Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Chan Chun Sing bincang isu kelas, seru lebih ramai warga S'pura tampil hulur bantuan

Siapa yang sepatutnya ditakrifkan sebagai "elit", bagaimana untuk membantu golongan kurang berkemampuan dan bagaimana warga Singapura berkongsi sumber negara yang terhad - inilah antara isu yang ditimbulkan Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing pada Jumaat (26 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Chan Chun Sing bincang isu kelas, seru lebih ramai warga S'pura tampil hulur bantuan

Menteri Chan Chun Sing berucap semasa sesi panel penutup ulang tahun IPS ke-30

Diterbitkan : 26 Oct 2018 11:15PM Dikemas Kini : 26 Oct 2018 11:20PM

SINGAPURA: Siapa yang sepatutnya ditakrifkan sebagai "elit", bagaimana untuk membantu golongan kurang berkemampuan dan bagaimana warga Singapura berkongsi sumber negara yang terhad - inilah antara isu yang ditimbulkan Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing pada Jumaat (26 Okt).

Encik Chan, yang berucap semasa sesi panel penutup ulang tahun ke-30 Institut Pengajian Dasar, mengulas isu elitisme di Singapura dengan menceritakan tentang lawatan beliau ke Sekolah Anglo-Chinese (Bebas) baru-baru ini.

Beliau berkongsi bahawa beberapa pelajar berasa sedih kerana dipersenda orang lain yang menggelar mereka "elitis" kerana menuntut di sekolah itu. Beliau memberitahu mereka bahawa menjadi pelajar di sekolah itu tidak membuat mereka elitis kerana mereka berjaya untuk berada di tempat mereka sekarang.

"Tetapi jika anda berada di ACS (I) dan anda lupa atau enggan mendampingi orang-orang yang kurang bernasib baik, maka saya fikir itulah definisi elitisme."

Beliau kemudian membezakan antara "anti-elitisme dan anti-kecemerlangan" dan memberi amaran agar tidak merendah-rendahkan orang lain hanya kerana mereka berjaya.

"Saya tidak berburuk sangka terhadap seseorang, tidak kira latar belakang, jika beliau cemerlang dan memberi sumbangan kepada masyarakat. Saya rasa itu adil," kata Encik Chan.

"Namun jika seseorang mencapai kecemerlangan, bukan melalui usahanya sendiri, mungkin melalui hubungan atau keturunannya (dan) tidak pernah mendampingi orang lain, itu satu perkara berbeza."

MASA, KOMITMEN LEBIH DIPERLUKAN DARI WANG

Encik Chan kemudian berkongsi bahawa golongan paling kaya dan paling susah di Singapura tinggal di kawasan undinya di Buona Vista dan beliau sering ditanya oleh golongan kaya bagaimana mereka boleh membantu.

Beliau berkata bahawa beliau akan menjawab: "Saya mungkin lebih memerlukan masa dan bakat anda berbanding wang anda."

Menteri itu menjelaskan bahawa hasratnya adalah untuk setiap daripada mereka mengambil keluarga angkat daripada kawasan kejiranan itu, mendampingi mereka dan menjadi peran contoh untuk anak-anak di situ. Bagaimanapun beliau akur bahawa ini memerlukan komitmen jangka panjang yang memakan masa satu atau dua dekad.

"Kami memerlukan orang untuk tampil ke depan; kami memerlukan orang bukan hanya untuk membincangkan sebab-sebab, berhujah tentang punca-punca (ketidaksamaan sosial) ... tetapi kita semua boleh melakukan sesuatu untuk satu-satu keluarga di kawasan kejiranan masing-masing."

KONGSI SUMBER DENGAN GOLONGAN LEBIH MEMERLUKAN

"Hari ini, di Singapura, saya tidak fikir kita tidak mempunyai sumber mencukupi untuk golongan yang lemah dan memerlukan. Hakikatnya ... masalah yang kami hadapi adalah bagaimana untuk menentukan siapa yang lemah dan kurang berkemampuan," Encik Chan berkata.

"Di Singapura hari ini, saya fikir ia bukan soal berapa banyak kita perlu berkongsi dengan satu sama lain; ia juga tentang bagaimana kita berkongsi, dan sama ada kita sebagai individu mahu memiliki semua yang kita fikir adalah hak kita, atau meninggalkan sedikit untuk mereka yang lebih memerlukan."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan