemudahan khas sehingga 28 Disember.

Ujian Swab ke atasnya, yang dilakukan pada 24 Disember, negatif COVID-19 dan satu lagu ujian Swab yang dilakukan sebagai sebahagian daripada ujian rutin berjadual pada 6 Januari juga negatif.

Namun, satu lagi ujian swab pada 8 Januari positif COVID-19.

"Ujian reaksi ujian rantaian polimerase (PCR) yang dijalankan ke atasnya menunjukkan nilai Ct yang tinggi, bermakna kurang virus jangkitan. Keputusan ujian serologi beliau juga positif.

"Memandangkan ini berkemungkinan disebabkan jangkitan lalu, kami menyenaraikan kes ini sebagai kes import. Dia mungkin mengeluarkan fragmen-fragmen virus RNA, yang tidak lagi berjangkit," menurut MOH.

Terdapat juga pemegang pas jangka panjang dari India serta tiga pemegang pas jangka pendek yang tiba dari Amerika Syarikat dan India untuk mengunjungi keluarga mereka yang merupakan warga Singapura atau penduduk tetap sementara seorang daripada mereka datang dari India untuk melawat anak lelakinya yang menuntut di Singapura.

Baki kes adalah pemegang pas pelajar yang tiba dari Indonesia. Lelaki berusia 26 tahun itu satu-satunya kes bergejala yang dilaporkan hari ini.

32 PESAKIT DIBENAR PULANG

Menurut MOH, jumlah keseluruhan kes baru dalam kalangan masyarakat sudah berkurangan kepada lapan kes pada minggu lalu berbanding sembilan kes pada minggu sebelumnya.

Jumlah kes tidak berkaitan dalam kalangan masyarakat pula naik kepada lima kes pada minggu lalu berbanding tiga kes pada minggu sebelumnya.

Sebanyak 32 kes dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan-kemudahan pengasingan masyarakat menjadikan jumlah kes yang sudah sembuh sebanyak 58, 668.

Sebanyak 67 kes masih lagi di hospital. Kebanyakannya dalam keadaan stabil atau semakin pulih dan seorang di unit jagaan rapi. Lagi 165 kes sedang diasingkan dan dijaga di kemudahan-kemudahan masyarakat.

Sehingga hari ini, Singapura melaporkan sebanyak 58,929 kes COVID-19. 

- CNA/NK/nk

Top