Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

CASE beri amaran kepada Ofo Singapore selepas pengguna adu kurang basikal

Meskipun syarikat perkongsian basikal Ofo berdepan dengan masalah aliran tunai, ia perlu terus memastikan jumlah basikal yang disediakan mencukupi bagi para penggunanya di Singapura, menurut Persatuan Pengguna Singapura (CASE).

Anggaran Waktu Membaca:
CASE beri amaran kepada Ofo Singapore selepas pengguna adu kurang basikal

Basikal-basikal ofo di Singapura. (Gambar: Edgar Su/Reuters)

Diterbitkan : 03 Jan 2019 11:21PM Dikemas Kini : 03 Jan 2019 11:23PM

SINGAPURA: Meskipun syarikat perkongsian basikal Ofo berdepan dengan masalah aliran tunai, ia perlu terus memastikan jumlah basikal yang disediakan mencukupi bagi para penggunanya di Singapura, menurut Persatuan Pengguna Singapura (CASE).

Menjawab pertanyaan Mediacorp, pengarah eksekutif badan pemantau pengguna CASE, Encik Loy York Jiun, pada Rabu (2 Jan) berkata: "Terdapat laporan bahawa Ofo China berdepan dengan masalah aliran tunai."

Bulan lalu, ketua eksekutif Ofo Dai Wei berkata syarikat perkongsian basikal dari China itu sedang bergelut dengan masalah aliran tunai yang "teruk" dan menimbangkan untuk menggulung tikar.

Encik Dai juga dimasukkan ke dalam senarai hitam sistem kredit sosial China, yang melarangnya daripada membeli hartanah atau melancong.

Ofo, yang terkenal dengan basikal-basikal kuningnya, juga berdepan dengan beberapa masalah di Singapura. Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada November menyatakan bahawa ia berniat mengambil tindakan terhadap Ofo kerana memiliki jumlah basikal yang melebih had maksimum 10,000 basikal.

Sungguhpun demikian, para pelanggan di Singapura tidak berpuas hati dan mendakwa bahawa jumlah basikal disediakan sekarang tidak mencukupi.

Ramai juga memuat naik komen di laman Facebook Ofo Singapore dengan sebahagiannya mengadu tentang kesukaran mencari basikal. Ada juga yang mengatakan bahawa mereka tidak mendapat semula wang pendahuluan selepas menghadapi masalah dengan sistemnya.

CASE mengesahkan bahawa ia menerima lima aduan dalam tempoh tiga bulan lalu terhadap Ofo Singapore "umumnya tentang permintaan bayaran balik".

Encik Loy menambah, para pemegang pas Ofo yang sedia ada "perlu berhati-hati" kerana langganan mereka mungkin diperbaharui secara automatik melalui aplikasi mudah alih dan mereka "mungkin ingin mengambil tindakan muktamad" dengan membatalkan langganan mereka sekiranya mereka tidak ingin terus menggunakan khidmat perkongsian basikal itu.

"Notis pembatalan juga perlu dirakam (misalnya dengan mengambil petikan gambar) supaya pertikaian dapat dileraikan dengan mudah," katanya.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan