Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Catatan online tentang cap halal 'tidak diiktiraf' adalah palsu, menurut MUIS

Satu petikan gambar yang mendakwa sesetengah lambang halal luar negara yang disenaraikannya 'tidak diiktiraf' Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), adalah 'berita palsu', menurut badan itu pada Khamis (22 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Satu petikan gambar yang mendakwa sesetengah lambang halal luar negara yang disenaraikannya 'tidak diiktiraf' Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), adalah 'berita palsu', menurut badan itu pada Khamis (22 Ogos).

Seorang pengguna Twitter dengan nama akaun @Syawnlee22 menulis kepada akaun @halalSG meminta bantuan "menerangkan kepalsuan yang baru-baru ini tersebar di WhatsApp".

Dalam catatan tersebut, beliau melampirkan petikan gambar yang menyenaraikan 18 cap halal - separuh daripadanya didakwa 'TIDAK diiktiraf MUIS'.

Petikan skrin jawapan @halalSG berhubung dakwaan palsu pensijilan halal

@halalSG adalah akaun rasmi MUIS untuk menjawab pertanyaan berhubung soalan pensijilan dan makanan halal.

Menjawab pertanyaan tersebut, MUIS menulis di Twitter bahawa ia adalah berita palsu.

"Buat makluman tuan dan puan, ini adalah #fakenews (berita palsu). MUIS mempunyai senarai badan pensijilan asing yang diiktiraf, namun ia tertakluk hanya kepada pemegang sijil halal," tulis badan tersebut di akaun @halalSG pada tengah hari Khamis.

MUIS menekankan, gambar yang dipaparkan bukanlah senarai MUIS yang dimaksudkan.

"MUIS telah melakukan pengesahan dan menyifatkan catatan berkenaan sebagai berita palsu. Pihak awam juga sudah diberitahu menerusi akaun Twitter @halalSG kami," seorang jurucakap MUIS memberitahu BERITAmediacorp.

Menjawab pertanyaan BERITA, MUIS berkata ia mempunyai senarai badan pensijilan asing yang diiktiraf, namun ia adalah untuk digunakan semasa proses permohonan sijil halal setempat.

MUIS tidak mengulas tentang sembilan lambang halal yang tertera dalam catatan tular pada Khamis itu – sebaliknya merujuk kepada panduan yang sudah dimaklumkan umum.

JUGA TERSEBAR DI FACEBOOK, DIKONGSI RIBUAN KALI

Tinjauan rambang BERITA mendapati gambar serupa turut disebarkan di Facebook.

Seorang pengguna dengan nama akaun Noormah Arshat, memuat naik gambar yang sama juga pada Khamis.

Perkongsian di Facebook berkenaan senarai yang mendakwa sesetengah lambang halal tidak diiktiraf MUIS.

Setakat ini, gambar tersebut sudah dikongsi lebih 3,000 kali.

"MUIS recognised (diiktiraf) lebih selamat," tulis CIk Noormah.

BERITA tidak dapat menghubungi pengguna tersebut.

Ini bukan pertama kali berita palsu melibatkan status halal makanan tersebar.
Pada April tahun lalu, satu mesej tular mendakwa 63 tempat makanan yang sepatutnya halal tidak mempunyai sijil halal.

Pada 2007 pula, NTUC Fairprice memfailkan aduan polis selepas gambar satu paket daging babi mempunyai logo halal. Gambar itu menjadi viral lagi pada 2011 dan 2014. 

MUIS menambah pihaknya secara kerap menerima soalan mengenai status halal produk atau tempat makan setiap hari. Pihaknya tidak membuat sebarang aduan polis berhubung mesej tular baru-baru ini.

LANGKAH YANG PATUT DIAMBIL PENGGUNA

Dalam jawapan di Twitter pada Khamis, akaun @halalSG memberi dua panduan ringkas kepada netizen untuk mengenal pasti kesahihan lambang halal: ia tidak 'generic' (terlalu umum), dan ia menunjukkan nama badan yang mengeluarkan sijil tersebut.

"Singapura adalah pasaran terbuka. Lantaran itu, sebarang produk makanan tanpa kira status halal boleh diimport ke negara ini jika ia memenuhi keperluan yang ditentukan Agensi Makanan Singapura," MUIS memberitahu BERITAmediacorp.

"Kami menggalakkan pihak awam untuk memastikan lambang Halal tidak umum (generic) dan menunjukkan nama badan pensijilan asing (yang mensijilkan produk tersebut, sebelum memakannya.

"Seperti sedia umum, adalah terbaik untuk elak daripada memakan apa-apa yang menimbulkan rasa was-was atau syak." 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan