Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Club HEAL ingin luaskan khidmat, dampingi mereka bermasalah ketagihan

Badan khidmat pemulihan psikiatri, Club HEAL, merancang untuk meluaskan khidmatnya untuk mendampingi golongan yang mengalami masalah ketagihan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Badan khidmat pemulihan psikiatri, Club HEAL, merancang untuk meluaskan khidmatnya untuk mendampingi golongan yang mengalami masalah ketagihan.

Ia selaras dengan matlamatnya untuk mengisi jurang dalam khidmat bantuan bagi masyarakat memerlukan.

Presiden Club HEAL, Dr Radiah Salim, berkongsi rancangan jangka panjang kelab tersebut di majlis makan malam sempena ulang tahunnya yang kelima, hari ini (18 Jan).

Majlis amal di Kelab Masyarakat Keat Hong ini dihadiri 580 orang termasuk klien dan penyokong Club HEAL.

Para tamu juga terdiri daripada penaja, penderma serta rakan kongsi yang telah banyak menyumbang dari segi kewangan dan sokongan moral.

Acara mengumpul dana ini turut diserikan Presiden Halimah Yacob selaku tetamu terhormat.

KENALI JENIS DAN PUNCA PENYAKIT MENTAL SEBELUM MENILAI PENDERITANYA

Puan Halimah mengingatkan para hadirin bahawa banyak yang mereka boleh lakukan untuk membantu pesakit mental sembuh dan berintegrasi dengan masyarakat.

Presiden Halimah turut hadir di majlis amal Club Heal. 

Titik permulaan yang baik, menurut Presiden Halimah, adalah dengan mengetahui lebih lanjut tentang penyakit mental supaya masyarakat tidak cepat menilai atau menghina pesakit.

Sejak ditubuhkan pada 2012, sekitar 2,000 klien memperolehi manfaat daripada program-program kendalian Club HEAL di tiga pusat pemulihannya - iaitu di Bukit Batok East, Marsiling dan Pasir Ris.

Khidmatnya diperluaskan pada 2016 bagi membantu pesakit demensia serta keluarga mereka.

BUKU BARU KISARKAN CABARAN, PELUANG PENGHIDAP SAKIT MENTAL

Di majlis yang sama, Club Heal turut melancarkan sebuah buku baru bertajuk 'Di Bawah Sinaran Mentari'.

Penulisnya, Yohanna Abdullah, sebelum ini pernah menghasilkan buku bersama Dr Radiah yang memuatkan kisah-kisah pemulihan orang-orang yang mempunyai masalah mental, para penjaga mereka serta para pejuang penyakit tersebut.

Buku kali ini pula berkisarkan tentang cabaran yang ditempuhi pesakit mental serta bagaimana mereka masih mempunyai tempat dalam masyarakat.

Club HEAL juga menyokong pelancaran buku berjudul 'You Can Be Your Best', tulisan seorang bekas jururawat kesihatan mental, Heryani Jamaludin.

SAKIT MENTAL DAN KETAGIHAN SALING MENGAIT - SOKONGAN HOLISTIK DIPERLUKAN

Dr Radiah mengulas lebih lanjut rancangan Club Heal untuk mendampingi golongan yang berdepan masalah ketagihan.

"Jadi kerana rapatnya hubung kait antara masalah ketagihan dan penyakit mental, kami mahu membantu orang yang mempunyai masalah ketagihan,"
kata Dr Radiah.

Misalnya, menurut Dr Radiah, seseorang yang mempunyai masalah kemurungan lebih kemungkinan terjebak ke dalam masalah ketagihan.

"Mungkin dia mencari huraian masalah kemurungannya dengan minum arak ataupun mengambil dadah. Sebaliknya, orang yang mempunyai masalah ketagihan lebih kemungkinan boleh mendapat masalah kesihatan mental," terang beliau lagi.

"Dan apabila kita sebut tentang masalah ketagihan, ia sesuatu yang rumit dan perlukan pendekatan yang holistik. Jadi kami harap untuk bekerjasama dengan badan-badan lain untuk menangani masalah ketagihan," ujar beliau lanjut. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan