Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Cecair pembersih tangan Yayasan Temasek diagih percuma mulai 12 Apr

Setiap keluarga di Singapura boleh mendapatkan cecair pembersih tangan atau 'hand sanitiser' 500ml tanpa alkohol secara percuma mulai 12 April.

Anggaran Waktu Membaca:
Cecair pembersih tangan Yayasan Temasek diagih percuma mulai 12 Apr

Cecair pembersih tangan Yayasan Temasek diagih percuma mulai 12 Apr. (Petikan gambar: YouTube/Temasek Foundation)

Diterbitkan : 30 Mar 2021 10:25PM Dikemas Kini : 30 Mar 2021 10:28PM

SINGAPURA: Setiap keluarga di Singapura boleh mendapatkan cecair pembersih tangan atau 'hand sanitiser' 500ml tanpa alkohol secara percuma mulai 12 April.

Demikian menurut Yayasan Temasek hari ini (30 Mac).

Menerusi catatan di laman Facebooknya, Yayasan Temasek menyatakan para penduduk boleh mengambil cecair tersebut daripada 108 mesin layan diri di merata negara antara 12 April dengan 25 April.

Mesin-mesin itu ditempatkan di kelab-kelab masyarakat dan rumah-rumah kedai Temasek di Orchard Road.

Cecair pembersih tangan itu dihasilkan oleh syarikat tempatan Klenco. Ia sudah diwarnakan ungu supaya ia kelihatan lain daripada air minuman, menurut Yayasan Temasek menerusi kenyataan medianya.

Para penduduk perlu membawa bil api air Singapore Power (SP), serta botol sendiri, untuk mendapatkannya.

Setiap penduduk boleh membawa sehingga dua botol. Had maksimum ketinggian botol yang dibenarkan adalah 23 sentimeter dengan kelebaran 11 sentimeter.

Bil SP bagi bulan Mac dan April - baik bil fizikal mahupun elektronik - tertera kod QR khas dengan nombor akaun penduduk.

Untuk mula mengambil cecair tersebut, penduduk perlu mengimbas kod QR pada mesin layan diri atau menekan nombor bil SP mereka pada skrin mesin itu.

Selepas itu, satu pelekat #BYOB akan dikeluarkan dan penduduk boleh mendapatkan cecair pembersih tangan percuma itu.

"Setiap mesin layan diri automatik akan mengeluarkan sebanyak 500ml cecair pembersih tangan #BYOB bagi setiap keluarga, sebaik sahaja ia mengesahkan bil SP, tanpa mengira sama ada satu atau dua botol digunakan," menurut Yayasan Temasek.

Ini adalah inisiatif kedua seumpamanya oleh yayasan itu.

Pada Mac tahun lalu, ia mengagihkan 500ml cecair pembersih tangan tanpa alkohol secara percuma di kelab-kelab masyarakat dan 16 pusat beli-belah CapitaLand.

Ia juga sudah mengagihkan pelitup guna semula secara percuma sebanyak empat kali.

Para penduduk yang memerlukan bantuan boleh melungsuri laman stayprepared.sg/BYOBclean untuk mendapatkan lebih banyak maklumat.

"Ini adalah mesin layan diri pertama di dunia yang secara automatik memproses campuran cecair pembersih tangan dengan air bersih dan mengeluarkan cecair pembersih tangan yang siap digunakan terus ke dalam botol," menurut Yayasan Temasek.

"Mesin-mesin ini mengurangkan risiko penularan COVID-19 menerusi manusia, berbanding proses intensif yang memerlukan tenaga manusia bagi #BYOBclean yang pertama. Ia juga melanjutkan waktu pengambilan di kebanyakan lokasi untuk memudahkan penduduk." 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan