Images
  • cna938
    Barisan penyampai radio bagi stesen radio baru CNA938. 

CNA luaskan jangkauan dengan pelancaran stesen radio baru CNA938

SINGAPURA: CNA meluaskan jangkauannya dengan pelancaran sebuah stesen radio baru pada Isnin (3 Jun) yang akan menggunakan pasukan wartawan dan editornya di merata dunia untuk menyajikan pendengar dengan liputan-liputan mendalam berita dan ehwal semasa.

Barisan program CNA938, yang menggantikan stesen radio 938NOW, tertumpu kepada berita mutakhir, kemas kini berita perniagaan serta analisis para pakar tentang perkembangan di Singapura, Asia dan seluruh dunia.

Stesen tersebut adalah wadah tambahan untuk CNA yang telah meraih pelbagai anugerah kewartawanan dan diikuti berjuta-juta orang setiap hari menerusi stesen TV dan laman webnya.

Tumpuannya kepada berita dapat dilihat menerusi barisan penyampai radio CNA938 yang dalam kalangan mereka sudahpun mempunyai pengalaman dalam bidang kewartawanan dan penyiaran ehwal semasa selama berdekad-dekad.

Antara penyampai itu ialah veteran-veteran radio Arnold Gay dan Yasmin Yonkers - kedua-duanya menyampaikan program waktu pagi utama stesen radio tersebut dari 6.00 pagi hingga 10.00 pagi.

Menonjolkan stesen radio itu sebagai lanjutan kepada wadah-wadah CNA sedia ada, program waktu pagi CNA938 diberi nama Asia First - sama dengan program di stesen televisyen CNA.

Pelancaran CNA938 adalah salah satu daripada beberapa peristiwa penting untuk menandakan ulang tahun ke-20 CNA tahun ini.

Ketua Editor Mediacorp Walter Fernandez menerangkan CNA938 menyediakan pilihan tambahan bagi pendengar yang mahu mendapatkan lebih banyak maklumat tentang apa yang berlaku di Asia serta bagaimana kejadian-kejadian yang berlaku jauh di pelusuk dunia lain memberi kesan kepada rantau ini.  

- CNA/FZ/fz

Top