Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

CapitaLand dedahkan reka bentuk One Pearl Bank

Pemaju hartanah CapitaLand mendedahkan reka bentuk bagi One Pearl Bank, sebuah projek yang akan menggantikan Pearl Bank Apartment, yang dibelinya pada harga S$728 juta.

Anggaran Waktu Membaca:
CapitaLand dedahkan reka bentuk One Pearl Bank

Lakaran artis One Pearl Bank. (Gambar: CapitaLand)

Diterbitkan : 14 May 2019 11:24AM Dikemas Kini : 14 May 2019 11:30AM

SINGAPURA: Pemaju hartanah CapitaLand mendedahkan reka bentuk bagi One Pearl Bank, sebuah projek yang akan menggantikan Pearl Bank Apartment, yang dibelinya pada harga S$728 juta.

Bangunan baru itu meliputi dua menara melengkung, dengan 39 tingkat setiap satu yang dihubungkan di bahagian bumbung menerusi jambatan langit. Demikian menurut CapitaLand melalui kenyataan media pada Selasa (14 Mei). Bangunan itu juga akan memuatkan sebuah kebun masyarakat bertingkat di bahagian bumbungnya untuk pertanian bandar.

Terletak di puncak Pearl's Hill, menara setinggi 178 meter itu bakal menjadi bangunan perumahan tertinggi di kawasan Outram-Chinatown dengan menawarkan pemandangan dari pusat perniagaan CBD hingga Sentosa.

Direka bentuk oleh Serie+Multiply, iaitu usaha sama antara Serie Architects yang berpangkalan di London dengan Multiply Architects yang berpangkalan di Singapura, One Pearl Bank akan menyediakan sejumlah 774 unit apartmen termasuk apartmen studio dan penthouse. Keluasan saiz setiap unit dalam lingkungan kira-kira antara 430 kaki persegi dengan 2,800 kaki persegi.

CapitaLand menyatakan dua menara tinjau dan dua kebun atas bumbung merentasi kedua-dua menara itu juga akan menempatkan kemudahan seperti gimnasium, trek berjalan kaki dan ruang makan terbuka.

One Pearl Bank akan mempunyai keseluruhannya 18 kebun masyarakat di atas bumbung dengan hampir 200 plot di mana penduduk boleh mencucuk tanam herba, buah-buahan dan sayur-sayuran.

Lakaran artis bagi kebun masyarakat di One Pearl Bank. (Gambar: CapitaLand)

Lakaran artis bagi kebun masyarakat di One Pearl Bank. (Gambar: CapitaLand)

Setiap menara akan menampilkan satu kebun masyarakat di setiap empat tingkat dengan 11 plot bagi setiap kebun.

Menurut CapitaLand, ini adalah kali pertama kebun-kebun masyarakat disusun secara bertingkat dalam sebuah bangunan kediaman tinggi sambil menambah bahawa bangunan tersebut akan menyokong pertanian bandar dan menggalak pergaulan masyarakat.

Selain itu, sekitar 500 pokok dan lebih 135,000 tumbuh-tumbuhan serta bunga akan ditanam di seluruh kawasan One Pearl Bank.

Sebuah laluan berlanskap yang menghubungkan bangunan itu ke Pearl City Hill Park - yang terletak bersebelahannya dan jarang digunakan - juga akan disediakan, kata Ketua Pegawai Eksekutif CapitaLand Singapura, Malaysia dan indonesia Ronald Tay.

One Pearl Bank dijadualkan siap dibina pada 2023. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan