Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bukan setakat NDP, Hamzah Osman hias lobi lif setiap tahun demi eratkan hubungan jiran tetangga

Jika anda menjejakkan kaki ke ruang lobi lif di luar rumah Encik Hamzah Osman, semangat anda sebagai anak watan Singapura mungkin akan berkobar-kobar!

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Jika anda menjejakkan kaki ke ruang lobi lif di luar rumah Encik Hamzah Osman, semangat anda sebagai anak watan Singapura mungkin akan berkobar-kobar!

Manakan tidak, tolehlah ke sudut yang mana sekalipun, anda pasti akan melihat bendera Singapura. BERITAMediacorp diberitahu, terdapat bukan satu, bukan dua tetapi sekitar 65 bendera Singapura digunakan untuk membangkitkan suasana sempena ulang tahun negara yang ke-53 pada 9 Ogos nanti.

Ruang lobi di luar rumah Encik Hamzah (Gambar: Hamzah Osman)
Bendera-bendera Singapura dalam pelbagai saiz dan bentuk memenuhi lobi lif rumah Encik Hamzah (Gambar: Hamzah Osman)

Gambar Ihsan: Hamzah Osman 

Dedikasi Encik Hamzah Osman untuk terus menjalin hubungan baik dan mesra dengan jiran tetangganya memang tidak dapat dipertikaikan.

Saban tahun, beliaulah orang pertama yang akan memeriahkan sambutan perayaan-perayaan utama Singapura dengan memastikan lobi lif di luar rumahnya kelihatan begitu meriah. Semua ini untuk dinikmati bersama jiran tetangganya.

Dengan sambutan Hari Kebangsaan yang bakal menjelang tidak lama lagi, semangat perpaduan seperti itu sekali lagi ditonjolkan oleh Encik Hamzah.

Membuka cerita tentang koleksi bendera yang begitu banyak itu, Encik Hamzah memberitahu BERITAMediacorp, beliau sebenarnya hanya bermula dengan sehelai bendera kira-kira lima tahun lalu. Namun, bendera yang satu itu sudah ‘beranak’ sehingga dapat memenuhi seluruh ruang lobi lif di luar flat Encik Hamzah.

"Oleh sebab saya terlupa di mana saya menyimpan bendera-bendera itu, saya akan membeli baru setiap tahun. Pernah terjadi juga saya terbeli bendera yang salah. Sebab itu ada yang digantung di tembok, ada yang di tiang dan ada yang di siling," ujar beliau sambil tertawa.

Tanpa jemu, juruteknik seni bina berusia 50 tahun itu akan menghiasi ruang lobi lif mengikut tema-tema perayaan di flat beliau yang terletak di Ang Mo Kio.

Sebelum ini, BERITAMediacorp pernah melaporkan tentang hiasan sempena sambutan Tahun Baru Cina yang kelihatan begitu eksklusif. Encik Hamzah juga menyingsing lengan untuk mencantikkan ruang tersebut sempena Krismas.

Gambar: Hamzah Osman / Facebook 

Menurut Encik Hamzah, jiran tetangga beliau yang semuanya berbangsa Cina akan turut membantu, seperti menyusun perhiasan yang bermotifkan Tahun Baru Cina.

Cik Doris Teo, yang sudah berjiran dengan Encik Hamzah selama 16 tahun amat mengalu-alukan usaha yang kini sudah menjadi tradisi tahunan bagi mereka. Cik Doris juga berasa bangga untuk berkongsi kemeriahan di ruang lobi lif tersebut, dengan memuat naik gambar-gambar di Facebook beliau.

"Saya amat menghargai apa yang beliau lakukan untuk kami semua. Ia memeriahkan lagi blok kami dan beliau selalu memberi kami kejutan", tambah Cik Doris yang sudah menganggap Encik Hamzah seperti keluarganya sendiri.

RINDU ‘SEMANGAT KAMPUNG’ SEWAKTU MEMBESAR DAHULU

Walaupun gambar-gambar hiasannya seringkali viral di media sosial, Encik Hamzah menekankan bahawa niat beliau bukan untuk mendapatkan publisiti. Beliau sebaliknya sekadar ingin menghidupkan kembali semangat patriotik serta kejiranan yang sukar dirasakan di Singapura sekarang.

“Saya amat bangga sebab jiran-jiran dan teman-teman saya memberi sokongan dan mereka rasa gembira tentang kebolehan saya membuat sesuatu yang berlainan daripada tempat-tempat lain,” kata Encik Hamzah kepada BERITAMediacorp.

Beliau turut merindui semangat kampung yang dinikmati ketika membesar dahulu dan mengaku masih mengamalkan beberapa kebiasaan lama seperti tidak mengunci pintu ketika keluar ke kedai.

Maka tidak hairanlah jika Encik Hamzah juga bergiat dalam kegiatan-kegiatan kemasyarakatan seperti program ‘Community in Bloom’ di bawah naungan Lembaga Taman Negara (NParks).

Gambar: Hamzah Osman / Facebook

Selaku duta inisiatif tersebut, beliau bertanggungjawab memelihara kebun masyarakat dan sering mengongsi kepakaran tentang cara-cara bercucuk tanam kepada para pelajar serta anggota masyarakat. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan