Images
  • farish noor
    Dr Farish Ahmad Noor di Ceramah Arif Budiman ke-15. 

Ceramah Arif Budiman ke-15 rungkai sejarah Asia Tenggara, tanggapan Barat

SINGAPURA: Tenaga pengajar kita perlu kaya dengan pengetahuan sejarah yang akan membantu mereka menyuntik kesegaran dalam pembelajaran bilik darjah dan menerapkan nilai-nilai penting dalam kalangan generasi muda.

Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata demikian semasa menghadiri ceramah Arif Budiman ke-15 selaku tetamu terhormat hari ini (12 Jul).

"Pengetahuan tentang sejarah lampau Singapura dan rantau ini penting untuk kita memperbetulkan sebarang salah tanggapan, stereotaip dan prejudis," jelas Dr Faishal.


Beliau menambah, guru juga dalam kedudukan terbaik untuk menjelaskan kepada para pelajar tentang kaitan sejarah, perkembangan bahasa, sastera dan budaya Melayu di Singapura mahupun Asia Tenggara.

Maka itu ceramah Arif Budiman kali ini dijadikan wadah untuk mereka meneroka sejarah silam.

"Ceramah Arif Budiman ini juga merupakan satu bentuk program pembangunan profesional bagi guru-guru kita kerana para guru boleh meraih pengetahuan yang mendalam daripada pakar yang diundang," kata Dr Faishal.


Bertajuk 'Singapura Sebelum Raffles', para guru menyusur sejarah Asia Tenggara yang dirungkai bersama-sama dengan tokoh akademik dari Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Dr Farish Ahmad Noor.   

ORANG BARAT TAK SEMUA PANDANG SERONG MASYARAKAT ASIA TENGGARA

Antara penulisan yang jarang didengar turut diperkenalkan, termasuk hasil karya Johan Theodore de Bry yang diterbitkan pada 1601 di Frankfurt.

Menurut Dr Farish, meskipun penulis itu prejudis terhadap masyarakat bukan Eropah, beliau tidak menggambarkan masyarakat Asia Tenggara secara negatif - satu petanda bahawa rantau ini sudah pesat berkembang jauh sebelum zaman penjajahan atau ketibaan Raffles. 

Bahkan, mobiliti sosial bukanlah perkara baru bagi masyarakat Asia Tenggara kerana mereka sudah hidup sebagai 'warga global' sejak dahulu kala.


"(Malangnya), salah satu akibat penjajahan adalah kita iaitu masyarakat Asia Tenggara,  'dikotakkan' dalam kategori-kategori yang sempit," jelas Dr Farish.

PENGETAHUAN SEJARAH ANAK MUDA 'CETEK'

Ditanya BERITAmediacorp tentang kesedaran generasi masa kini terhadap sejarah, Dr Farish berkata pengetahuan mereka boleh dikatakan "cetek" berdasarkan pengalamannya sendiri.

"Berapa di kalangan anak-anak muda kita yang dapat melukis peta Asia Tenggara dan dari memori sahaja? Mungkin tak begitu ramai walaupun mereka hidup di Asia Tenggara, lahir di Asia Tenggara," ujar beliau. 

Malah, Dr Farish menyifatkan perkara itu sebagai satu 'kelemahan', memandangkan generasi akan datang akan berdepan dengan pelbagai cabaran yang muncul dek perubahan ekonomi, revolusi industri keempat dan penggunaan kecerdasan buatan yang berleluasa.


Dengan adanya perubahan-perubahan ini, pola kehidupan dan corak kerja semuanya akan berubah, tambah beliau.

"Penting bagi guru-guru untuk mendidik generasi ini agar mereka bukan hanya mengenali rantau ini tapi bersedia, menyediakan diri mereka untuk hidup merantau kerana ada kemungkinan besar mereka akan terpaksa bergerak dan berpindah dalam ekonomi-ekonomi baru."

JAMBATAN SEJARAH DENGAN KONTEKS MASA KINI

Beliau selanjutnya menjelaskan bahawa mempelajari sejarah dapat membantu kerana keupayaan menyesuaikan diri boleh disaksikan sendiri dari zaman nenek moyang kita.

"Sebelum datangnya kuasa-kuasa penjajah dari Eropah, nenek moyang kita hidup di seluruh rantau Asia Tenggara di mana mereka bergerak dari satu pusat perdagangan ke pusat perdagangan yang lain. Berpindah untuk mencari kerja, mencari nafkah, mencari jodoh dan lain-lain lagi," kata Dr Farish.


Maka itu, beliau berpendapat kita perlu menghayati apa yang dicapai oleh nenek moyang kita yang berjaya membangunkan suatu sistem ekonomi di Asia Tenggara yang begitu berjaya dan makmur satu ketika dahulu.

Dr Farish turut berkata, pembelajaran sejarah adalah penting bagi menangkis mitos-mitos seperti 'pribumi malas' atau 'orang Asia yang ketinggalan zaman'.  

- BERITAmediacorp/aq

Top