Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ciri baru app OneService mudahkan penduduk minta bantuan sosial untuk jiran tetangga

Ciri baru Help Neighbour itu akan membolehkan para penduduk menjadi "mata dan telinga tambahan", membangkitkan kes-kes penduduk lain yang mungkin memerlukan bantuan sosial.

Anggaran Waktu Membaca:
Ciri baru app OneService mudahkan penduduk minta bantuan sosial untuk jiran tetangga

Seorang warga emas di Singapura. (Gambar: Francine Lim)

Diterbitkan : 04 Mar 2021 10:14PM Dikemas Kini : 04 Mar 2021 10:17PM

SINGAPURA: Para penduduk akan dapat memaklumkan kepada agensi-agensi khidmat sosial tentang individu di kejiranan mereka yang mungkin memerlukan bantuan sosial, dengan menggunakan ciri baru pada aplikasi OneService, yang akan dirintis mulai separuh kedua tahun ini.

Demikian menurut Pejabat Perkhidmatan Perbandaran (MSO) hari ini (4 Mac).

Ciri baru Help Neighbour itu akan membolehkan para penduduk menjadi "mata dan telinga tambahan", membangkitkan kes-kes penduduk lain yang mungkin memerlukan bantuan sosial, menurut MSO.

Usaha perintis itu adalah hasil kerjasama antara Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), MSO dan Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC).

Mengumumkan inisiatif itu di Parlimen, Menteri Negara Kanan Pembangunan Negara Sim Ann berkata: "Ini penting lebih-lebih lagi semasa pandemik, di mana para penduduk mungkin jarang berinteraksi dengan rangkaian khidmat sosial yang biasa."

Ciri itu juga akan membolehkan AIC, MSF dan rakan-rakan kongsi mereka untuk mendampingi dan mencari orang-orang yang memerlukan bantuan sosial dengan lebih pantas, menerusi data geotag.

Terdapat empat kumpulan utama yang dipilih bagi usaha perintis itu: Warga tua yang memerlukan, orang-orang yang tidur di kaki lima, pengumpul kadbod dan penjual tisu.

"Ini adaah empat kumpulan yang dipilih kerana mereka biasanya disifatkan oleh para penduduk sebagai memerlukan bantuan," menurut MSO.

Para pengguna yang meminta bantuan menerusi aplikasi itu juga perlu menyatakan keprihatinan mereka, termasuk kesihatan, keadaan mental, mobiliti atau keadaan keadaan hidup orang yang memerlukan itu.

Mereka juga perlu memilih jenis bantuan yang diminta, seperti pemeriksaan kebajikan, sokongan perumahan atau bantuan kewangan.

Para pengguna juga boleh menambah keprihatinan atau maklumat lain seperti maklumat tentang orang yang memerlukan. Selepas itu maklum balas tersebut akan disalurkan ke agensi-agensi sosial yang relevan.

Ini adalah antara peningkatan terkini pada aplikasi OneService, yang kini mempunyai lebih 340,000 pengguna, naik daripada kurang 200,000 pada 2019, menurut MSO.

PILIHAN MAKLUM BALAS LEBIH PANTAS

Selain itu, Chatbot OneService, yang akan disediakan menerusi aplikasi WhatsApp dan Telegram mulai separuh kedua tahun ini, akan memudahkan para penduduk untuk membuat aduan berhubung isu-isu perbandaran.

Chatbot itu, yang buat masa ini sedang diuji sehingga 29 Mac, akan membolehkan penduduk menyerahkan maklum balas dalam bentuk "perbualan", menurut MSO.

Chatbot itu akan memberikan respons kepada mesej-mesej pengguna, memberikan panduan untuk mengenal pasti isu dan meminta mereka memberikan maklumat masa nyata.

Ia kemudian akan menyampaikan kes itu kepada agensi bertanggungjawab bagi isu tersebut, menggunakan teks, geolokasi dan imej-imej yang disediakan oleh pengguna.

Cik Sim berkata Chatbot OneService, yang dijana oleh kecerdasan buatan (AI), boleh meramalkan jenis kes dan agensi bertanggungjawab dengan 80 peratus ketepatan dan ini dijangka lebih baik sedang ujian-ujian awam diteruskan.

Selain itu, MSO juga akan memperluaskan program perintis bagi OneService Lite, iaitu kaedah laporan menggunakan kod QR, kepada lebih banyak kejiranan dan dalam bahasa ibunda.

Para penduduk dengan mudah hanya perlu mengimbas kod QR untuk menyerahkan maklum balas, tanpa perlu memuat turun aplikasi OneService.

Ia sudah dirintis dengan Majlis Bandaran Aljunied-Hougang dan Jurong-Clementi sejak Februari tahun lalu.

Tahun ini, ia akan dimulakan dalam bahasa Mandarin dengan Holland-Bukit Panjang serta Sembawang di blok-blok terpilih dengan jumlah penduduk Cina yang ramai.

"Kami akan meneliti keputusannya sebelum memulakan langkah merintisnya dalam bahasa Melayu dan Tamil," menurut MSO.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan