Images
  • price kaki app
    Aplikasi Price Kaki (Gambar: Aqil Haziq Mahmud/CNA)

CASE lancarkan app banding harga barangan dapur, makanan di pusat penjaja

SINGAPURA: Satu aplikasi penyumberan awam (crowdsourcing) mudah alih yang baru akan membolehkan para pengguna mendapatkan nilai terbaik daripada pembelian mereka, dengan membandingkan harga runcit dan promosi bagi barangan dapur, perkakas rumah dan makanan yang dijual di sebahagian pusat penjaja.

Price Kaki, yang dilancarkan oleh Persatuan Pengguna Singapura (CASE) pada Selasa (10 Sep) membolehkan pembeli memantau perubahan harga dan mendapatkan baucar tunai dengan menyumbang maklumat berkenaan harga dan promosi.

Ia boleh dimuat turun di App Store Apple dan Google Play semasa tempoh percubaan mulai 28 September, sebelum dilancarkan di merata negara pada awal 2020.

Presiden CASE Lim Biow Chuan berkata persatuan itu sudah membantu para pengguna menerusi daya usaha seperti tinjauan harga barangan dapur dan makanan di pusat penjaja.

"LANGKAH PROGRESIF"

Buat permulaan, aplikasi Price Kaki akan menyenaraikan sekitar 3,000 barangan keperluan rumah dan dapur yang kerap dibeli seperti susu, beras dan telur di 31 pasar raya di estet-estet perumahan yang menyertai percubaan tersebut iaitu Jurong West, Tampines dan Toa Payoh.

Pasar raya yang mengambil bahagian adalah NTUC FairPrice, Giant, Sheng Siong dan Prime Supermarket. CASE akan bekerjasama dengan kesemua pasar raya tersebut untuk memastikan maklumat tersebut sentiasa dikemaskini.

Aplikasi tersebut juga akan menyenaraikan harga makanan di 11 pusat penjaja di estet-estet perumahan sama, termasuk di Hab Tampines Kita, Pasar Toa Payoh West dan Pasar Boon Lay Place.

Setiausaha Parlimen Kanan Perdagangan dan Perusahaan Tan Wu Meng menyifatkan aplikasi tersebut sebagai "langkah progresif".

"Ia sangat berguna terutamanya bagi mereka yang kesuntukan masa, yang kurang tahu tentang harga pasaran dan mereka yang kurang berpengalaman membeli-belah."

PENCARIAN BERDASARKAN NAMA, KATEGORI

Para pengguna juga boleh mencari barang-barangan berdasarkan nama atau kategori dan menghadkan pencarian kepada tempat. Sebagai contoh, seorang pengguna boleh membuat perbandingan harga bagi 'carrot cake' yang dijual oleh gerai-gerai berbeza dekat Old Airport Road.

Para pengguna juga boleh mengimbas kod palang (bar code) sesuatu barangan di pasar raya untuk membuat perbandingan harga dengan tempat-tempat lain.

Aplikasi itu juga akan memaklumkan pengguna tentang perubahan harga bagi barang-barangan dalam senarai pilihannya.

Para pengguna akan mendapat mata ranking bila mereka menyumbang maklumat tentang harga dan promosi baru. Para pengguna paling aktif akan berpeluang memangi e-baucar setiap dua minggu.

Semasa tempoh percubaan dari 28 September, para pengguna boleh membuat perbandingan harga di estet-estet perintis. Ini juga akan memastikan aplikasi tersebut dapat diuji dan diperbaiki berdasarkan maklum balas dan pengalaman pengguna. 

- CNA/TQ/tq

Top