Images
  • dr radiah
    Dr Radiah Salim kongsi pengalaman, penjelasan saintifik dan petikan hadith dalam bukunya. (Gambar: BERITAmediacorp)

Buku 'Kewajipan Berbaloi' beri panduan pelihara kesihatan rohani, jasmani

SINGAPURA: Sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia, Presiden Halimah Yacob dan badan kebajikan Kelab HEAL melancarkan sebuah buku bagi membantu semua peringkat umur memahami lebih baik betapa pentingnya memelihara kesihatan rohani dan jasmani bagi mencegah pelbagai penyakit.

Menariknya, isu-isu kesihatan tidak sahaja dikupas dari sudut saintifik dalam buku bertajuk 'Kewajipan Berbaloi' itu. Presiden Kelab HEAL Dr Radiah Salim yang menulis sendiri buku tersebut, turut berkongsi pengalamannya dan menyelitkan unsur-unsur keagamaan.

"Menjaga kesihatan itu sebenarnya satu tuntutan agama dan dengan kita melakukan demikian yang untung nanti atau meraih manfaat adalah diri kita sendiri," kata Dr Radiah.


Antara topik yang disentuh dalam buku itu termasuk bagaimana keresahan menjadi permulaan banyak penyakit, ketawa sebagai keperluan asas manusia dan membina ketahanan semula jadi.

Keseluruhannya terdapat 30 bab dalam buku berkenaan. Setiap topik dijelaskan dengan padat dan ringkas, diselitkan dengan petikan hadith. Ada juga panduan dan tips bagi pembaca sekiranya mereka memerlukan bantuan.

"Buku ini lain daripada buku-buku yang diterbitkan oleh Kelab HEAL sebelum ini kerana ia mempunyai pendekatan secara holistik. Penekanannya bukan hanya kepada kesihatan mental tetapi kesihatan dari segala seginya," tambah Dr Radiah.


Buku 'Kewajipan Berbaloi' turut diterbitkan dalam Bahasa Inggeris dan boleh didapatkan pada harga $20 dari Kelab HEAL.

Hasil penjualan akan disalurkan kepada badan kebajikan itu bagi menyokong pemulihan para pesakit mental.  

- BERITAmediacorp/aq

Top