Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

CNB rampas dadah bernilai lebih $2.3 juta

Biro Narkotik Pusat (CNB) merampas dadah bernilai lebih daripada S$2.3 juta, termasuk sekitar 23 kilogram ganja dan sekitar 16 kilogram heroin, menurut agensi itu pada Isnin (19 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
CNB rampas dadah bernilai lebih $2.3 juta

(Gambar: CNB)

Diterbitkan : 19 Apr 2021 02:54PM Dikemas Kini : 19 Apr 2021 02:55PM

SINGAPURA: Biro Narkotik Pusat (CNB) merampas dadah bernilai lebih daripada S$2.3 juta, termasuk sekitar 23 kilogram ganja dan sekitar 16 kilogram heroin, menurut agensi itu pada Isnin (19 Apr).

Jumlah ganja yang dirampas CNB itu adalah terbesar sejak 1996 manakala jumlah heroin yang dirampas pula adalah terbesar dilakukannya sejak 2001.

Sekitar 23,687 gram ganja, 16,548 gram heroin, 2,033 gram Ice dan 110 pil Ecstasy dirampas dalam serbuan dadah pada petang Jumaat (16 Apr).

Seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 22 tahun ditangkap di kawasan Choa Chu Kang Avenue 4, menurut CNB. Empat bungkusan mengandungi sekitar 3,915 gram ganja dirampas daripadanya.

Lelaki itu kemudian dibawa ke tempat persembunyiannya di kawasan yang sama, menurut CNB, dan para pegawai menggeledah unit kediaman itu.

Keseluruhannya lapan bungkusan mengandungi sekitar 3,782 gram heroin dan dua bungkusan mengandungi sekitar 2,033 gram Ice dan 110 pil Ecstasy dirampas dari bilik tidurnya.

Kesemuanya 27 bungkusan mengandungi sekitar 12,766 gram heroin dan 20 bungkusan mengandungi sekitar 19,772 gram ganja dirampas dari bilik stor, menurut CNB.

Siasatan terhadap kegiatan dadah suspek masih dijalankan, menurut CNB, sambil menambah bahawa jumlah dadah yang dirampas dalam operasi itu cukup untuk memenuhi ketagihan 7,800 penyalah guna heroin, 1,160 penyalah guna Ice dan 3,380 penyalah guna ganja untuk seminggu.

Ini menyusuli rampasan dadah bernilai sekitar S$1.7 juta secara keseluruhan oleh CNB bulan lalu termasuk lebih daripada 20 kilogram ganja.

Serbuan dadah itu dijalankan di merata lokasi di Singapura. Tiga rakyat Singapura berusia antara 27 dengan 33 tahun diberkas.

SITUASI DADAH 'SEMAKIN BURUK'

Bercakap di sidang media pada Isnin, Penolong Pesuruhjaya Sng Chern Hong, yang merupakan Timbalan Pengarah CNB (Dasar dan Pentadbiran), berkata bahawa situasi dadah di seluruh dunia dan di rantau ini "semakin buruk".

"Ia menimbulkan keprihatinan tidak kira jumlah dadah yang dirampas. Namun untuk meletakkannya dalam konteks, hakikatnya adalah secara global atau di rantau ini, situasi dadah semakin buruk. Kita sedang memantau keadaan di Singapura dengan teliti," katanya.

Disebabkan oleh pandemik COVID-19, sindiket dadah mengubah cara mereka beroperasi, jelas AC Sng.

"Kami melihat sindiket menggunakan modus operandi yang berbeza. Anda mungkin lihat pada tahun lalu, kami melakukan rampasan atan penyeludupan dadah menerusi buah-buahan, mereka juga menggunakan dron, dan kami juga mempunyai sindiket yang cuba mencari jalan untuk mengelak sistem."

Namun, beliau mengambil perhatian tiada "perubahan ketara" dalam permintaan dari Singapura.

"Jika anda melihat pada perangkaan dadah yang dikeluarkan pada awal tahun ini, malah dari segi penyalah guna dadah yang diberkas, terdapat kemerosotan berbanding tahun lalu namun itu sebahagiannya disebabkan oleh pandemik COVID," katanya.

"Dari segi trend, kami tidak lihat perubahan ketara berbanding dengan tahun lalu. Walaupun jumlah merosot, namun kami melihat misalnya penyalah guna golongan muda - ia masih sekitar 40 peratus daripada jumlah keseluruhan penyalah guna dadah yang diberkas - oleh itu trend sedemikian masih ada. Kami tidak melihat sebarang perubahan besar tetapi kami tetap akan memantau situasi."

AC Sng enggan mengulas tentang tempat asal dadah yang dirampas dalam operasi itu, bagaimana ia diseludup masuk, atau sama ada rampasan dadah terbaru itu mempunyai kaitan dengan serbuan pada Mac kerana siasatan masih dijalankan.

"Singapura bukan sebuah negara yang menghasilkan dadah. Kita dikelilingi dengan rantau bekalan berskala besar... Apa yang lebih penting adalah untuk mengekalkan tahap berjaga-jaga di sempadan bersama rakan-rakan sejawatan Home Team bagi memastikan dadah tidak boleh dibawa masuk," kata Superintenden Aaron Tang yang merupakan pengarah di Divisyen Risikan CNB.

"Dan jika dadah itu berjaya diseludup masuk, CNB dan agensi-agensi Home Team lain akan kekal sebagai barisan pertahanan kedua bagi memastikan dadah tidak diedarkan di jalanan."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan