Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

CNB tangkap 12 orang, rampas dadah bernilai lebih S$152,000

Sebanyak 12 orang ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kegiatan berkaitan dadah, kata Biro Narkotik Pusat (CNB) pada Khamis (5 Ogos). Mereka yang ditangkap berusia 21 hingga 30 tahun termasuk tiga wanita.

Anggaran Waktu Membaca:
CNB tangkap 12 orang, rampas dadah bernilai lebih S$152,000

(Gambar: CNB)

Diterbitkan : 05 Aug 2021 03:38PM Dikemas Kini : 05 Aug 2021 03:41PM

SINGAPURA: Sebanyak 12 orang ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kegiatan berkaitan dadah, kata Biro Narkotik Pusat (CNB) pada Khamis (5 Ogos).

Pelbagai jenis dadah dengan nilai pasaran lebih S$152,000 turut dirampas dalam operasi selama dua hari itu.

Pihak berkuasa merampas 624 gram dadah Ice, 2,375 gram ganja, 53 gram ketamin, 413 pil dan serpihan ecstasy, serta 602 pil Erimin-5.

Sebanyak 226 setem LSD (lysergic acid diethylamide), 161 gram bahan dipercayai ubat terkawal, dan 116 botol berisi cecair yang dipercayai mengandungi ubat terkawal juga dirampas.

3 DITAHAN DI SERANGOON ROAD, BRADDEL HILL DAN JALAN AMPAS

Pada 3 Ogos, pegawai CNB menahan seorang lelaki berusia 21 tahun di kawasan Serangoon Road. Sekitar 7 gram Ice, 24 gram ganja dan empat pil ecstasy ditemui pada dirinya.

Seorang lelaki 29 tahun pula ditangkap di sekitar kawasan Braddell Hill. Menurut CNB pegawainya merampas kira-kira 100 gram ganja dekat lokasi lelaki itu.

Pada malam yang sama, pasukan CNB yang berasingan di sekitar Jalan Ampas memberkas seorang lelaki 25 tahun dan merampas 5 gram ketamin.

5 DITANGKAP DEKAT BOON TECK ROAD

Dua wanita, berusia 27 dan 30 tahun, serta seorang lelaki 24 tahun, ditangkap di kawasan Boon Teck Road pada 3 Ogos.

"Kira-kira 2 gram ketamin dan dua botol berisi cecair yang dipercayai mengandungi dadah terkawal dirampas daripada wanita berusia 30 tahun itu," kata CNB.

Ketiga-tiga suspek dibawa ke tempat persembunyian mereka di kawasan yang sama, di mana seorang lelaki 24 tahun dan seorang wanita 21 tahun ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kegiatan.

Pada hari yang sama, sekumpulan lagi pegawai CNB memintas kenderaan dekat Bedok North Road. Dua lelaki, berusia 21 dan 22 tahun, ditangkap kerana disyaki terlibat dalam pengedaran dadah.

Di dalam kereta tersebut, para pegawai menemui sekitar 612 gram Ice, 2,251 gram ganja, 45 gram ketamin, 337 pil dan serpihan ecstasy, 544 pil Erimin-5, 226 setem LSD, 161 gram bahan dipercayai dadah terkawal serta 114 botol cecair dipercayai mengandungi dadah terkawal.

LEBIH BANYAK TANGKAPAN DI WHAMPOA, BEDOK

Pegawai CNB juga menyerbu sebuah unit di kawasan Whampoa pada 3 Ogos dan menangkap seorang lelaki berusia 26 tahun.

Kira-kira 5 g Ice, 1 gram ketamin, 72 pil ecstasy, dan 58 pil Erimin-5 juga ditemui.

Pada keesokan harinya, para pegawai menyerbu sebuah unit di Bedok South Avenue 2 di mana mereka menahan seorang lelaki berusia 27 tahun.

Siasatan terhadap aktiviti dadah semua suspek sedang dijalankan.

Operasi anti-dadah ini adalah yang kedua dilancarkan CNB ke atas sindiket dadah dalam seminggu. Selasa lalu, pihak berkuasa menahan lapan orang yang disyaki pesalah dadah dan merampas pelbagai bahan larangan dengan nilai pasaran berjumlah S$749,000.

Keseluruhan jumlah Ice dan ganja yang dirampas dalam kedua-dua operasi itu boleh memenuhi ketagihan lebih 2,150 pesalah guna selama seminggu. 

Sumber : CNA/SU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan