Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Chan Chun Sing bertegas CECA tidak beri akses tanpa syarat, keistimewaan imigresen kepada warga India

Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing berkata pada Sabtu (9 Nov) bahawa Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Singapura-India (CECA) tidak memberikan akses tanpa syarat atau keistimewaan imigresen kepada rakyat India untuk memasuki negara ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Chan Chun Sing bertegas CECA tidak beri akses tanpa syarat, keistimewaan imigresen kepada warga India

Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing bercakap mengenai Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Singapura-India (CECA).

Diterbitkan : 10 Nov 2019 11:45AM Dikemas Kini : 10 Nov 2019 11:55AM

SINGAPURA: Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing berkata pada Sabtu (9 Nov) bahawa Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Singapura-India (CECA) tidak memberikan akses tanpa syarat atau keistimewaan imigresen kepada rakyat India untuk memasuki negara ini.

Dakwaan-dakwaan yang menuduh perjanjian dua hala itu menjejas peluang pekerjaan rakyat Singapura bermuslihat untuk mencetuskan kegelisahan di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi, kata Encik Chan.

Encik Chan mengeluarkan komen itu selepas satu video yang dikongsi online, menunjukkan seorang lelaki memaki hamun seorang pengawal keselamatan di kondominium Eight Riversuites.

Polis kemudian menyatakan bahawa seorang lelaki bernama Ramesh Erramalli sedang disiasat kerana "sengaja menyebabkan gangguan pada seorang pengawal keselamatan".

Video itu, yang menunjukkan Encik Erramalli memaki hamun dan melemparkan kata-kata kesat terhadap seorang pengawal keselamatan berhubung peraturan kondo yang memerlukan tetamu membayar S$10 untuk meletakkan kereta di kondo berkenaan selepas 11.00 malam, mengundang banyak kecaman daripada rakyat Singapura.

Kepalsuan berkaitan perjanjian perdagangan bebas (FTA) turut dibangkitkan.

Salah satu dakwaan tersebut menuduh CECA membolehkan warga India untuk merampas pekerjaan PMET (Karyawan, Pengurus, Eksekutif dan Teknisyen) daripada rakyat Singapura.

Encik Chan turut menjelaskan bahawa semua FTA, termasuk CECA, tidak mengenakan sebarang syarat ke atas Singapura berhubung imigresen.

"Karyawan India, seperti para karyawan dari negara-negara lain, perlu memenuhi kriteria kelayakan sedia ada MOM (Kementerian Tenaga Manusia) untuk bekerja di Singapura. Ini meliputi Pas Kerja, Pas S dan permit kerja.

"Kedua, CECA tidak memberikan akses imigresen istimewa kepada warga India. Sesiapa yang memohon untuk mendapatkan kerakyatan Singapura mesti memenuhi kriteria sedia ada," tegas Encik Chan.

Bercanggah dengan dakwaan-dakwaan bahawa rakyat Singapura sudah kehilangan pekerjaan PMET, Encik Chan menarik perhatian bahawa rangkaian FTA negara ini sebenarnya menambah sebanyak 400,000 pekerjaan kepada 1.25 juta sejak 2005.

Lebih separuh tenaga buruh Singapura terdiri daripada PMET. Perdagangan dua hala juga meningkat hampir S$10 bilion.

Sekalipun Encik Chan akur bahawa ketidaktentuan ekonomi mewujudkan kegelisahan terhadap keselamatan pekerjaan, beliau menegaskan bahawa kebimbangan sedemikian bukanlah satu respons yang wajar.

"Kami memahami dan turut berkongsi keprihatinan yang sama dengan rakyat Singapura berhubung persaingan dan prospek pekerjaan dalam persekitaran ekonomi yang tidak menentu. Namun, cara untuk membantu rakyat Singapura bukanlah dengan mengelirukan mereka atau mewujudkan kegelisahan dan kemarahan," kata Encik Chan.

"Sebaliknya cara untuk membantu rakyat Singapura adalah dengan memastikan, yang pertama, kita memperluaskan pasaran bagi perusahaan-perusahaan kita. Latih para pekerja kita supaya mereka terus berada di hadapan persaingan. Jangan membiarkan orang lain mencetuskan kegelisahan dan sikap perkauman dalam rakyat kita. Jangan melakukan perkara ini demi kepentingan peribadi atau bermotif politik yang hanya mementingkan diri sendiri," tambah beliau.

Encik Chan berkata MOM sedia maklum mengenai syarikat-syarikat yang melanggar amalan-amalan pengambilan pekerja yang adil dan akan membanteras perbuatan sedemikian bagi melindungi para pekerja Singapura dan perniagaan tempatan. 

Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan