Images
  • charles chong

Charles Chong: Jawatankuasa Pilihan akan teliti aduan berhubung perbincangan awam

SINGAPURA: Jawatankuasa Pilihan mengenai kepalsuan online yang disengajakan akan menyiasat dakwaan yang diterima berhubung sesi-sesi perbincangan awam sebelum mengeluarkan respons, kata Pengerusi Charles Chong hari ini (3 Apr).

Kumpulan hak asasi manusia Maruah mengeluarkan kenyataan hari ini bagi meluahkan "keraguannya" terhadap perbicaraan itu.

Beberapa saksi daripada perbicaraan jawatankuasa yang diadakan minggu lalu mengatakan rumusan bukti yang mereka bentangkan, yang dikeluarkan oleh jawatankuasa itu, memutarbelitkan pandangan mereka.

Selain itu, sekumpulan aktivis menandatangani satu kenyataan semalam (2 Apr) yang mengkritik cara perbicaraan itu dijalankan.

Dalam satu catatan blog, wartawan bebas Kirsten Han mengongsi aduan rasmi yang beliau kirimkan kepada Parlimen. Menurutnya, pandangannya semasa perbicaraan itu "sangat diputarbelitkan dalam Rumusan Bukti".

Dalam pada itu, pekerja sosial Encik Wham, yang mewakili Community Action Network (CAN), juga menghantar aduan kepada Encik Chong di laman Facebooknya tentang rumusan yang "terlalu berlainan" dengan apa yang beliau katakan semasa perbicaraan.

Misalnya, dalam perdebatan dengan anggota jawatankuasa Edwin Tong, beliau mengatakan bahawa tiada bukti empirik yang menunjukkan masalah kepalsuan online yang disengajakan mempunyai kesan serius dalam masyarakat Singapura. "Saya tidak katakan bahawa tidak ada bukti sama sekali," tegas beliau.

Selain tidak membentangkan rumusan yang tepat, kumpulan aktivis itu juga menarik perhatian kepada perbicaraan yang "tidak terbuka" dan para anggota jawatankuasa yang kelihatan seperti tidak berminat dalam pandangan para saksi.

Kenyataan kumpulan itu juga mengatakan bahawa terdapat "banyak soalan yang mempengaruhi hala perbincangan" dan para anggota jawatankuasa "berkali-kali mendesak untuk mendapat jawapan antara 'ya' atau 'tidak' kepada soalan-soalan meski sudah diberitahu berkali-kali tentang pentingnya konteks dan nuansa (dalam perbincangan)".

Kumpulan hak asasi manusia Maruah juga menyuarakan keprihatinan serupa hari ini (3 Apr). Ia menyatakan bahawa perbicaraan kadangkala "terlalu fokus" untuk menunjukkan kepada saksi bahawa sebenarnya merekalah yang menyebarkan maklumat palsu melalui "soal siasat yang sangat serius".

Ia juga menyifatkan pendekatan jawatankuasa itu sebagai "tidak menghormati" para saksi, dan berkata ia kadangkala "memandang remeh dan wujudnya diskriminasi".  

- CNA/AQ/aq

Top