Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

CNB berkas suspek yang pandu bertentangan arus trafik hingga langgar lelaki

Seorang lelaki berusia 26 tahun diberkas semalam (20 Mac) selepas memandu bertentangan dengan arus trafik di Ekspreswe Ayer Rajah (AYE).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 21 Mar 2018 09:51PM Dikemas Kini : 22 Mar 2018 12:43AM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 26 tahun diberkas semalam (20 Mac) selepas memandu bertentangan dengan arus trafik di Ekspreswe Ayer Rajah (AYE). Dia kemudian melanggar seorang pejalan kaki di Pioneer ketika sedang cuba melarikan diri daripada para pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB).

Suspek pertama kali dilihat berpisah dengan satu lagi suspek dadah di Fifth Avenue di Bukit Timah.

Para pegawai mengekorinya di Lebuh Raya West Coast. Dia kemudian cuba melarikan diri, memandu motosikal dengan laju dan melawan arus trafik ketika memasuki AYE.

Lelaki berkenaan juga melanggar lampu merah di persimpangan jalan berdekatan Pioneer Road North dan melanggar seorang lelaki berusia 36 tahun. Mangsa cedera ringan dan dikejarkan ke hospital. Seorang pegawai CNB juga mengalami lelasan daripada kemalangan tersebut. Empat bungkus dadah ditemui di tempat kejadian.

Lelaki tersebut akhirnya diberkas di Poliklinik Pioneer. Para pegawai kemudian menggeledah rumahnya dan menemukan lebih banyak dadah termasuk heroin, 'Ice' tablet 'ecstacy', tablet nimetazepam dan ganja.

Para pegawai mengikuti suspek yang bertemu dengannya sebelum itu. Suspek merupakan seorang rakyat Malaysia berusia 24 tahun. Dia diberkas di bawah jembatan Eco-link di Ekspreswe Bukit Timah dan mempunyai wang tunai bernilai S$5,900 bersamanya ketika diberkas.

7 SUSPEK PESALAH DADAH DIBERKAS

Penangkapan tersebut adalah sebahagian daripada operasi dua hari. Dadah bernilai lebih S$155,000 berjaya dirampas dalam operasi itu. Selain itu, lima lagi suspek juga diberkas pada hari pertama operasi dijalankan.

Seorang rakyat Singapura berusia 45 tahun, ditemui mempunyai 7g 'Ice' dekat Syed Alwi Road. Para pegawai CNB menyerbu tempat persembunyian di Rowell Road, di mana mereka menemukan heroin, ganja dan 'Ice'.

Pembekalnya, juga seorang rakyat tempatan berusia 52 tahun, turut dijejaki di Bedok North Road.

Di kolong bloknya, para pegawai melihat seorang lelaki 31 tahun merayau-rayau. Dia kemudian menaiki lif untuk ke tingkat lapan sebelum kembali ke kolong blok bersama seorang pembekal dadah dan wanita berusia 38 tahun. Para pegawai memberkas ketiga-tiganya sejurus mereka keluar dari lif.

Keseluruhannya 373g heroin ditemukan dan 2g Ice ditemui di motosikal lelaki yang berumur 31 tahun. Polis kemudian menggeledah tempat persembunyian si pembekal di mana seorang yang disyaki penyalah guna dadah ditemukan.

Siasatan terhadap kegiatan dadah kesemua suspek masih dijalankan. Pemandu motosikal yang cuai itu juga disiasat atas kesalahan trafik, menurut CNB.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan