Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Cawangan terbaru Springleaf Prata beroperasi dengan 75% tenaga kerjanya pekerja berkeperluan khas

Kedai prata popular - Springleaf Prata Place - menggajikan enam pekerja berkeperluan khas sekali gus bagi cawangan terbarunya di Lorong 8 Toa Payoh. Golongan istimewa itu bahkan membentuk 75 peratus seluruh tenaga kerjanya.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Melihat satu atau dua pekerja istimewa bertugas di kedai makan mungkin perkara biasa.

Namun kedai prata popular - Springleaf Prata Place - menggajikan enam pekerja berkeperluan khas sekali gus bagi cawangan terbarunya di Lorong 8 Toa Payoh. Golongan istimewa itu bahkan membentuk 75 peratus seluruh tenaga kerjanya.

Tugas mereka pula bukan sekadar membersihkan meja. Sebaliknya, sama seperti pekerja F&B lain, mereka dilatih supaya boleh menyediakan atau memasak mi dan nasi goreng serta menyiapkan minuman yang dipesan pelanggan.

"(Sebenarnya), 70% tepung (prata) kami juga dihasilkan golongan kurang upaya yang bekerja di dapur pusat. Jadi memang kita melakukan perkara seperti ini selama sekitar 5-6 tahun. Kami mendapati tidak susah untuk bekerja dengan golongan kurang upaya. Maka itu, membuka Pronto Prata suatu kemajuan semula jadi," kata Pemilik Springleaf Prata Place, Encik SV Gunalan.

Kedai pratanya itu dinamakan Pronto Prata dan bukan Springleaf kerana ia diusahakan bersama The Social Kitchen - sebuah perusahaan sosial yang berusaha membantu golongan kurang upaya atau kurang bernasib baik mendapat pekerjaan.

Sejak ditubuhkan tahun lalu, The Social Kitchen sudah melatih lebih 20 individu berkeperluan khas dalam bidang F&B.

"Mereka biasanya dilatih tentang cara menyambut pelanggan dahulu supaya menjadi lebih yakin diri. Bila mereka sudah yakin, kami bimbing mereka buat tugas lain," terang Pengarah The Social Kitchen, Cik Avelyn Lee.

GUNA MESIN CANGGIH YANG CECAH KOS S$40,000

Semasa BERITAmedicorp berkunjung ke Pronto Prata pada Jumaat (22 Okt), kami diberi peluang untuk melihat sendiri bagaimana kedai itu beroperasi.

Ternyata kedai prata Springleaf yang satu ini, sangat unik. Dapurnya dilengkapi teknologi canggih. Sebagai contoh, mereka mempunyai satu mesin yang berupaya memasak mi dan nasi goreng!

Pekerja mereka sekadar perlu meletakkan bahan-bahan masak ke dalam bekas-bekas kecil pada sisi mesin tersebut. Bahan-bahan itu kemudian akan dicampur dan digaul secara automatik. Dalam masa kira-kira dua minit kemudian, hidangan yang 'dimasak' dapat dihidangkan kepada pelanggan.

"Kami selalu tekankan bahawa kualiti makanan tidak boleh terjejas. Semuanya mengikut kaedah tradisional tetapi ia dilakukan mesin. Semua bahan ditimbang dahulu, jadi kemungkinan berlaku kesilapan sangat tipis. Kepanasan kuali pun boleh dikawal. Jadi kualitinya terjaga," jamin Encik Gunalan.

Kru BERITAmediacorp kemudian diberi peluang mencuba mi goreng yang disiapkan salah seorang kakitangannya yang kurang upaya dengan menggunakan mesin itu.

Wah, ia persis mi goreng yang dijual di cawangan Springleaf yang lain. Ia juga tidak berminyak.

"Kerana seberapa minyak yang digunakan pun ditentukan mesin itu," terang Encik Gunalan.

Ini juga, tambah beliau, sedikit sebanyak dapat menjaga keselamatan para pekerja berkeperluan khas - mereka tidak perlu tuang minyak dan sebagainya ke kuali panas.

Selain itu, Pronto Prata mempunyai mesin yang dapat membancuh pelbagai jenis minuman. Fungsinya serupa dengan mesin mi goreng tadi.

Kos yang dibelanjakan bagi mesin-mesin sebegitu, dedah Encik Gunalan, mencecah S$40,000 kesemuanya.

PEKERJA BAWA PULANG LEBIH S$1,100; BELUM ADA INDIVIDU MELAYU TAMPIL

Menariknya, para pekerja berkeperluan khas Pronto Prata juga dibayar gaji setara dengan pekerja lain.

"Kami ingin menganggap mereka sama seperti yang lain. Jadi julat gaji mereka antara S$1,100 hingga S$1,500 bergantung kepada keupayaan dan pengalaman mereka. Kami ingin mereka mampu menyara kehidupan sendiri," jelas Cik Lee.

Seperti apa pula waktu kerja mereka?

Menjawab pertanyaan itu, Cik Lee berkata para pekerja seperti itu biasanya bekerja separuh masa dahulu.

"Mereka bermula dengan dua jam, seterusnya empat jam dan sebagainya. Sekali lagi, ia bergantung kepada keupayaan mereka dan berapa lama mereka boleh bekerja."

Daripada lebih 20 individu istimewa dibimbing The Social Kitchen, 16 kini sudah 'lulus' dan sedang bekerja secara tetap dalam sektor F&B.

Malangnya, dedah Cik Lee, belum lagi ada individu Melayu dalam kalangan penerima bantuannya.

"Kami belum mendapat sebarang rujukan daripada badan-badan Melayu/Islam. Tidak ada juga anggota masyarakat Melayu yang tampil. Kami alu-alukan jika ada yang ingin ikut serta kerana permintaan bagi pekerja seperti ini melebihi jangkaan kami sekarang," tambahnya.

Meskipun baru ditubuhkan, The Social Kitchen sudah bekerjasama dengan badan-badan seperti YMCA, Metta dan Persatuan Khidmat Sosial.

(Gambar fail: The Social Kitchen)

"Kami juga sangat bertuah kerana mempunyai rangkaian teman yang luas dalam dunia komersil. Saya gembira banyak syarikat menghubungi kami untuk meminta pekerja kurang upaya. Mereka termasuk restoran, cawangan-cawangan F&B dan dapur-dapur pusat."

BELUM DAPAT SIJIL HALAL KERANA...

Dengan tiadanya pekerja berkeperluan khas Muslim, maka timbul satu cabaran.

Springleaf belum lagi dapat membuat permohonan bagi sijil halal. Ini dihadapi walaupun semua bahan masak digunakan adalah dari dapur pusat Springleaf - yang sudah lama diiktiraf halal.

Gambar fail salah satu cawangan Springleaf. 

"(Selain itu), pekerja seperti ini tidak berupaya melakukan kerja-kerja audit yang diperlukan. Kami sedang cuba cari jalan keluar. Bagi The Social Kitchen, mereka sedang bekerjasama dengan ITE dan kita mungkin akan dapat pelatih dari sana. Kita mungkin cuba dapatkan pelatih Muslim dan kemudian cuba mulakan proses dapat sijil halal. Bagaimanapun belum ada rancangan yang pasti," kata Encik Gunalan.

Apa pun, beliau memberi jaminan bahawa semua bahan yang digunakan adalah halal seperti di cawangan Springleaf yang lain.

Menu Pronto Prata juga hampir sama dengan cawangan-cawangan Springleaf yang lain. Hanya makanan yang sukar disiapkan pekerja berkeperluan khas, seperti Thosai dan Roti John, tidak disertakan dalam menu.

"Kita perlu lihat apa yang boleh mereka lakukan. Tapi kami juga mempunyai 'mi siam', 'carrot cake' dan hidangan istimewa Pronto Prata, iaitu Prontoast!," kongsi pemilik  Springleaf itu.

Prontoast seperti roti telur biasa yang sering digoreng di rumah. Namun, ia disediakan dengan menggunakan prata dan dihidangkan dengan sirap mapel dan serbuk kayu manis. Memang unik!

Pelbagai jenis prata klasik Springleaf turut ditawarkan di Pronto Prata. Hidangan seperti Prata Alfredo, Murtaburger dan Umami-50 disiapkan sendiri ketua cef cawangan tersebut, iaitu seorang kakitangan Springleaf.

Tiga kakitangan berkeperluan khas dan seorang ketua cef bertugas pada satu-satu masa.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan