Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Calon PAP Fahmi Aliman mahu perjuang nasib pekerja gaji rendah dalam khidmat penting

Mantan Timbalan Ketua Eksekutif MUIS, Mohd Fahmi Aliman, hari ini (24 Jun) disahkan sebagai bakal calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam Pilihan Raya Umum 2020.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mantan Timbalan Ketua Eksekutif MUIS, Mohd Fahmi Aliman, hari ini (24 Jun) disahkan sebagai bakal calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam Pilihan Raya Umum 2020.

Beliau adalah salah seorang daripada empat wajah baru yang diperkenalkan oleh Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli dalam sesi kedua PAP memperkenalkan wajah-wajah barunya dalam waktu sehari.

Kesemuanya lapan bakat diperkenalkan PAP hari ini untuk pilihan raya akan datang.

(Gambar: PAP) 

(Gambar-gambar: PAP)

Encik Fahmi, yang pernah menjadi salah seorang pegawai Melayu/Islam berpangkat Kolonel dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), berharap dapat menjadi suara para pekerja bergaji rendah dalam khidmat-khidmat penting.

Isu tersebut, kata beliau, menjadi sesuatu "yang sangat dekat di hati" kerana pernah melihat sendiri bagaimana ibunya suatu ketika dahulu bangkit demi terus menyara kehidupan keluarga.

"Saya ingin memastikan setiap sektor perkhidmatan dengan pekerja bergaji rendah dan khidmat penting mengikut model gaji progresif. Dan mereka harus mematuhi peraturan-peraturan tertentu. Itu satu perkara yang saya ingin terus didik mereka," kata Encik Fahmi.

Beliau turut ingin memastikan para pekerja bergaji rendah terbela kerana menyedari "mereka seringkali tidak dapat bonus atau hanya mendapat sedikit".

LATAR BELAKANG SEDERHANA

Encik Fahmi, 48 tahun, berasal dari keluarga sederhana di mana keluarga lima beranaknya itu tinggal dalam sebuah flat sewa.

"Ibu saya seorang pekerja pembersihan. Saya pernah membantunya semasa di sekolah rendah. Tapi beliau (ketika itu) mula berfikir jika pekerjaannya akan dapat terus menyara kehidupan keluarga lalu belajar sehinggalah dapat menjalankan perniagaan kantin di sebuah kilang. Itu sangat membantu kami," cerita Encik Fahmi.

"Saya berkongsi dengan anda kisah ini kerana ia sesuatu yang sangat dekat dengan hati saya. Saya ingin meningkatkan kesedaran dalam kalangan para pekerja bergaji rendah dan pekerja-pekerja khidmat penting supaya mereka terus meningkatkan kemahiran demi kehidupan lebih cerah."

Bapa empat orang anak itu adalah lulusan diploma dari Politeknik Ngee Ann sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Liverpool dan menggenggam ijazah kepujian sarjana muda dalam jurusan kejuruteraan.

Encik Fahmi seterusnya berkhidmat dengan SAF selama 26 tahun. Semasa berkhidmat dengan SAF, beliau menjalani pengajian possiswazah di Universiti Nasional Singapura dalam jurusan Sains Teknologi Pertahanan.

Antara pencapaian beliau termasuk dikerahkan ke Blangpidie bagi satu misi sebagai Timbalan Ketua Pasukan. Bekas pelajar Sekolah Rendah Jubilee itu juga pernah dikerahkan ke Ibu Pejabat Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) di Afghanistan selama enam bulan pada 2012.

3 ISU INI TARIK PERHATIAN FAHMI

Pada Mac 2019, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli mengumumkan mantan kolonel SAF itu menyertai Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) selaku Timbalan Ketua Eksekutif.

(Gambar: PAP) 

Encik Masagos berkata pelantikan tersebut dibuat demi memastikan MUIS dapat diperkasakan lagi pegawai perkhidmatan awam yang berbakat dan "berpengalaman dalam pembentukan dasar, operasi, serta kemahiran-kemahiran khusus."

Encik Fahmi turut diumumkan sebagai Pengerusi M³@Bedok apabila M³@Bandar diperkenalkan.

"Apabila saya berada di MUIS, interaksi dengan pihak berkepentingan seperti masjid, madrasah dan pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam, memberikan saya satu gambaran tentang situasi sekarang dalam masyarakat kita di Singapura ini," kata Encik Fahmi dalam sidang media PAP pagi tadi.

Tiga isu utama menarik perhatiannya apabila secara aktif mendampingi masyarakat Melayu, iaitu soal kesihatan, kestabilan kewangan dan persediaan untuk masa depan.

(Gambar fail: Fahmi Aliman/Facebook)

Pada 24 Mac 2020, Encik Fahmi mengundurkan diri dari MUIS. Khabar itu sekali gus menguatkan spekulasi beliau akan menyertai arena politik. Ini kerana Encik Fahmi ditampilkan dalam catatan Facebook Menteri Kanan Emeritus (ESM) Goh Chok Tong yang tertulis bahawa itulah "pasukan impian" beliau "di GRC West Coast atau di mana-mana".

Encik Fahmi kini menggalas jawatan Pengarah Unit Pentadbiran dan Penyelidikan NTUC.

PENILAIAN MASAGOS TENTANG BAKAT FAHMI

Semasa memperkenalkan beliau sebagai seorang wajah baru PAP, Encik Masagos menegaskan Encik Fahmi dikenal pasti "bukan hanya kerana tugasnya di MUIS tetapi sebaliknya ketika beliau melakar rangka kerja M³".

"Disebabkan kurang relawan dan kakitangan ketika itu, Fahmi turun sendiri ke lapangan dan membantu melakar dan menerajui inisiatif M³ di Bedok. Dan kami memerhatikannya dan mendapati kebolehannya bukan sekadar kaliber seorang Timbalan Ketua Eksekutif MUIS tetapi seseorang yang dapat memimpin masyarakat di lapangan. Mungkin kerana pengalamannya sebagai kolonel dalam SAF," kata Encik Masagos.

Beliau menambah, rasa empati dan kesungguhan Encik Fahmi untuk membantu masyarakat sangat terserlah.

"Dan maka itu kami bertanya jika dia ingin berkhidmat (bersama kami) dan beliau bersetuju lalu meninggalkan jawatan di MUIS."

WAJAH BARU LAIN YANG DIPERKENALKAN MASAGOS 

Dalam sesi yang sama, Encik Masagos turut memperkenalkan tiga wajah baru PAP lain, iaitu Cik Hany Soh Hui Bin, Encik Yip Hon Weng dan Encik Don Wee Boon Hong. 

Cik Soh, 33 tahun, adalah seorang pengarah di MSC Law Corporation, firma guaman dan huraian pertikaian. Beliau juga seorang pemimpin akar umbi di Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Bukit Panjang dan pernah berkhidmat dalam Jawatankuasa Perundingan Rakyat dan Jawatankuasa Penduduk Bukit Panjang.

Encik Yip pula merupakan seorang penjawat awam selama 17 tahun yang sudah berkhidmat di kementerian pendidikan, pertahanan, kesihatan dan pembangunan negara. Beliau baru-baru ini menjadi ketua kumpulan Pejabat Pejabat Generasi Warga Emas bagi Agensi Penjagaan Bersepadu dan kini berkhidmat sebagai perunding kanannya.

Sementara itu, Encik Wee bertugas di UOB sebagai Naib Presiden Kanan. Lelaki berusia 43 tahun itu menganggotai lembaga Pelawat Institut Kesihatan Mental (IMH) dan bekerja dengan Pejabat Penjaga Awam Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) secara pro bono, menurut profil LinkedInnya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan