Images
  • supermarket singapore
    (Gambar: Reuters)

Chan Chun Sing jelaskan strategi perkukuh bekalan makanan S'pura

SINGAPURA: Dengan sepertiga penduduk bumi dikenakan perintah berkurung, Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing memberitahu Mediacorp bahawa penduduk Singapura "tentu sekali boleh menjangkakan gangguan" pada rantaian bekalan negara ini.

Kelengahan pada penghantaran makanan sudahpun berlaku menyusuli penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan di Malaysia.

Sehubungan itu, Encik Chan menyeru rakyat Singapura supaya terus meyakini bahawa negara ini boleh mengharungi wabak COVID-19 dengan usaha-usaha kukuh dan perancangan awal untuk menjaga bekalan makanan negara ini.

"Sesetengah sayur-sayuran mungkin lambat dihantar. Sesetengah bekalan telur mungkin dihantar lewat sedikit," kata beliau semasa diwawancara dalam rancangan Talking Point yang akan disiarkan malam ini (26 Mac) di Saluran 5.

"Kita berupaya mendapatkan bekalan daripada sumber-sumber lain... untuk mengimbangi bekalan dari Malaysia yang terjejas. Jadi sedikit sebanyak, saya rasa kesan terhadap pasaran tempatan tidak begitu ketara."

Rakyat Singapura mungkin perlu menggantikan sesetengah makanan yang dibeli mereka, contohnya, menukar dari sayur-sayuran segar kepada sayur-sayuran dalam tin.

Bagi makanan dalam kategori-kategori utama seperti karbohidrat dan protein, Encik Chan memberi jaminan kepada orang ramai bahawa Singapura mempunyai bekalan mencukupi "yang dapat bertahan bagi tempoh yang agak lama, sedang kita secara berterusan mencari sumber-sumber alternatif".

Tidak perlu untuk melakukan pembelian panik, kata Encik Chan semasa bercakap secara terbuka buat pertama kali sejak rakaman audio mengenai komennya terhadap reaksi sesetengah pembeli-belah berhubung keputusan pemerintah untuk menaikkan tahap Sistem Respons Keadaan Penularan Penyakit (DORSCON) dari warna Kuning kepada Jingga dibocorkan.

"GABUNGAN STRATEGI"

Meskipun ini bukan kali pertama Encik Chan dan beberapa menteri lain memberikan jaminan mengenai bekalan simpanan negara dan rantaian bekalan Singapura yang pelbagai, sekatan-sekatan sempadan yang diperketatkan di merata dunia menimbulkan cabaran setiap hari, akur Encik Chan.

"Sesetengah produk yang memerlukan sedikit keupayaan pengilangan yang agak khusus akan tertangguh sedikit. Sesetengah rantaian bekalan dari segi pengangkutan di negara-negara lain juga terjejas, jadi ia mungkin menyumbang kepada penghantaran yang tertangguh," jelas beliau.

"Kita mesti ada pelan B, kalau tidak, pelan C dan D."

Tanpa menjelaskan dengan terperinci - atas sebab-sebab strategik untuk melindungi kedudukan Singapura dalam rundingannya - Encik Chan turut menarik perhatian kepada respons pemerintah.

Misalnya, meskipun bekalan Singapura secara amnya memang sudah dirancang untuk menampung kecemasan jangka pendek, pihak berkuasa juga sudah menyemak semula jumlah yang diperlukan untuk mengambil kira gangguan yang mungkin berlaku pada rantaian bekalan merata dunia dan juga untuk tempoh yang lebih panjang".

"Setiap barangan dalam kategori barangan keperluan" sedang diberi perhatian dan ia bukan setakat makanan saja. Antara barangan yang disimpan dalam bekalan negara adalah ubat-ubatan dan perkakas perlindungan peribadi.

Bukan saja bekalan-bekalan tersebut yang sudah ditambah, malah sesetengah tempahan - seperti pil-pil multivitamin - juga ditambah lebih sebulan lalu untuk menampung gangguan yang mungkin berlaku pada bekalan.

Encik Chan menarik perhatian meskipun sesetengah negara menutup sempadan untuk menghadkan pergerakan manusia, negara-negara tersebut mahu sempadan mereka terus dibuka untuk penghantaran barangan. Singapura mempunyai rakan-rakan yang bekerjasama secara strategik untuk memastikan ia tercaoai.

Sebagai contoh, Australia, Brunei, Kanada, Chile, New Zealand dan Singapura mengeluarkan kenyataan bersama semalam (25 Mac) untuk menegaskan komitmen masing-masing dalam memastikan ketersambungan rantaian bekalan.

Menjawab soalan mengenai subsidi makanan, Encik Chan menjawab: "Cara seperti itu tidak mampan kerana para pembekal asing akan mengambil kesempatan daripada subsidi-subsidi itu.

"Tiada jalan terbaik untuk mengurangkan harga buat sementara waktu ini."

Membantu para pengimport makanan Republik ini mempelbagaikan bekalan mereka "barangkali jauh lebih penting daripada sekadar memberikan subsidi makanan daripada satu-satu sumber pembekal, yang mungkin akan mengambil kesempatan daripada keadaan kita", tambah beliau.

Bagi sayur-sayuran misalnya, Singapura sudah 'membuka saluran bekalan' yang menjangkaui Malaysia hingga ke negara-negara seperti Indonesia, Vietnam, China dan Taiwan.

Beliau akur bahawa "Singapura mungkin perlu membayar harga lebih mahal sedang ia mempelbagaikan sumber", namun, gabungan strategi Singapura untuk memastikan harga terus dimampui juga termasuk memastikan negara ini mempunyai keupayaan untuk menghasilkan makanan tempatan, sambil mengambil kira faktor-faktor seperti kekangan tanah dan tenaga manusia.

TENTANG INSIDEN ITU

Encik Chan turut mengenal pasti satu lagi perkara yang mesti dilakukan Singapura selagi wabak COVID-19 berterusan, iaitu untuk berkongsi.

"Jika setiap orang membeli barang-barang keperluan secara borong ... tentu sekali anda akan menyebabkan harga terus meningkat. Dan ia juga akan membolehkan orang lain untuk mengenakan harga yang lebih tinggi apabila mereka melihat kita cemas," kata beliau.

Itulah salah satu sebabnya mengapa beliau berasa kecewa melihat sesetengah orang terjerat dengan pembelian panik, yang 'mencemarkan nama baik seluruh rakyat Singapura'.

Beliau meluahkan kekecewaannya itu semasa satu mesyuarat tertutup dengan para anggota Dewan Perdagangan dan Perusahaan Cina Singapura (SCCCI). Rakaman audio komennya itu kemudian dibocorkan dan menjadi tular.

Sebulan sebelum insiden itu, Encik Chan akur bahawa pembelian barangan secara borong juga berlaku di negara-negara lain dan respons seumpama itu mungkin berpunca daripada ketakutan berdepan dengan keadaan yang tidak menentu.

Namun, beliau berharap rakyat Singapura dapat membezakan diri mereka daripada penduduk negara-negara lain di tengah-tengah wabak COVID-19.

"Ia akan memberi orang lain keyakinan untuk mengatakan bahawa lain kali, apabila mereka berunding dengan rakyat Singapura, mereka berunding dengan orang yang berhemah: Orang yang tenang, orang yang bersatu, orang yang mempunyai pendirian yang lebih tegas," kata beliau.

Encik Chan berharap rakyat Singapura dapat merasakan bahawa mereka tidak bersendirian dalam usaha memerangi virus korona dan mereka juga memikirkan tentang nasib golongan yang lebih mudah terjejas.

"Kita perlu lebih ramai rakyat Singapura untuk terus bertenang dan membantu rakyat yang kurang yakin mengatasi kebimbangan mereka," kata beliau.

"Jika kita boleh melakukannya secara bersama, kita akan bangkit sebagai penduduk yang lebih teguh dan bukan penduduk yang bimbang sekiranya mereka perlu mengatasi wabak ini sendirian."

- CNA/AY/ha

Top