Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Cari kerja guna MyCareersFuture.sg bukan lagi Portal Pekerjaan Nasional

Sebuah portal pekerjaan baru pemerintah, MyCareersFuture.sg, yang memadankan calon dan majikan dilancarkan hari ini (17 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 17 Apr 2018 04:12PM Dikemas Kini : 17 Apr 2018 11:51PM

SINGAPURA: Sebuah portal pekerjaan baru pemerintah, MyCareersFuture.sg, yang memadankan calon dan majikan dilancarkan hari ini (17 Apr).

Ia menggantikan Portal Pekerjaan Nasional atau Jobs Bank sebagai gerbang bagi mereka yang mencari kerja.

MyCareersFuture.sg akan menyediakan fungsi pencarian yang sudah diperhalusi. Ini termasuk ciri-ciri yang memaparkan markah dalam bentuk peratus bagi kemahiran yang dipadankan antara individu dengan pekerjaan serta jumlah permohonan yang diterima bagi pekerjaan yang diiklankan.

Ia juga menunjukkan pekerjaan lain yang memerlukan kemahiran serupa, yang mungkin tidak dipertimbangkan oleh kerja sebelum ini, supaya dapat mengurangkan pemadanan kerja yang tidak sesuai.

Menerusi proses pembelajaran mesin dan analisis teks, portal itu mengenal pasti kekata kunci dari pelbagai sumber iklan bagi pekerjaan yang sama, sebagai kemahiran.

Satu lagi ciri yang akan diperkenalkan pada hujung tahun ini membolehkan para majikan menetapkan kemahiran teras yang diperlukan bagi setiap tugas.

Para pengguna portal baru itu boleh menggunakan khidmat penapisan untuk mengecilkan skop pencarian bagi majikan yang menyertai program-program yang disokong pemerintah. Contohnya, yang menyokong para pekerja - sama ada pekerja matang yang tiada pengalaman relevan.

Ini termasuk, Program Percubaan Kerjaya, Program Penukaran Profesional dan Program Sokongan Kerjaya yang memberi sokongan pekerjaan kepada para pemohon kerja serta majikan, seperti latihan dan subsidi gaji apabila para pemohon kerja kurang pengalaman relevan untuk menjalankan satu-satu tugas.

Sekalipun demikian, buat masa ini para majikan perlu terus menggunakan Portal Pekerjaan Nasional untuk mengiklankan kerja kosong. Ini kerana ciri baru bagi para majikan itu hanya siap untuk digunakan menjelang hujung tahun ini.

Selepas itu, Portal Pekerjaan Nasional akan ditutup secara bertahap-tahap bagi para pemohon kerja dan majikan. Ia kemudian hanya akan dijadikan sebagai arkib pekerjaan sahaja.

Pekerjaan yang sudah diiklankan di Portal Pekerjaan Nasional akan diselaraskan dengan portal MyCareersFuture.sg mengikut masa nyata.

Encik Muhammad Al Amin terpaksa mencari pekerjaan baru setelah syarikat kejuruteraan di mana beliau bekerja menjalani rombakan pada bulan Januari tahun lalu.

Beliau yang sering menggunakan portal pekerjaan nasional, Jobs Bank, tertarik dengan ciri pencarian MyCareersFuture.sg yang lebih memberi tumpuan kepada kemahiran pekerja.

"Fungsi yang ada di MyCareersFuture yang paling berguna saya rasa ialah fungsi pemadanan kemahirannya, di mana ia senaraikan kemahiran yang saya perlu untuk pekerjaan itu. 

"Ia ada sistem pemarkahan di mana kemahiran saya dibandingkan dengan kemahiran yang diperlukan. Dan dari situ saya dapat anggarkan saya sesuai untuk pekerjaan itu ataupun tidak," Encik Al-Amin memberitahu BERITAMediacorp.

Encik Al-Amin merupakan antara pencari kerja pertama yang mencuba portal MyCareersFuture sejak ia dilancarkan tiga bulan lalu. 

Portal tersebut diumumkan awal tahun ini semasa perbahasan Jawatankuasa Peruntukan (COS) oleh Menteri Kedua Tenaga Manusia Josephine Teo.

Portal itu beroperasi pada bulan Januari tahun ini dan seramai 280,000 orang sudahpun melayari laman tersebut.

Tenaga Kerja Singapura (WSG) pula sedang mengadakan pameran Suai-Maju bagi portal baru itu di Suntec City sejak semalam (16 Apr). 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan