Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ciNE65 2019 pergiat usaha cungkil bakat muda perfileman

Bertemakan 'Singapura', para peserta perlu menghasilkan sebuah filem pendek yang berupaya mencerminkan makna di sebalik tema itu kepada diri mereka sendiri.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Melahirkan lebih ramai bakat muda tempatan dalam bidang penerbitan filem.

Itulah visi peraduan, Anugerah Pembuat Filem ciNE65 2019, yang kembali dengan edisi kelima.

Bertemakan 'Singapura', para peserta perlu menghasilkan sebuah filem pendek yang berupaya mencerminkan makna di sebalik tema itu kepada diri mereka sendiri.

APAKAH MAKNA 'S'PURA' BAGI ANDA?

Bagi pembuat filem prolifik, Sanif Olek, tema dipilih itu memaparkan tekad rakyat Singapura untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Ini diluahkannya melalui sebuah filem pendek berjudul 'Sama-Sama', yang menjadi salah satu filem diiktiraf bagi pertandingan ciNE65 2019.

Tema itu dipilih sempena ulang tahun dwi-abad Singapura pada tahun depan.

Lantaran itu, Encik Sanif berharap lebih ramai anak muda akan menyertai pertandingan ini dan menyerlahkan bakat mereka dalam mencari erti 'Singapura' pada diri masing-masing.

Mentelah lagi, beliau berkata sejak terlibat daripada edisi pertama, beliau sendiri melihat peningkatan kepada mutu karya yang dihasilkan saban tahun.

"Kita harus imbas kembali apa yang buat kita rakyat Singapura dan apa yang buat Singapura itu unik bagi kita. Jadi pada saya yang pentingnya adalah kita mengetengahkan nilai-nilai yang sama," kongsinya.

Yang pasti, Encik Sanif percaya bahawa platform sebegini mampu melahirkan generasi pelapis dalam industri perfileman setempat seperti Encik Sufyan Sam'an.

NASIHAT BEKAS PEMENANG

Encik Sufyan yang merupakan pemenang filem terbaik ciNE65 edisi lalu kini bukan saja berpeluang untuk melibatkan diri dalam lebih banyak penerbitan filem tetapi juga menebarkan sayapnya ke luar negara.

Bagi para peserta tahun ini, mereka bukan saja boleh mendapatkan inspirasi daripada filem-filem diiktiraf pertandingan itu tetapi juga menjalani bengkel dan seminar yang akan dianjurkan.

Bagi para peserta yang akan mencuba nasib, inilah nasihat Encik Sufyan: "Usah fikirkan idea-idea yang rumit. Kadang kala idea yang terbaik adalah idea yang peribadi dan idea-idea yang 'simple'."

Mereka yang berminat boleh mendapatkan lebih banyak perincian di laman www.cine65.sg.

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan