Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Cherian George: Undang-undang tangani penghinaan kaum dan agama akan timbulkan masalah

Memperkenalkan undang-undang antimaklumat palsu terhadap penghinaan kaum dan agama adalah seperti 'memberi kumpulan yang suka mencetuskan ketegangan dalam masyarakat senjata baru' dan bukan mencegah mereka daripada melakukan demikian.

Anggaran Waktu Membaca:
Cherian George: Undang-undang tangani penghinaan kaum dan agama akan timbulkan masalah

Profesor Cherian George.

Diterbitkan : 27 Mar 2018 07:49PM Dikemas Kini : 27 Mar 2018 08:38PM

SINGAPURA: Memperkenalkan undang-undang antimaklumat palsu terhadap penghinaan kaum dan agama adalah seperti 'memberi kumpulan yang suka mencetuskan ketegangan dalam masyarakat senjata baru' dan bukan mencegah mereka daripada melakukan demikian.

Demikian menurut ahli akademik Profesor Cherian George yang menghadiri perbincangan awam Jawatankuasa Pilihan mengenai Kepalsuan Online Disengajakan hari ini (27 Mac).

Ini bermakna, kata Prof George, undang-undang terhadap mereka yang menghina kaum dan agama sebaliknya akan menimbulkan masalah. Ini meskipun banyak teori dalam buku-buku menyatakan undang-undang sedemikian digunakan bagi melindungi keharmonian sosial.

Oleh itu, Prof George menyarankan supaya hak perlembagaan rakyat seperti dalam kebebasan beragama dan kesaksamaan kaum "ditegakkan dengan tegas". "Dengan dasar-dasar antidiskriminasi yang kukuh dan perundangan yang adil, hasutan terhadap kebencian tidak mampu mencetuskan permasalahan serius."

Antara perkara yang beliau sarankan kepada Jawatankuasa Pilihan, termasuk memansuhkan Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan bahawa adalah satu jenayah bagi pihak yang sengaja menyinggung perasaan sesebuah kaum atau agama.

Beliau menjelaskan bahawa undang-undang itu mengundang orang ramai untuk menggesa pemerintah supaya campur tangan apabila mereka tersinggung meskipun komen atau tindakan terhadapnya bersifat subjektif.

KEBENCIAN AKIBAT MAKLUMAT PALSU SESUATU YANG BERBEZA

Prof George menjelaskan Singapura lebih tahu tentang jenis-jenis kenyataan yang berpotensi mencetuskan ketegangan kaum. Namun kes demikian jarang berlaku di mana seorang individu melanggar norma sosial, dan mengambil tindakan tanpa berfikir panjang tentang akibatnya.

Namun, tegas beliau, kebencian yang timbul daripada maklumat palsu adalah "sesuatu yang amat berbeza sekali": Kempen-kempen berskala besar, berterusan dan sistematik, yang dijalankan di pelbagai peringkat.

Kempen-kempen sedemikian juga tidak menggunakan pendekatan biasa melalui ucapan-ucapan yang berunsurkan kebencian. "Mereka akan menyamar sebagai mangsa," kata beliau. "Mereka mendakwa masyarakat mereka sangat tersinggung dengan kata-kata dan amalan kumpulan lain."

TUMPUAN BERLEBIHAN KEPADA MEDIA SOSIAL MUNGKIN TIDAK BERKESAN

Prof George turut berkata memberi tumpuan berlebihan kepada media sosial juga mungkin tidak berkesan. "Menyukarkan mereka menggunakan Internet tidak akan membendung pengaruh mereka daripada tersebar luas," katanya. "Mereka akan mencari kaedah lain, termasuk melalui gerakan bawah tanah."

"Komunikasi bersemuka di tempat-tempat ibadat dan kumpulan pelajar mungkin memainkan peranan lebih besar daripada mesej-mesej online untuk memupuk sikap toleransi dalam agama," katanya.

Beliau menambah adalah lebih "bijak" untuk menganggap Internet sebagai "mendedahkan simptom-simptom keadaan tersembunyi", dan bukan sebagai kaedah penyebaran utama untuk mencetuskan kebencian (dalam kalangan masyarakat)".  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan