Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Captions for Kids' pupuk minat, rasa cinta terhadap warisan dan budaya

Seramai 84 murid sekolah rendah mengambil bahagian dalam inisiatif 'Captions for Kids', yang dianjurkan buat pertama kali oleh Lembaga Warisan Negara (NHB) pada Isnin (9 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 84 murid sekolah rendah mengambil bahagian dalam inisiatif 'Captions for Kids'.

Dianjurkan buat pertama kali oleh Lembaga Warisan Negara (NHB) pada Isnin (9 Jul), ia bertujuan memupuk minat dan rasa cinta terhadap warisan dan budaya.

TAK KENAL MAKA TAK CINTA

Ibarat pepatah Melayu, tak kenal maka tak cinta.

Lantaran itu NHB mengetengahkan inisiatif baru itu untuk menggalak murid Darjah 4 dan 5 memberi interpretasi mereka tentang sejarah dan warisan Singapura.

Dalam projek sulung ini, 84 murid Sekolah Rendah Gan Eng Seng, East Spring dan Madrasah Alsagoff Al-Arabiah diberi peluang menginterpretasi sejarah dan warisan Singapura.

Namun sebelum itu, mereka mengikuti lawatan berpandu ke Dewan Peringatan Nanyang Sun Yat Sen, Pusat Warisan India dan Taman Warisan Melayu, untuk mengenali lebih 60 artifak yang dipamerkan dan mengapa ia penting.

Para pelajar kemudian berbincang dan menulis kapsyen-kapsyen mereka sendiri tentang artifak-artifak tersebut berdasarkan pemahaman mereka mengenainya.

"Pelajar-pelajar yang terlibat bukan hanya menulis dalam bahasa Inggeris kapsyen-kapsyen objek yang telah kami pilihkan untuk mereka tetapi juga mereka perlu menginterpretasikan kapsyen itu dalam bahasa Melayu juga dan ini semestinya tidak mudah untuk mereka," kata pengurus program Taman Warisan Melayu, Cik Nur'ain Taha.

Hasilnya, mereka berjaya melakarkan kapsyen-kapsyen dengan beberapa interpretasi yang menarik.

Misalnya, bagi sebuah artifak patung wayang kulit, sekumpulan murid Darjah 4 menulis bahawa ia dibuat daripada kulit dan kini sangat sukar untuk menyaksikan persembahan itu.

Malah mereka turut menarik perhatian bahawa ada yang "mempunyai hidung sangat mancung justeru mengingatkan kami kepada watak kartun Pinocchio".

ELEMEN SILANG BUDAYA DITERAPKAN

Yang pasti, inisiatif Captions by Kids yang membawa mereka ke Pusat Warisan India ini, menerapkan bibit-bibit aspek silang budaya ke dalam jiwa mereka.

"Saya suka membuat projek ini kerana saya dapat mempelajari budaya India," kongsi pelajar Sekolah Rendah East Spring Da'ing Farysha.

Namun ada kalanya ia kedengaran sedikit lucu, contohnya, semasa diminta menulis tentang sebuah patung Mahatma Gandhi ini - yang didermakan India kepada pemerintah Singapura.

Murid-murid akur, beliau pemimpin India yang "menggalak keamanan dan mahu orang saling menghormati".

Meskipun begitu, ada juga yang memberi komen yang berlainan.

"Saya rasa dia seorang guru yang baik hati kerana dia memakai cermin mata," kata Eryn Qistina Yusman, juga seorang pelajar Sekolah Rendah East Spring.

Kapsyen-kapsyen para pelajar tersebut akan dipamerkan di galeri tetap di ketiga-tiga pusat warisan dari hari ini hingga 30 September. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan