Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Cawangan Nando's, Food Junction di Bugis antara premis diarah tutup; langgar peraturan COVID-19

Sebuah restoran Nando's, cawangan Carl's Jr dan Food Junction di Bugis adalah antara lapan premis makanan dan minuman (F&B) yang diarah tutup buat sementara waktu kerana melanggar langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Cawangan Nando's, Food Junction di Bugis antara premis diarah tutup; langgar peraturan COVID-19

Food Junction di Bugis Junction tidak memastikan jarak 1 meter antara kumpulan pelanggan. (Gambar-gambar: Enterprise Singapore)

Diterbitkan : 09 Jul 2021 01:17PM Dikemas Kini : 09 Jul 2021 01:27PM

SINGAPURA: Sebuah restoran Nando's, cawangan Carl's Jr dan Food Junction di Bugis adalah antara lapan premis makanan dan minuman (F&B) yang diarah tutup buat sementara waktu kerana melanggar langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19.

Lagi 13 cawangan F&B dan 56 individu turut didenda kerana melanggar langkah-langkah COVID-19 sepanjang minggu lalu, dedah Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) pada Jumaat (9 Jul).

Singapura membenarkan orang ramai duduk makan di cawangan-cawangan F&B pada 21 Jun lalu dalam kumpulan sehingga dua orang. Mulai Isnin depan (12 Jul) kumpulan sehingga lima orang akan dibenarkan.

Namun, cawangan-cawangan F&B tidak dibenarkan memainkan muzik dan kumpulan-kumpulan pelanggan mesti duduk dengan jarak 1 meter antara satu sama lain. Para pelanggan juga mesti memakai pelitup pada setiap masa kecuali semasa sedang makan atau minum.

Lapan cawangan yang diarah tutup adalah Nando's di Plaza Singapura, Carl's Jr di Jurong Point, Food Junction di Bugis Junction, Sakunthala's di Dunlop Street, Club Diamond di Oriental Plaza, 3 Kings Pub di Lucky Plaza, Grand Shanghai di King's Centre dan The Bravery di 50 Amoy Street.

Cawangan-cawangan Nando's, Carl's Jr dan Food Junction sudah berkali-kali gagal menjaga jarak selamat sekurang-kurangnya 1 meter antara kumpulan-kumpulan pelanggan, menurut MSE.

Food Junction di Bugis Junction tidak memastikan jarak 1 meter antara kumpulan pelanggan.

Restoran Sakunthala's di Dunlop Street juga tidak menjaga jarak selamat antara kumpulan pelanggannya. Malah, ia tidak memastikan para pelanggan mendaftar masuk menggunakan TraceTogether dan memeriksa suhu badan mereka, tambah MSE.

The Bravery pula membenarkan kumpulan-kumpulan pelanggan melebihi dua orang yang tidak tinggal serumah untuk duduk bersama.

Club Diamond juga membenarkan kumpulan pelanggan melebihi dua orang untuk duduk bersama dan tidak mengurangkan interaksi fizikal antara kakitangan dan pelanggan. Di 3 Kings Pub pula, muzik dimainkan dan kumpulan-kumpulan lebih dua orang dibenarkan duduk bersama bahkan ia tidak menjaga jarak selamat 1 meter antara kumpulan pelanggan.

Kumpulan-kumpulan lebih dua orang dibenarkan duduk bersama di 3 Kings Pub. 

Pada 7 Mei, sewaktu Fasa 3 pembukaan semula Singapura di mana kumpulan sehingga lapan orang dibenarkan, Grand Shanghai sebaliknya membenarkan lebih lapan orang untuk duduk makan bersama.

Kesemua lapan cawangan F&B itu diarah tutup selama 10 hari.

Lagi 13 cawangan pula didenda S$1,000 setiap satu kerana melanggar langkah-langkah pengurusan selamat, termasuk membenarkan para pelanggan duduk kurang 1 meter antara satu sama lain dan memainkan muzik.

Cawangan-cawangan tersebut adalah:

  • Bakmi Town di Lucky Plaza
  • Beacho di 347 Beach Road
  • Beer Belly di 349A Beach Road
  • Blue Waves Food Empire – Kota 88 di 907 East Coast Road
  • Chan Ju De di 81/83/85 Jalan Sultan
  • Chao Chao Gyoza di 33 Cuppage Road
  • Dong Fang Mei Shi di 7 Mosque Street
  • Happiest Hour Bistro & Bar di 81 Lorong Chencharu
  • Ratchada Thai Food – Ratchada Thai Bistro di 10 Jalan Leban Sembawang Hills Estate
  • Shinjuku Restaurant Dining di Cuppage Plaza
  • Shiv Sagar Vegetarian Restaurant di 83 Syed Alwi Road
  • Sky Bar Entertainment LLP di 351A Beach Road
  • Wine Magnito di 23, 24 Pahang Street

Seramai 20 orang pula didenda S$300 setiap seorang kerana berkumpul dalam kumpulan melebihi dua orang sewaktu duduk makan di beberapa cawangan F&B.

Lagi tiga pekerja di tempat makan juga didenda S$300 kerana gagal memakai pelitup.

"Makan di cawangan F&B terus dianggap sebagai kegiatan lebih berisiko," menurut MSE.

33 DIDENDA DI TAMAN, PANTAI

Dalam pada itu, 33 orang didenda antara 2 Julai dengan 4 Julai kerana melanggar langkah-langkah pengurusan selamat di taman-taman dan pantai-pantai yang diuruskan oleh Lembaga Taman Negara (NParks).

"Pelanggaran-pelanggaran itu termasuk tidak memakai pelitup meskipun tidak melakukan senaman dan berkumpul dalam kumpulan melebihi had yang dibenarkan," menurut MSE.

Ia merujuk kepada contoh di mana dua kumpulan seramai 11 orang dan 13 orang disaman kerana berkumpul di Taman Kallang Riverside.

Lebih 900 makluman juga dikeluarkan terhadap mereka yang tidak memakai pelitup atau yang berkumpul dalam kumpulan melebihi had yang dibenarkan, tambah MSE.

Kesemua kawasan permainan air, kemudahan riadah air, tempat berkhemah dan pit barbeku di taman-taman yang diuruskan oleh NParks masih ditutup.

Taman-taman, beberapa bahagian pantai dan kemudahan-kemudahan seperti gelanggang keras, tempat berteduh dan tempat letak kereta juga mungkin akan ditutup sementara sekiranya terlalu sesak atau apabila para pengunjung tidak mematuhi sekatan-sekatan COVID-19.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan