Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ciri app ‘Help Neighbour’ perkasa penduduk maklumkan agensi tentang golongan memerlukan

Satu ciri baru “Help Neighbour” atau Bantu Jiran dilancarkan pada Khamis (2 Sep) untuk memudahkan penduduk memaklumkan agensi perkhidmatan sosial tentang orang yang memerlukan, supaya mereka boleh mendapatkan bantuan dengan lebih pantas.

Anggaran Waktu Membaca:
Ciri app ‘Help Neighbour’ perkasa penduduk maklumkan agensi tentang golongan memerlukan

(Gambar: Samuel Woo/TODAY)

Diterbitkan : 02 Sep 2021 05:35PM Dikemas Kini : 02 Sep 2021 05:39PM

SINGAPURA: Satu ciri baru “Help Neighbour” atau Bantu Jiran dilancarkan pada Khamis (2 Sep) untuk memudahkan penduduk memaklumkan agensi perkhidmatan sosial tentang orang yang memerlukan, supaya mereka boleh mendapatkan bantuan dengan lebih pantas.

Penduduk tidak perlu ingat agensi mana yang patut dihubungi atau menarik perhatian di media sosial untuk merujukkan mereka yang memerlukan bantuan. Sebaliknya mereka boleh berbuat demikian melalui ciri baru itu, yang merupakan sebahagian daripada aplikasi mudah alih OneService oleh Pejabat Perkhidmatan Perbandaran (MSO).

Maklum balas tersebut akan membolehkan Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC), Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan rakan kerja untuk menghubungi satu sama lain dengan cepat melalui penggunaan data geotag, kata AIC, MSF dan MSO dalam satu kenyataan.

Sebagai permulaan, agensi-agensi itu akan menumpukan kepada empat kumpulan penduduk yang biasanya diketengahkan oleh tetangga "berniat baik": warga emas yang berisiko, gelandangan, pengumpul kadbod dan penjual tisu yang mungkin memerlukan.

Terdapat juga kategori "Others" atau Lain-lain yang membolehkan orang ramai menarik perhatian kepada mereka yang tidak tergolong dalam empat kumpulan itu.

Walaupun ciri itu baru diumumkan pada Khamis, ia telah beroperasi selama lebih sebulan - sejak 30 Jun - dalam aplikasi tersebut.

Sehingga akhir bulan lalu, penduduk telah mengemukakan 58 maklum balas, dengan sekitar 60 peratus rujukan sudah sedia maklum oleh agensi-agensi.

Dalam catatan di Facebook, Menteri Negara Kanan Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara Cik Sim Ann, berkata melalui “Help Neighbor” 40 peratus kes baru dirujukkan kepada agensi.

Beliau menulis mengenai pertemuannya dengan salah seorang penduduk warga emas yang berulang kali menolak bantuan agensi-agensi tersebut.

Namun seorang "individu tidak dikenali yang prihatin" kemudian membuat catatan media sosial tentang wanita itu yang kelihatan sesat dan lapar, dan menerima makanan daripada orang yang tidak dikenali. Catatan itu memaklumkan agensi-agensi terbabit mengenai tahap kesihatan wanita itu serta keupayaannya yang semakin merosot.

Pelbagai agensi, pekerja sosial dan sukarelawan kemudian segera bertindak memujuknya untuk menerima bantuan dan rawatan perubatan, berbual dengan anggota keluarga wanita tersebut dan membuat rancangan jagaan jangka panjang.

Wanita itu akhirnya dimasukkan ke rumah jagaan di mana beliau akan mendapat rawatan yang sewajarnya, kata Cik Sim, Anggota Parlimen GRC Holland-Bukit Timah.

Cik Sim menulis: "Lebih baik jika ada cara mudah bagi agensi sosial diberitahu secara langsung."


Tambahnya, ciri Help Neighbour membolehkan orang yang tidak dikenali melaporkan penduduk memerlukan secara langsung ke agensi perkhidmatan sosial, daripada menghadapi risiko "mendedahkan" orang yang hadapi risiko menerusi catatan media sosial.

"Ini sangat relevan kerana beberapa kes melibatkan hubungan keluarga yang rumit dan mendedahkan keadaan mereka kepada masyarakat dapat meningkatkan tekanan kepada hubungan keluarga yang sudah tegang," kata Cik Sim.

"Dan meskipun mereka yang memberi maklum balas mungkin tidak akan diberitahu perincian rahsia, mereka boleh rasa yakin bahawa orang yang dilaporkan akan dibantu - sesuatu yang saya yakin adalah niat utama mengapa individu itu membuat catatan media sosial seperti itu."

Menurut AIC, MSF dan MSO ciri baru itu saling melengkapi saluran maklum balas sedia ada, seperti Rangkaian Vulnerable-in-Community dan Rangkaian Rakan Kerja Mendamping dan Memperkasa Gelandangan (Partners Engaging and Empowering Rough Sleepers Network) atau PEERS untuk mencari mereka yang memerlukan dengan bantuan masyarakat.

Bagaimanapun agensi-agensi itu menekankan bagi kes yang berkaitan dengan kecederaan atau melibatkan nyawa terancam perlu ditujukan terlebih dahulu ke khidmat kecemasan, seperti polis.

"Penduduk digalak menyantuni dahulu orang yang dianggap memerlukan itu, apabila keadaan selamat dan menghormati privasi orang tersebut, untuk lebih memahami keperluannya dan jika dia memang perlukan bantuan," tambah agensi-agensi itu.

"Ini akan membolehkan agensi-agensi memberikan bantuan lebih cepat dan tersasar."

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan