Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bulan Bahasa 2018 dilancarkan gilang gemilang sempena ulang tahun ke-30

Tirai Bulan Bahasa 2018 rasmi dibuka hari ini (1 Sep) dengan penuh gilang gemilang. Tahun ini lebih istimewa kerana kempen yang mengajak masyarakat menghargai dan menghayati budaya dan bahasa Melayu ini meraikan ulang tahunnya yang ke-30 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Bulan Bahasa 2018 dilancarkan gilang gemilang sempena ulang tahun ke-30

Pelancaran Bulan Bahasa 2018 (Gambar: Nurulkhasanah Agost/BERITAmediacorp)

BERITAmediacorp: Tirai Bulan Bahasa 2018 dibuka rasmi hari ini (1 Sep) dengan penuh gilang gemilang. Tahun ini lebih istimewa kerana kempen yang mengajak masyarakat menghargai dan menghayati budaya dan bahasa Melayu ini meraikan ulang tahunnya yang ke-30 tahun.

Bulan Bahasa 2018 dilancarkan oleh Tetamu Terhormat Menteri Pendidikan Ong Ye Kung, Pengerusi Bulan Bahasa 2018 Rahayu Mahzam, Pengerusi Majlis Bahasa Melayu, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, mantan Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Masagos Zulkifli, Pengerusi Bulan Bahasa 2015 Zaqy Mohamad dan pengerusi pertama kempen Bulan Bahasa Sidek Sanif.

Simboliknya, majlis pelancarannya kali ini dianjurkan di Wisma Geylang Serai (WSG) yang menjadi hab warisan, budaya dan kemasyarakatan Melayu baru.

Di majlis pelancarannya tadi, satu video yang menyingkap sejarah dan perjalanan Bulan Bahasa sejak pertama kali ia diadakan, iaitu pada tahun 1988, turut ditayangkan.

Para hadirin diajak mengenang kembali sumbangan tokoh-tokoh dan anggota masyarakat kepada pembangunan bahasa Melayu di Singapura. Ia juga menampilkan kisah-kisah para pemimpin Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) dahulu dan sekarang.

Semasa berucap di majlis pelancaran tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa,
Rahayu Mahzam, melahirkan penghargaan beliau terhadap peluang yang diberikan kepadanya untuk meneruskan legasi yang dibina dan diusahakan oleh masyarakat dan pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa yang terdahulu.

“Penting untuk kita merakamkan sejarah dan perjalanan Bulan bahasa sempena sambutan 30 tahun ini. Video ini antara lain mengumpulkan mutiara-mutiara kata daripada perintis, pemimpin, Duta-Duta Bahasa serta Rakan-Rakan Bahasa yang sudi berkongsi pengalaman dan cerita mereka, kata Cik Rahayu.

Duta-Duta Bahasa 2018 (Gambar: Nurulkhasanah Agost/BERITAmediacorp)

Cik Rahayu turut memuji usaha dan dedikasi para Duta Bahasa yang bertungkus lumus menjayakan sambutan Bulan Bahasa yang begitu istimewa tahun ini.

Bagi kempen Bulan Bahasa 2018, tiga Duta Bahasa baru dilantik, iaitu personaliti televisyen Nurfarhana M Noor, Cef Shahrizal Salleh atau lebih dikenali sebagai Cef Bob dan penulis lagu dan penyanyi tempatan Bakti Khair.

Cik Rahayu juga melahirkan terima kasih kepada pelbagai pihak yang banyak menyokong kempen Bulan Bahasa.

“Ekosistem rakan kerjasama, para pendidik, sekolah-sekolah, pertubuhan masyarakat inilah yang menyokong perkembangan Bulan Bahasa sehingga hari ini,” tambah beliau.

Tahun ini, kalendar acara Bulan Bahasa menampilkan 94 program oleh 51 rakan kerjasama.

Kegiatan-kegiatan Bulan Bahasa 2018 yang sudah dimulakan sejak 18 Ogos akan berlangsung sehingga 14 Oktober nanti. 


Laporan berkaitan:

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan