Images
  • computer
    Gambar hiasan. (Gambar: REUTERS/Kacper Pempel/Illustration/File Photo)

Bukan hanya tanggungjawab pemerintah tangani isu kepalsuan online disengajakan

SINGAPURA: Tugas menangani kepalsuan online yang boleh menjejas perpaduan sosial, tidak boleh dipikul oleh pemerintah semata-semata.

Masyarakat juga perlu diperkasa untuk mengesan kepalsuan sebegitu, misalnya, menerusi penggunaan teknologi dan kempen celik media.

Demikian antara pandangan yang dikemukakan anggota masyarakat awam di perbincangan awam tentang kepalsuan online yang disengajakan hari ini (27 Mac).

Peguam, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, menarik perhatian kepada kesan kepalsuan online yang disengajakan ke atas masyarakat Melayu.

PENDEDAHAN MASYARAKAT KEPADA TEKNOLOGI "BLOCKCHAIN"

Beliau prihatin maklumat berkaitan agama yang tidak diteliti konteksnya dan mungkin tidak sesuai dengan keadaan kehidupan di Singapura boleh menjejas perpaduan sosial.

Beliau menyarankan pihak MUIS menggunakan teknologi 'blockchain' untuk orang ramai mengesahkan sebarang dokumen yang diterbitkan olehnya untuk memudahkan masyarakat mendapatkan maklumat yang sahih.

"Mungkin anda boleh berikan perincian sedikit bagaimana teknologi ini boleh digunakan bukan sahaja oleh MUIS tetapi juga pemerintah secara amnya," kata Anggota Parlimen GRC Jurong Cik Rahayu Mahzam.

Bagaimana pula orang ramai boleh gunakan teknologi ini untuk mendapatkan kesahihan sesuatu berita?

"Penggunaan 'block chain' ini merupakan satu wadah untuk mengesahkan maklumat kerana ia ditetapkan di rangkaian komputer yang boleh dilihat oleh orang ramai. Maklumat di dalamnya senang disahkan," jelas Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.

INDIVIDU BOLEH AMBIL INISIATIF SEPERTI ENCIK HAZRUL

Encik Hazrul A Jamari, seorang usahawan pula berkongsi pengalamannya sendiri dalam mengambil inisiatif untuk memperbetulkan kepalsuan online.

Ia berhubung berita palsu yang disebarkan dalam kalangan masyarakat Melayu tentang status halal sebuah produk makanan.

Beliau menekankan pentingnya sikap proaktif daripada masyarakat untuk menghentikan penyebaran berita palsu.

"Ia semakin tersebar luas dan saya mengambil inisiatif untuk menghubungi Unilever dan memohon penjelasan. Ia memberi jawapan pada hari yang sama dan memaklumkan bahawa ia tidak mengedarkan atau menjual stok Knorr tidak halal di Singapura atau Malaysia," kata Encik Hazrul.

RUANG SELAMAT DI ALAM SIBER BAGI SOALAN KEAGAMAAN

Akur bahawa usaha menangani kepalsuan online juga satu tanggungjawab masyarakat ialah Encik Abbas Ali Mohamed Irshad, Pengasas Roses of Peace, satu inisiatif antara agama.

Beliau berkata para sukarelawannya mahu mewujudkan ruang selamat di alam siber bagi orang ramai bertanya soalan-soalan tentang agama.

"Mereka bukan anggota upahan siber seperti ada yang menganggapnya. Mereka, selain mendekati masyarakat siber, menerusi Facebook atau wadah lain, mungkin berkongsi respons tertentu kepada satu soalan yang dikemukakan oleh rakyat, daripada pertubuhan agama atau pemimpin," kata Encik Abbas.

Beliau menambah tujuan mereka adalah untuk membangunkan sebuah Singapura yang bersatu-padu. 

- BERITAMediacorp/aq

Top