Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Cakap Pasal Dikir' penting demi lestarikan seni dikir barat S'pura

Wadah seperti forum Cakap Pasal Dikir penting dalam usaha memelihara dan melestarikan seni dikir barat di negara ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Wadah seperti forum Cakap Pasal Dikir penting dalam usaha memelihara dan melestarikan seni dikir barat di negara ini.

Pada masa yang sama, ruang sebegini turut memberi peluang kepada orang ramai termasuk para pendikir sendiri untuk sama-sama merealisasikan potensi sebenar seni tersebut.

Inilah pandangan dua ahli panel forum belia anjuran BERITAmediacorp dengan kerjasama Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).

BERITA mengenalkan para ahli panel forum itu dan harapan-harapan mereka.

SUDAH TIBA MASA SEBARKAN MESEJ LEBIH LUAS

Noorhaqmal Mohd Noor atau Aqmal N dikenali sebagai seorang penyanyi dan anak muda ini pernah menjuarai rancangan realiti Anugerah pada tahun 2004.

Namun, perjalanan beliau dalam bidang seni suara sebenarnya bermula sejak berusia 9 tahun lagi melalui dikir barat.

Sepanjang tempoh hampir dua dekad, beliau berjaya memenangi sekitar 10 Anugerah Tok Juara Terbaik dan Tukang Karut Terbaik.

Lantaran itu, beliau merasakan bahawa sudah tiba masanya untuk menyebarkan mesej bahawa seni dikir barat itu sebenarnya bukan setakat hanya satu seni persembahan.

Pada masa yang sama, menurut beliau, platform seperti Cakap Pasal Dikir juga mampu menarik golongan muda dan orang ramai untuk sama-sama memberikan sokongan bagi melestarikan seni tersebut.

"Ini adalah satu perbincangan yang agak sihat kerana selagi sesuatu seni itu ada perbincangan dan perdebatan, itu menunjukkan ahli-ahlinya masih memikirkan tentang seni yang diminati dan ini bergerak kepada perkembangan yang lebih pesat dan bagus," katanya.

LAHIRKAN PENDIKIR YANG 'BERFIKIR'

Pandangan yang sama juga disuarakan oleh seorang lagi ahli panel, Siti Aishah Junaidi.

Mula berkecimpung dalam dikir barat pada tahun 2003, Aishah memainkan peranan penting dalam kumpulan dikir barat wanita Wahana Deksu.

Bermula sebagai seorang anggota biasa dan kemudian dilantik sebagai ketua kumpulan pada 2008, beliau berjaya meraih lebih 20 anugerah bersama Wahana Deksu.

Baginya, forum Cakap Pasal Dikir adalah wadah yang paling sesuai dan relevan untuk membincangkan tentang perkembangan landskap seni tersebut di Singapura.

"Ini satu tempat yang baik untuk kita menjadi pendikir yang berfikir, mengutarakan isu-isu yang harus kita perbincangkan demi perkembangan dikir barat setempat terutama sekali untuk saya untuk memperbincangkan isu-isu yang melibatkan para pendikir wanita," luah Aishah.

Forum yang akan diadakan esok (12 Jan) itu juga akan menampilkan penerima Anugerah Presiden bagi Guru, Djohan Abdul Rahman sebagai seorang lagi ahli panel.

Pendaftaran masih dibuka dan bagi yang berminat, anda boleh mendaftarkan diri di pautan berikut.

Forum Cakap Pasal Dikir: Mengupas Seni Dikir Singapura akan berlangsung di The Pod, Perpustakaan Negara.

Maklumat lanjut di laman Facebook dan Instagram BERITAmediacorp.

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan