Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Chan Chun Sing: S'pura harus kekal berprinsip dan tidak memihak

Sebagai sebuah negara yang kecil, Singapura perlu kekal berprinsip dan tidak berpihak dalam urusannya dengan negara-negara lain supaya mampu kekal relevan di dunia, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing hari ini (14 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 May 2018 11:05PM Dikemas Kini : 15 May 2018 12:34AM

SINGAPURA: Sebagai sebuah negara yang kecil, Singapura perlu kekal berprinsip dan tidak berpihak dalam urusannya dengan negara-negara lain supaya mampu kekal relevan di dunia, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing hari ini (14 Mei).

Berucap semasa Parlimen membahaskan Ucapan Presiden, Encik Chan menarik perhatian bahawa peralihan kuasa ekonomi antara kuasa Barat dengan Timur, seperti yang digambarkan oleh Amerika Syarikat dan China, akan membentuk persekitaran keselamatan dan ekonomi global dalam masa beberapa tahun akan datang.

Memandangkan ramai ingin tahu Singapura memihak kepada China atau Amerika, menteri itu memberi amaran bahawa ia bukan pendekatan yang baik terhadap isu itu.

"Sebagai sebuah negara kecil dengan ekonomi terbuka, kami percaya pada dunia yang berlandaskan undang-undang, ketersambungan dan saling bergantung," katanya. "Tugas kami bukan untuk memihak."

Negara-negara kecil, berbanding negara lain, perlu mempunyai prinsip, tambah Encik Chan. "Jika ada pihak lain yang ingin meletakkan harga pada kedudukan dan pendirian Singapura, tidak ada orang yang akan memandang kita dengan serius lagi."

Beliau juga menarik perhatian bahawa Singapura menjadi tuan rumah mesyuarat bersejarah antara China dengan Taiwan, seperti pertemuan antara Xi Jinping dengan Ma Ying-jeou pada 2015. Singapura juga bakal menjadi tuan rumah bagi mensyuarat antara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un pada bulan Jun nanti.

"Pendirian berprinsip dan sikap tidak memihak kami adalah antara sebab mengapa Singapura dipilih untuk menjadi tuan rumah mesyuarat-mesyuarat ini," kata menteri itu.

TEMBUSI PASARAN CHINA, AS

Beliau juga menggesa semua orang ramai - pemerintah, perusahaan dan para individu - untuk memahami dunia dan secara bersama kekal berwaspada kepada kuasa-kuasa yang mempunyai pengaruh ke atas Singapura dan mengambil sebarang langkah dengan berhati-hati.

Beliau menukil China sebagai contoh, sambil berkata negara itu, sebagai negara gergasi yang pesat berubah, "tidak monolitik".

Setiap negara mempunyai kepentingan yang berbeza dari segi keselamatan, ekonomi dan sosial. Negara lain juga mempunyai pelbagai wilayah dan lapisan pemerintah, yang mempunyai pandangan dan keutamaan masing-masing.

Ini, katanya, membawa kepada dua perkara: Pertama, untuk kekal relevan kepada China, (negara) tidak boleh bergantung kepada pemikiran dan huraian kuno kerana ia bukan persoalan "turun menurun", tetapi tentang bagaimana untuk membangunkan huraian sendiri kepada cabaran-cabaran yang unik, kadangkala secara dalaman dan kadangkala juga bersama rakan-rakan niaga, kata beliau.

Kedua, pengetahuan tentang pemerintah pusat China "perlu tetapi tidak mencukupi" kerana kepentingan dan pandangan yang berlainan.

"Kini China tidak hanya bergantung kepada pelaburan luar negara atau melabur di luar negara, kami perlu menanyakan bagaimana kita boleh memainkan peranan dalam kerjasama dengan China untuk meneroka pasaran negara ketiga," kata Encik Chan.

Bagi Amerika Syarikat, beliau berkata Singapura tidak hanya mempererat kerjasama dalam bidang-bidang seperti huraian negara bijak dan e-dagang, ia juga sedang meninjau cara untuk menjadi pelantar bagi syarikat-syarikat Amerika yang ingin menembusi pasaran serantau.

TERUS BINA RANGKAIAN

Bagi memastikan Singapura kekal relevan dan menarik, Encik Chan menarik perhatian bahawa rakyat perlu mempunyai pemahaman mendalam tentang (isu-isu) serantau dan dunia supaya kita boleh mewujudkan satu nilai tambahan ketika berurusan dengan pihak lain dalam bidang perniagaan.

Dengan itu, sistem pendidikan dan model-model latihan, perlu berkembang sealiran untuk menyokong ini, tambah beliau.

Menteri Perdagangan dan Perusahaan juga mengumumkan bahawa Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) dan agensi-agensi lain yang berkaitan akan bekerjasama untuk mengatur dengan lebih baik dan meluaskan jangkauannya ke luar negara. Antara inisiatifnya termasuk membangunkan rangkaian bakat Singapura untuk mendampingi keluarga-keluarga, sahabat dan peminat Singapura untuk menjadi sebahagian sejarah Singapura.

Beliau juga mengajak rakyat Singapura untuk bekerja dengan bakat-bakat luar negara, sambil berkata bahawa dinamisme pakar-pakar luar negara dengan tenaga kerja yang mahir akan "saling mengutungkan".

Encik Chan selanjutnya berkata bahawa ada keperluan untuk meluaskan jangkauan kepada dunia untuk mendapat akses kepada sumber-sumber dan pasaran (mereka).

Ini bermakna, portfolio-portfolio pasaran perlu diperluaskan untuk mempelbagaikan risiko, serta melakukan lebih daripada dimensi-dimensi ketersambungan udara, darat dan laut kepada bidang-bidang seperti data, kewangan, bakat dan teknologi.

Dengan daya pengeluaran global dan rantaian pengedaran yang berubah, Singapura perlu kekal tangkas dalam bertindak kepada perubahan-perubahan ini.

Pada dasarnya, sedang ekonomi Singapura menjadi matang dan bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan, ada keperluan untuk mengusahakan perniagaan ke luar negara.

Ini bukan sahaja tentang mewujudkan peluang-peluang terbaik di sini, tetapi juga membantu mereka merebut peluang di luar negara, kata Encik Chan.  

Sumber : CNA/AQ/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan