Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Buku baru dilancarkan; sorot kisah, gambaran kehidupan sebenar pandemik COVID-19 di S'pura

Dalam usahanya mencari rakyat Singapura yang menyumbang semula kepada masyarakat tatkala pandemik COVID-19, wartawan TODAY, Nabilah Awang, mendapati dirinya mengajar seorang warga emas tentang cara memuat turun danmenggunakan aplikasi persidangan video Zoom untuk menjalankan wawancara secara maya. 

Anggaran Waktu Membaca:
Buku baru dilancarkan; sorot kisah, gambaran kehidupan sebenar pandemik COVID-19 di S'pura

(Gambar: Tessa Oh/TODAY)

Diterbitkan : 01 Sep 2021 08:24AM Dikemas Kini : 01 Sep 2021 08:25AM

SINGAPURA: Dalam usahanya mencari rakyat Singapura yang menyumbang semula kepada masyarakat tatkala pandemik COVID-19, wartawan TODAY, Nabilah Awang, mendapati dirinya mengajar seorang warga emas tentang cara memuat turun serta menggunakan aplikasi persidangan video Zoom untuk menjalankan wawancara secara maya.

Sebelum pandemik, wawancara boleh dilakukan dengan mudah secara bertemu muka.

Bagaimanapun, dengan sekatan dilaksanakan untuk membendung penularan koronavirus itu, Cik Nabilah perlu menjadi ibarat seorang penyedia khidmat digital untuk membawakan laporan yang lengkap.

Liputan berita beliau tentang bagaimana rakyat biasa Singapura menyebarkan keceriaan semasa pandemik adalah antara entri yang memenangi anugerah dan dipaparkan dalam 'Stories of a Pandemic' (Soap), iaitu sebuah buku yang dilancarkan pada Selasa malam (31 Ogos).

Buku itu adalah sebuah antologi kisah-kisah kehidupan sebenar, komentar dan gambar-gambar yang diterbitkan pada tahun pertama pandemik COVID-19.

Ia memaparkan 34 penyertaan yang memenangi anugerah Soap, iaitu anugerah bulanan yang diperkenalkan tahun lalu oleh The Majurity Trust untuk mengiktiraf karya-karya luar biasa yang merakamkan krisis tersebut di Singapura.

The Majurity Trust adalah sebuah pertubuhan dermawan yang ditubuhkan pada 2017. Ia berusaha untuk bekerjasama dengan para penderma serta badan amal melalui kajiannya untuk menyalurkan dana kepada bidang-bidang yang kurang diberi tumpuan dalam masyarakat Singapura.

Selain liputan Cik Nabilah, dua lagi karya oleh TODAY turut diterbitkan dalam buku itu:

- Liputan berita Cik Nabilah tentang nasib para pekerja warga Malaysia yang terkandas di Singapura ekoran penutupan sempadan Malaysia pada Mac tahun lalu

- Liputan oleh wartawan kanan TODAY, Navene Elangovan, dan bekas wartawan TODAY, Tan Yin Lin, mengenai reaksi orang awam terhadap pendedahan bahawa polis boleh menggunakan data TraceTogether untuk siasatan jenayah.

Cik Nabilah berkata: (Walaupun) terdapat banyak cabaran ketika membawakan laporan itu (tentang rakyat Singapura menyebarkan keceriaan), saya rasa semua hasilnya baik saja apabila anda mendengarkan pengalaman mereka.

Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat, tetamu kehormat di majlis pelancaran buku tersebut, menyentuh tentang kisah yang ditulis Cik Nabilah dalam ucapan pembukaan beliau dengan mengatakan betapa rakyat Singapura bersatu padu untuk saling menyokong satu sama lain ketika krisis melanda.

“(Ia) menunjukkan betapa orang ramai memberi respons dan saling menjaga satu sama lain. Ini meskipun mereka mempunyai cabaran sendiri dengan segelintir daripada mereka kehilangan pekerjaan mereka," ujar beliau.

Semasa ucapannya, Encik Heng merenung kembali pengalaman Pemerintah dalam menangani pandemik. Beliau juga bercakap tentang bagaimana pengorbanan para pekerja jagaan kesihatan di barisan hadapan memberi inspirasi kepadanya.

Di majlis pelancaran buku itu, sebahagian pemenang anugerah yang hadir berkongsi tentang kerja-kerja di sebalik tabir untuk menerbitkan karya mereka.

Antaranya ialah usahawan sosial Cai Yinzhou yang memenangi anugerah Soap pada Februari tahun lalu bagi karyanya mengenai saranan untuk melindungi masyarakat pekerja hijrahan di Singapura.

Beliau ialah pengarah Citizen Adventures, sebuah syarikat yang menganjurkan lawatan dan inisiatif sosial di Geylang serta Dakota Crescent. Encik Chai sudah lama bergiat memperjuangkan kebajikan pekerja hijrahan.

Masyarakat pekerja hijrahan di sini masih berdepan cabaran seperti keadaan tidak menentu dari segi kewangan dan masalah kesihatan mental sekarang, kata beliau di acara pelancaran itu.

Beliau percaya ia akan mengambil masa yang lama sebelum keadaan di dormitori, yang menjadi tumpuan tahun lalu, bertambah baik.

Pelukis ilustrasi Josef Lee dan jurugambar Edwin Khoo, yang kedua-duanya memenangi anugerah dalam kategori Visual Terbaik, bercakap tentang bagaimana karya mereka membolehkan mereka berasa seperti melakukan pekerjaan "penting" sewaktu pandemik berada di kemuncaknya, ketika perhatian tertumpu kepada pekerja penting. 

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan