Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

COVID-19: 2 bekas tapak sekolah dijadikan dormitori sementara bagi pekerja asing sihat

Bekas tapak Sekolah Menengah Hong Kah dan Sekolah Menengah Bedok North adalah di antara "beberapa" tapak Kementerian Pendidikan (MOE) yang akan digunakan sebagai kemudahan sementara untuk menempatkan pekerja asing "yang sihat", menurut kementerian itu pada Jumaat (22 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
COVID-19: 2 bekas tapak sekolah dijadikan dormitori sementara bagi pekerja asing sihat

(Gambar: Google Street View)

Diterbitkan : 22 May 2020 01:27PM Dikemas Kini : 22 May 2020 01:38PM

SINGAPURA: Bekas tapak Sekolah Menengah Hong Kah dan Sekolah Menengah Bedok North adalah di antara "beberapa" tapak Kementerian Pendidikan (MOE) yang akan digunakan sebagai kemudahan sementara untuk menempatkan pekerja asing "yang sihat", menurut kementerian itu pada Jumaat (22 Mei).

Untuk menguruskan kemudahan tersebut, Kementerian Pendidikan menubuhkan Pasukan Bertindak Khas Dormitori yang terdiri daripada pegawai daripada MOE dan Outward Bound Singapore (OBS).

"Setiap dormitori sementara akan mempunyai sebuah pasukan pegawai MOE atau OBS untuk memastikan bahawa keperluan asas, keselamatan dan kesejahteraan pekerja asing dipenuhi," kata seorang jurucakap MOE sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp.

"Selain itu, mereka memastikan protokol kesihatan dan keselamatan dipatuhi, untuk mengurangkan risiko jangkitan."

Singapura melaporkan 29,812 kes COVID-19 setakat ini, dengan kebanyakannya dikaitkan dengan dormitori pekerja asing. Seramai 23 pesakit meninggal dunia akibat komplikasi yang disebabkan oleh jangkitan COVID-19.

Ketua Parti Pekerja Pritam Singh berkata dalam satu catatan Facebooknya pada Rabu bahawa tapak Sekolah Menengah Bedok North akan digunakan sebagai dormitori sementara untuk pekerja asing yang menyediakan perkhidmatan penting.

Beliau berkata bahawa beliau sudah bercakap dengan pengurus dormitori yang ditugaskan untuk tapak tersebut, yang merupakan sebahagian daripada pasukan OBS. Tapak itu masih sedang disiapkan, kata Encik Singh, sambil menambah bahawa para pekerja akan mula berpindah ke situ tidak lama lagi.

Tapak Sekolah Menengah Bedok North mempunyai cukup ruang untuk kira-kira 400 pekerja, tulisnya.

Semasa tempoh penginapan para pekerja di tapak itu, para majikan "akan dipertanggungjawabkan" ke atas kebajikan mereka dan akan mengaturkan barang-barang keperluan dapur jika diperlukan, tambah Encik Singh.

Tapak itu, yang terletak di persimpangan antara Jalan Damai dengan Kaki Bukit Avenue 1, tidak digunakan sejak Sekolah Menengah Bedok North bergabung dengan Sekolah Menengah Damai pada 2018.

Bilik-bilik yang sudah siap itu dilengkapi katil dan almari "pada jarak selamat", serta balang air dan WiFi di setiap bilik, kata Encik Singh.

Paip dan pancuran mandi tambahan sudah dipasang di bilik tandas "kerana tandas sekolah biasanya tidak dilengkapi dengan pancuran mandi".

"Kemudahan di semua lokasi akan mematuhi garis panduan nasional mengenai langkah-langkah keselamatan dan kawalan pergerakan yang selamat, untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pekerja dan kakitangan di lokasi," menurut MOE.

Menyeru agar penduduk Eunos memberikan "sokongan penuh" mereka, Encik Singh berkata dalam catatannya bahawa beliau gembira mendengar tentang kerjasama antara MOE dengan OBS.

“Saya faham ada di antara anda yang mempunyai pertanyaan mengenai penggunaan Sekolah Menengah Bedok North sebagai dormitori sementara. Jangan teragak-agak untuk menghubungi saya dan saya akan melakukan yang terbaik untuk memberi anda sebanyak mungkin maklumat mengenai perkara ini, ”tulisnya.

"Sekiranya saya tidak mempunyai maklumat yang anda perlukan, saya akan meminta perkara yang sama dari MOE atau pihak berkuasa yang berkenaan."


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan