Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

CareShield Hayat: AP persoal kenapa premium wanita lebih tinggi

Seramai 20 AP berdebat mengenai skim tersebut, yang direka berdasarkan saranan-saranan Jawatankuasa Semakan ElderShield. Beberapa AP mengatakan bahawa perbezaan sedemikian mengakibatkan skim tersebut kurang inklusif.

Anggaran Waktu Membaca:
CareShield Hayat: AP persoal kenapa premium wanita lebih tinggi

Gambar fail.

Diterbitkan : 10 Jul 2018 11:33PM Dikemas Kini : 10 Jul 2018 11:38PM

SINGAPURA: Premium-premium bagi CareShield Hayat - satu versi skim insurans kebangsaan yang dipertingkat, seharusnya tidak membeza-bezakan jantina. Demikian hujah beberapa Anggota Parlimen (AP) di Parlimen pada Selasa (10 Jul).

Seramai 20 AP berdebat mengenai skim tersebut, yang direka berdasarkan saranan-saranan Jawatankuasa Semakan ElderShield. Beberapa AP mengatakan bahawa perbezaan sedemikian mengakibatkan skim tersebut kurang inklusif.

Menurut Anggota Parlimen Tanjong Pagar GRC Lily Neo, beberapa golongan wanita mungkin berasa lebih payah untuk membayar premium-premium tersebut dan menggesa Menteri Kesihatan Gan Kim Yong untuk mempertimbangkan semula harga premium yang lebih tinggi untuk kaum wanita.

"Meskipun saya faham bahawa kaum wanita hidup lebih lama, saya berpendapat bahawa ia boleh lebih inklusif dan adil. Keprihatinan saya adalah kemampuan kaum wanita lebih rendah berbanding kaum lelaki," kata beliau. Dr Neo menambah bahawa kaum wanita mempunyai pendapatan yang lebih rendah disebabkan oleh komitmen terhadap keluarga dan mungkin tidak mempunyai banyak wang simpanan apabila mereka semakin menua.

AP Parti Pekerja (WP) Sylvia Lim turut berpendapat sedemikian. Beliau merujuk kepada satu artikel yang ditulis oleh seorang profesor Sekolah Ekonomi London (LSE), yang mempertikaikan bahawa skim insurans sosial bagi tempoh jangka panjang tidak sepatutnya mengambil kira perbezaan jantina bagi premium.

Menurut artikel tersebut, kebanyakan kaum wanita mengambil cuti kerja tanpa dibayar untuk menjaga keluarga mereka, dan kaum wanita lebih kemungkinan bekerja di luar tenaga buruh.

LEBIH RAMAI WANITA DIJANGKA MENJADI KURANG UPAYA DENGAN TERUK

Menjawab soalan Dr Neo, Cik Lim dan beberapa lagi AP lain, Menteri Negara Kanan Kesihatan Amy Khor mengatakan bahawa Jawatankuasa Semakan ElderShield sudah berdebat dengan meluas topik tersebut dan ia bukan keputusan yang mudah untuk dibuat.

Kaum wanita hidup lebih lama berbanding kaum lelaki, dan mereka lebih kemungkinan menjalani kehidupan lebih lama dalam keadaan kurang upaya yang teruk.

Semasa menggariskan keperluan untuk membuat pembezaan, beliau berkata bahawa tahun lalu, jangka hayat kaum wanita adalah 85.2 tahun, berbanding 80.7 tahun bagi kaum lelaki.

Tiga daripada lima kaum wanita yang sihat pada usia 65 tahun dijangka akan mengalami kehilangan upaya yang teruk, berbanding dua daripada lima lelaki yang sihat pada usia 65 tahun, katanya.  

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan