Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Circuit breaker' COVID-19 mungkin perlu dilakukan sekali sekala sehingga penawar ditemui

Langkah bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 mungkin perlu dilakukan sekali sekala sehingga vaksin bagi merawat virus korona baru itu dapat dihasilkan, menurut sebuah panel pakar.

Anggaran Waktu Membaca:
'Circuit breaker' COVID-19 mungkin perlu dilakukan sekali sekala sehingga penawar ditemui

Suasana di Chinatown nampak lengang di tengah 'circuit breaker' (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 15 Apr 2020 08:20PM Dikemas Kini : 15 Apr 2020 08:38PM

SINGAPURA: Langkah bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 mungkin perlu dilakukan sekali sekala sehingga vaksin bagi merawat virus korona baru itu dapat dihasilkan, menurut sebuah panel pakar.

Walaupun Singapura sedang berusaha sedaya upaya untuk membendung penularan virus tersebut dalam jangka pendek, lebih banyak langkah pemutus jangkitan mungkin diperlukan sehingga penawarnya ditemui, kata Profesor Teo Yik Ying, dekan Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock di Universiti Nasional Singapura (NUS).

"Ia ibarat menekan brek ... setiap tiga hingga empat bulan, kita mungkin perlu melakukan langkah pemutus jangkitan bagi membolehkan sistem kesihatan kita dapat pulih semula," katanya semasa satu seminar berasaskan web atau webinar yang dianjurkan oleh Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew (LKYSPP) pada Selasa (14 Apr).

Langkah ini diperlukan sehingga penduduk berupaya memperolehi imuniti kelompok - dengan membiarkan orang terdedah kepada virus atau melalui suntikan vaksin, kata Prof Teo.

"Saya melihat vaksin sebagai satu strategi jalan keluar yang boleh dilaksanakan, tetapi ia buat jangka panjang," katanya.

Menurut ramalan para pakar, ia mungkin mengambil masa antara 18 hingga 24 bulan untuk menghasilkan vaksin.

Masalah yang mungkin timbul daripada strategi sedemikian adalah para peniaga dan masyarakat akan mendapatinya sukar untuk menguruskan risiko itu, tambah Profesor Madya Joanna Yoong, ahli ekonomi kanan dan pengarah Pusat Penyelidikan Ekonomi dan Sosial di University of Southern California.

Lama-kelamaan, virus itu mungkin menjadi endemik seperti selesema musiman, namun dengan wabak penyakit yang kadangkala lebih berat, menurut Profesor Tikki Pangestu, pakar kesihatan awam dan seorang profesor pelawat di LKYSPP.

"Kita harus belajar hidup dengan virus ini tetapi sistem kesihatan kita juga mesti memiliki kemampuan untuk melawannya, jika perlu," katanya.

Simulasi komputer pasukan Harvard mengenai wabak COVID-19 juga membuat kesimpulan yang sama. Jika tiada rawatan lain, jarak sosial yang dilakukan secara sekali sekala mungkin diperlukan, kata salah seorang penulis kajian yang diterbitkan dalam jurnal Science.

TARIK BALIK PEMUTUS JANGKITAN

Negara-negara mesti menunjukkan bukti bahawa mereka berupaya mengawal penularan dan sistem jagaan kesihatan pula, mesti bersiap sedia menangani sebarang "kesan buruk" sebelum "langkah-langkah boleh dilonggarkan secara bertahap-tahap", kata Prof Pangestu.

Para pemimpin dunia harus bersatu semasa menyelaraskan sebarang sekatan global dan bukan setakat menguatkuasakan sekatan secara sepihak dan melonggarkannya sesuka hati, menurut Prof Teo.

GELOMBANG KEDUA S'PURA

Prof Teo juga mengatakan bahawa Singapura kini berdepan dengan gelombang kedua wabak COVID-19 dan negara ini adalah antara kumpulan pertama di dunia yang mengalaminya.

Beliau menarik perhatian bahawa daripada kira-kira 3,000 kes yang dilaporkan Singapura sejak Januari, hampir separuh daripadanya dicatatkan dalam masa seminggu yang lalu.

Namun beliau optimis bahawa dengan adanya langkah pemutus rantaian jangkitan, penularan dalam kalangan masyarakat akan mula reda dalam masa seminggu dua akan datang.

PENULARAN DALAM KALANGAN PEKERJA ASING

Apa yang lebih membimbangkan adalah penularan COVID-19 dalam kalangan pekerja asing di sini, kata Prof Teo.

Meskipun dikritik oleh sesetengah pihak, langkah mengkuarantin pekerja asing di dalam dormitori adalah respons kesihatan masyarakat yang diperlukan untuk meminimumkan penyebaran virus, tambahnya.

Para pekerja asing yang sihat secara bertahap-tahap dipindahkan daripada dormitori yang terjejas untuk mengurangkan kepadatan penghuni dan pasukan-pasukan perubatan sudah dikerahkan ke dormitori pekerja asing untuk merawat mereka di sana.

Langkah-langkah semasa, digabungkan dengan pemeriksaan berterusan ke atas seberapa ramai pekerja dan mengasingkan mereka yang sudah terdedah, akan membantu memperbaiki keadaan, katanya.

"Keadaan mungkin samar-samar dalam masa seminggu dua ini sebelum ia bertambah baik," tambah beliau.

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan