Images
  • light kelip-kelip illustration
    (Gambar hiasan: Pixabay/Abdullah Ahmad)

Cahaya kelip-kelip memancar di hutan paya bakau Pasir Ris

BERITAmediacorp: Penduduk di Singapura tidak perlu melancong jauh untuk menikmati pameran cahaya si kelip-kelip. Meski sudah banyak dimamah proses perbandaran, sekurang-kurangnya 10 spesis kumbang bersinar itu masih boleh dijumpai di kawasan-kawasan hutan simpanan Singapura.

Dr Wan Faridah Akmal Jusoh, seorang pakar entomologi dan zamil penyelidik dari Muzium Sejarah Semula Jadi Lee Kong Chian (LKCNHM), mengesyorkan hutan paya bakau di Taman Pasir Ris sebagai tempat yang paling mudah untuk orang ramai mendekati serangga itu.

Menurut beliau, larva kelip-kelip sering boleh dilihat berhampiran laluan pejalan kaki di hutan itu ketika ia keluar mencari siput untuk dimakan.

Dr Wan, yang telah mengkaji pelbagai spesis kelip-kelip dari Asia Tenggara dan Australia Pasifik sejak 2006, turut mengongsi beberapa tips untuk mencerahkan lagi kemungkinan menemui serangga yang teramat kecil itu: “Masa yang paling sesuai adalah selepas terbenamnya matahari, lebih kurang satu atau satu setengah jam. Itulah masa yang sangat gelap dan mata kita mudah untuk melihat atau mengenal pasti cahaya”.

Selain itu, kelip-kelip sering berkeliaran sekitar dua tiga jam selepas turunnya hujan kerana suka dengan sekitaran yang lembap dan hangat.

Namun Dr Wan menekankan para pengunjung tidak harus menjangkakan bilangan kelip-kelip yang banyak seperti yang lazim dilihat di hutan-hutan Malaysia atau Thailand. Ini kerana jumlah kelip-kelip di Singapura agak kecil dan sudah sedikit sebanyak terjejas oleh kemodenan.

KEHADIRAN KELIP-KELIP MENCERMINKAN KESEIMBANGAN EKOSISTEM

Sejauh ini, satu usaha dimulakan untuk merangsang pembiakan kelip-kelip menerusi kerjasama antara Lembaga Taman Negara (NParks) dan Panasonic Asia Pasifik. Pada 2019, syarikat teknologi itu menyumbang S$20,000 kepada inisiatif NParks yang bertujuan menambah populasi kelip-kelip di kawasan paya bakau Pasir Ris, sekali gus memulihara hutan itu.

“Dari segi ekologi, dari segi pemuliharaan, kelip-kelip ini selain menarik perhatian manusia, ia juga (penting) untuk memelihara keseimbangan ekosistem. Apabila kita lihat kitar hidup kelip-kelip tersebut, melihat daripada ia bertelur, menjadi larva, pupa dan kemudian menjadi dewasa, setiap kitar hidup kelip-kelip itu memerlukan habitat yang berbeza.

“(Maka itu), ada yang mengatakan bahawa memelihara kelip-kelip itu seumpama memelihara seluruh ekosistem”.


Beliau percaya kajian harus diteruskan demi memahami kelip-kelip dengan lebih telus lagi.

#BERITAjelajah berpeluang mencari kumbang unik itu bersama Dr Wan di Pasir Ris Mangrove Boardwalk.

Pengalaman wartawan BERITAmediacorp itu disorot dalam Facebook dan Instagram @BERITAmediacorp.

Ikuti laporan lain #BERITAjelajah: 

- BERITAmediacorp/tq

Top