Images
  • cikgu main
    Cikgu Nurul Ain Azilah dari Sekolah Rendah Seng Kang. (Gambar-gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAmediacorp)

Cikgu Nurul Ain antara 17 calon pilihan dari 3,400 pencalonan Anugerah Presiden bagi Guru

BERITAMediacorp: Seperti hari-hari biasa, Cikgu Nurul Ain Azilah dari Sekolah Rendah Seng Kang memasuki bilik darjah bagi mengajar mata pelajaran seni. Namun pada Khamis (3 Sep), terukir sekuntum senyuman istimewa di wajahnya apabila memasuki bilik darjah.

Apakan tidak, semalam (3 Sep) merupakan hari yang bersejarah untuk dirinya kerana selepas 20 tahun berbakti dan berkhidmat sebagai seorang guru, Cikgu Ain terpilih sebagai salah seorang calon bagi Anugerah Presiden bagi Guru (PAT).

Hanya 17 calon terpilih daripada sekitar 3,400 pendidik yang dicalonkan bagi PAT tahun ini. Mereka datang dari 321 sekolah dan institusi tempatan.

Yang pasti, ini suatu pengiktirafan di peringkat nasional bagi kewibawaan dan sumbangannya kepada pendidikan anak bangsa. Ini semestinya boleh dianggap sebagai hadiah Hari Guru cukup mengujakan bagi Cikgu Ain.

“Saya amat terharu kerana dipilih daripada ribuan guru yang lain untuk Anugerah Presiden ini saya juga amat bersyukur kerana sentiasa dikelilingi orang-orang yang positif terutama sekali ketua-ketua sekolah, rakan-rakan kerja yang sentiasa memberi sokongan dan memberi tunjuk ajar untuk sentiasa saya kembangkan pedagogi saya dan apakah yang paling terbaik untuk anak-anak murid saya,” kongsi Cikgu Ain yang merupakan salah seorang Guru Peneraju sekolah tersebut.

Menjangkaui tanggungjawabnya sebagai seorang guru, Cikgu Ain juga percaya beliau memikul peranan sebagai seorang yang meningkatkan kesedaran terhadap isu-isu semasa menerusi mata pelajaran seni. Subjek seni baginya sama penting dengan mata pelajaran lain, meskipun ia tidak dinilai secara rasmi menerusi peperiksaan.

PROJEK SENI MURID BANTU PESAKIT BARAH

Salah satu projek yang dirintis Cikgu Ain menerusi kelas seni ialah projek “Sale and Raise” di mana para pelajar Sekolah Rendah Seng Kang menggunakan barang-barang yang boleh dikitar semula, kemudian mengubah barang-barang tersebut dengan menggunakan pelbagai jenis hiasan, dan menjualnya menerusi pesta dana amal di sekolah.

Hasilnya, dana yang berjaya dikumpul dua minggu yang lalu, mencapai sekitar $1,300. Kesemuanya disalurkan kepada Yayasan Barah Kanak-Kanak (CCF).

Cikgu Ain berkongsi selain meningkatkan kemahiran seni dalam kalangan para pelajarnya, pendekatan yang dirintisnya itu juga menyuntik kesedaran dalam kalangan murid tentang peri penting seni dalam membantu golongan yang memerlukan.

Cikgu Ain berkongsi menerusi teknik pembelajaran ini, pelajar juga diasah untuk lebih mengekspresikan idea mereka menerusi hasil seni yang mereka cipta.

“Di sekolah ini kita tidak hanya mengajar teknik tetapi kita mengajar seni dalam sejarah, seni dalam pergerakan apabila mereka dapat menilai bahawa seni ini lebih daripada teknik sahaja, lebih kepada sejarah dan pergerakan mereka akan lebih menghargai apa yang mereka pelajari,” tambahnya.


UBAH PERSEPSI PELAJAR, IBU BAPA TENTANG ‘SENI TIDAK SEPENTING SUBJEK LAIN’

Walaupun sudah enam tahun menjadi pakar dalam pembelajaran seni selepas menjadi guru Bahasa Inggeris dan Sains, Cikgu Ain berkongsi bahawa cabaran tetap ada. Iaitu
setiap tahun pasti ada murid enggan menduduki kelas kendaliannya dengan alasan kelas seni tidak “sepenting subjek-subjek” lain.

Di sinilah Cikgu Ain berusaha untuk menukar persepsi anak-anak muridnya dan juga para ibu bapa, serta masyarakat.

Kelas seni, terang beliau, sebenarnya melengkapkan pelajar dengan kemahiran untuk menjadi lebih teliti. Kemahiran ini menurut beliau membantu meningkatkan daya ketelitian pelajar apabila menduduki peperiksaan nanti.

“Pada saya apa-apa yang kita pelajari kita harus pelajari dengan mendalam, kita tidak boleh ambil pendekatan ‘ia tidak penting’, ‘ia penting’. Sebab itu saya terapkan pembelajaran ‘visible thinking’ (penzahiran fikiran) kerana dengan ‘visible thinking’ murid-murid dapat luahkan apa yang di dalam fikiran mereka.

“Ini pada saya adalah teknik yang bagus bukan sahaja untuk mata pelajaran seni tapi juga untuk mata pelajaran yang lain kerana jika mereka tidak dapat meluahkan apa yang kekusutan yang berada dalam fikiran mereka, mereka tidak dapat belajar dengan betul, kerana mereka tidak dapat jelaskan kekusutan mereka,” kongsi Cikgu Ain lagi.

Pandemik COVID-19 juga merupakan satu cabaran yang dialaminya iaitu untuk mengajar seni menerusi skrin komputer. Namun beliau lega kerana dua minggu sebelum langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19 dikuatkuasakan, pihak sekolah sudah bersiap sedia untuk melalui fasa tersebut.

Ditanya pula apakah harapan beliau sempena sambutan Hari Guru di tengah-tengah pandemik COVID-19, ini luahan Cikgu Ain:

“Pada saya para guru adalah contoh yang terbaik bagi murid-murid, kami telah melakukan yang terbaik, kami telah belajar dan kami tidak patah semangat dengan keadaan COVID-19.

“Jadi saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru-guru yang telah menyahut cabaran sewaktu COVID-19. Selamat Hari Guru untuk semua, kita adalah wira yang sebenar!”

PEMENANG ANUGERAH PRESIDEN BAGI GURU (PAT)

Tuah tidak menyebelahi Cikgu Ain kali ini, apabila keputusan PAT diumumkan pada Khamis (3 Sep).

Meskipun tidak terpilih sebagai antara lima pemenang anugerah tersebut, pencalonan itu amat bermakna untuk Cikgu Ain kerana merupakan suatu pengiktirafan terhadap dedikasinya dalam dunia pendidikan di peringkat nasional.

Namun demikian beliau tidak pulang dengan tangan kosong. Finalis seperti Cikgu Ain akan menerima geran pembangunan profesional yang membolehkan beliau menghadiri persidangan, seminar ataupun kursus. Beliau juga boleh menggunakan geran tersebut untuk membeli sumber-sumber bagi peningkatan profesionalnya.

(Gambar: MOE)

Berikut ini adalah senarai penuh calon dan para pemenang PAT 2020:

1- Shanthi Deenathayalan dari Sekolah Rendah Guangyang
2- Wong Bing Sum dari Sekolah Rendah Radin Mas
3- Yeo Cheng Yong dari Sekolah Menengah Fuhua
4- Ira Wati Bte Sukaimi dari Sekolah Menengah Mayflower
5- Tang Yee Fun Francis dari Sekolah Menengah Outram
6- Ong Kian Hock dari Sekolah Rendah Greenridge
7- Nurul’ Ain Bte Azilah dari Sekolah Rendah Seng Kang
8- Yok Joon Meng dari Sekolah Rendah Yu Neng
9- Poon Mei Ming dari Sekolah Rendah Zhenghua
10- Leow Wee Meng Frankie dari Sekolah Menengah Bedok Green
11- Heng Swee Chye dari Sekolah Menengah Kent Ridge

12- Oh Chee Kiat dari Institut Pendidikan Teknikal College East
13- Dr Chia Hui Teng (Politeknik Singapura)

 

- BERITAMediacorp/ur

Top