Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Cabul anak 9 tahun berkali-kali, lelaki dipenjara, disebat

Seorang lelaki berusia 44 tahun berulang kali mencabul anak perempuannya ketika isterinya berada di luar negara, manakala isterinya pula menulis surat kepada mahkamah untuk merayu keringanan hukuman apabila suaminya itu didapati melakukan jenayah.

Anggaran Waktu Membaca:
Cabul anak 9 tahun berkali-kali, lelaki dipenjara, disebat

Tukul kayu mahkamah. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 16 Dec 2019 01:47PM Dikemas Kini : 16 Dec 2019 01:53PM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 44 tahun berulang kali mencabul anak perempuannya ketika isterinya berada di luar negara, manakala isterinya pula menulis surat kepada mahkamah untuk merayu keringanan hukuman apabila suaminya itu didapati melakukan jenayah.

Bagi kesalahan menggunakan kekerasan untuk mencabuli kehormatan anak perempuannya yang berusia sembilan tahun, lelaki itu dijatuhi hukuman penjara 21 bulan dan tiga kali sebatan pada Isnin (16 Dis).

Nama kesemua pihak tidak boleh didedahkan atas perintah mahkamah untuk melindungi identiti mereka.

Mahkamah diberitahu bahawa keluarga tiga beranak itu tinggal serumah di mana insiden-insiden itu berlaku.

Pada kejadian pertama, sebelum Mei 2018, lelaki itu yang pulang daripada meminum arak, melihat anaknya itu tidur miring di atas katil. Dia lalu berbaring dan memeluknya, kata Timbalan Pendakwa Raya Chong Yong.

Tertuduh kemudian menggesel dirinya pada tubuh anaknya untuk melepaskan rasa nafsunya.

Ini berlaku sekurang-kurangnya dua kali lagi antara Mei dengan September 2018, apabila isterinya berada di luar negara dan ketika pesalah dalam keadaan mabuk.

Pada setiap kejadian, gadis itu terjaga dari tidur oleh tindakan bapanya, dan mengintip dan menyedari bahawa pelaku itu adalah bapanya.

MANGSA TIDAK BERITAHU IBU, BIMBANG IBU BAPA BERTENGKAR

Mahkamah diberitahu bahawa mangsa hanya mendiamkan diri kerana berasa takut. Dia juga takut memberitahu ibunya tentang kejadian itu kerana takut akan menyebabkan ibu bapanya bertengkar.

Pada Ogos 2018, sedang gadis itu berjalan pulang bersama ibunya, dia memberitahu ibunya bahawa beberapa budak lelaki di sekolahnya telah berjenaka lucah.

Dia memberitahu ibunya bahawa ini adalah "seperti sesuatu yang bapa lakukan pada saya". Dia memberitahu bahawa bapanya telah menggesel dirinya pada pakaiannya beberapa kali, di dalam biliknya.

Sebulan kemudian, ibu gadis itu meminta bantuan daripada Persatuan Wanita bagi Tindakan dan Kajian (AWARE) mengenai isu rumahtangganya, dan mendedahkan bahawa anak perempuannya dicabuli oleh suaminya.

AWARE memaklumkan para pegawai dari Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) mengenai perkara tersebut, dan kementerian itu kemudian membuat laporan polis.

Lelaki itu mengaku melakukan perbuatan itu pada Isnin, dan pihak pendakwa meminta dia dijatuhi hukuman sekurang-kurangnya 23 bulan penjara dan tiga kali sebatan rotan.

ISTERI TULIS SURAT RAYUAN, KATA ANAK RINDU BAPANYA

Peguam bela mengemukakan surat rayuan oleh isteri lelaki yang mengatakan suaminya selama 12 tahun itu selama ini melayan anaknya "dengan agak baik".

"Selama ini, dia bekerja keras dan menjaga kami apabila saya tidak bekerja," tulis wanita itu. "Dia cuba memenuhi semua keperluan kami (sehingga dia diisytihar muflis)."

"Malah anak saya tetap merinduinya meskipun mereka sudah dipisahkan," tulis wanita berusia 39 tahun itu. "Itu bukan perwatakan sebenar suami saya".

Beliau merayu agar suaminya diberi hukuman lebih ringan kerana dia sudah sedar akan kesalahannya. Beliau menambah mereka sedang "berusaha keras untuk mengekalkan perkahwinan kami dan menjadi ibu bapa bertanggungjawab kepada anak kami".

Atas kesalahan mencabul kehormatan budak bawah umur 14 tahun, lelaki tersebut boleh dipenjara sehingga lima tahun, didenda, disebat atau dikenakan gabungan sebarang hukuman itu.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan