Images
  • buku
    Buku Silat & Solat hasil tulisan Ustaz Mohd Bahrul-Ulum. (Gambar: BERITAmediacorp)

Buku 'Silat & Solat' merungkai erti sebenar hubungan seni pertahankan diri dengan tuntutan agama

SINGAPURA: Jarang sekali kegiatan silat giat dilakukan di dalam masjid tetapi itulah kelainan Perguruan Si Rumpun Padi yang aktif di Masjid An-Nur yang terletak di kawasan Marsiling.

Malah apabila pertama kali memulakan latihan silat di masjid berkenaan pada 2019, 150 anak muda mendaftarkan diri untuk menyertainya.

Selain mempelajari ilmu mempertahankan diri, mereka juga mendapat bimbingan ilmu agama sebelum memulakan latihan.

Menyedari bagaimana cara berdakwah sebegini dapat mendampingi lebih ramai golongan belia, pengasas Perguruan Si Rumpun Padi dan Pengurus Dakwah & Pendampingan Masjid An-Nur, Ustaz Bahrul-Ulum, memutuskan untuk menulis sebuah buku berjudul 'Silat & Solat'.

Antara lain, buku itu ingin merungkai erti sebenar hubungan antara seni mempertahankan diri dengan tuntutan agama.

Melancarkannya di Masjid An-Nur pada Rabu (7 April), Ustaz Bahrul-Ulum yang mempunyai pengalaman 30 tahun dalam dunia persilatan dan bidang dakwah berharap kisah-kisah yang dialaminya sejauh ini dapat menjadi sumber motivasi serta membawa ilmu yang bermanfaat kepada ramai.

"Dalam buku Silat dan Solat, sebenarnya banyak sangat panduan, adat, motivasi yang sepatutnya kita amalkan. Saya ada menyentuh tentang amalan-amalan khurafat dalam dunia persilatan. Jadi kita dapat bezakan antara adat, ibadat dan syariat. Jadi sesiapa yang membaca buku saya nanti, saya akan berikan contoh-contoh, sama ada ini khurafat, ataupun ini syariat, ataupun dibolehkan atau tidak dibolehkan kerana dalam dunia persilatan ini, banyak sangat adat dan budaya," ujar beliau.

Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Tenaga Manusia Zaqy Mohamad yang hadir sebagai tetamu terhormat majlis pelancaran, memuji pendekatan berdakwah sedemikian sebagai peluang mendekati dan membimbing golongan belia dengan cara lebih berkesan.

"Kita melihat masjid menyesuaikan diri untuk menarik bukan sahaja belia tetapi saya boleh katakan ahli karyawan menerusi kegiatan atau aktiviti yang berlainan tetapi pada masa yang sama, kita kekalkan aspek agama, pengajaran,"katanya.

Tambah Encik Zaqy lagi: "Terutama sekali di sini kami ingin menyediakan mereka dengan kehidupan bermasyarakat dan memberi mereka ajaran agama yang baik."

Buku setebal 334 halaman itu dijual pada harga S$29 di Masjid An-Nur dan bagi setiap pembelian, S$5 akan disumbangkan kembali ke masjid.

- BERITAmediacorp/na

Top