Images
  • masagos 1 (1)
    Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli semasa berucap di majlis pelantikan 27 pemimpin MESRA bagi penggal ke-15. (Gambar-Gambar: Masagos Zulkifli/Facebook)

Bukan anjur acara bahasa dan budaya saja, MESRA perlu dekati 'seluruh masyarakat Melayu'

SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli berkata MESRA tidak seharusnya sekadar menganjurkan acara-acara masyarakat bertemakan bahasa dan kebudayaan sahaja.

Sebaliknya, MESRA harus mendekati "seluruh masyarakat Melayu" serta "menumpukan lebih banyak perhatian, masa dan sumber" dalam melakar strategi bagi mendekati rakyat dengan lebih sistematik dan berkesan.

Malah, lebih daripada itu Encik Masagos juga menyeru MESRA supaya melakar pelbagai program untuk memperkukuh perpaduan sosial "dengan lebih mendalam, bukan sekadar di permukaan sahaja".

Beliau berucap demikian di majlis pelantikan 27 pemimpin MESRA bagi penggal ke-15 pada Selasa (9 Jul).

PERLUKAN DIALOG YANG JUJUR

Sebagai sebuah badan Melayu, MESRA - atau Majlis Penyelaras Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat - antara yang terbesar di Singapura kerana mempunyai hampir 100 cawangan atau Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) di seluruh negara.

Bermula dengan pelbagai kegiatan bercorak bahasa dan budaya, MESRA sejak akhir-akhir ini menjalankan beberapa inisiatif bagi memupuk persefahaman antara kaum demi memperkukuh perpaduan sosial.

Ini termasuklah gerakan mendekati rakan-rakan kaum Cina untuk mengagihkan buah-buah oren di Chinatown semasa musim Tahun Baru Cina awal tahun ini.

Memuji inisiatif seperti itu sebagau "amat bermakna dan baik", Encik Masagos bagaimanapun mahu usaha lebih mendalam lagi dilakukan.

"Bukan sekadar permukaan sahaja, PA MESRA harus mendalami isu-isu dengan lebih terperinci. Ini memerlukan daya perbincangan dialog yang jujur, walaupun kadangkala ia amat sulit dan sensitif untuk diketengahkan. Ini harus dilakukan dengan cara yang baik dan berhemah," kata beliau di majlis tersebut.

Tugas yang dibentangkan Encik Masagos itu kini akan dipukul oleh Pengerusi terbaru MESRA, Cik Amatul Jameel Suhani, yang juga merupakan wanita pertama memegang jawatan itu. Beliau mempunyai 18 tahun pengalaman dalam kegiatan-kegiatan akar umbi.


Selain memperkukuh hubungan silang kaum dan agama, MESRA juga diseru memperkukuh jangkauannya kepada seluruh masyarakat Melayu.

Encik Masagos, yang juga merupakan Menteri Sekitara dan Sumber Air, menekankan betapa sebagai para pemimpin akar umbi, para anggota MESRA harus mengenali para penduduk dengan lebih dekat.

"Contohnya, anda harus tahu keluarga mana mempunyai anak yang berada di peringkat prasekolah tetapi masih belum lagi mendaftar atau menghadiri kelas prasekolah.

"Anda harus menjadi orang pertama di kalangan masyarakat untuk memberi arah tunjuk tentang cara-cara bagaimana seorang penduduk yang mempunyai seorang anak yang ingin memohon biasiswa...

"Anda juga harus tahu keluarga mana yang mempunyai warga emas yang mungkin menghidap penyakit krinik dan memerlukan bantuan kewangan untuk menampung kos perubatannya," kata Encik Masagos membutirkan contoh-contoh peranan yang patut dilaksanakan.

Pengerusi MESRA yang baru itu nampaknya sudah ada perancangan awal.

"Kami ingin menggalakkan lebih ramai daripada keluarga-keluarga yang telah meraih manfaat daripada program-program yang telah kita lakarkan di bawah inisiatif M³ supaya tampil ke hadapan untuk menyumbang khidmat mereka kepada masyarakat supaya bukan saja masyarakat Melayu dapat memanfaatkannya, malah masyarakat lain juga," kata Cik Suhani.

Beliau menambah, beberapa pembaharuan akan diterapkan pucuk pimpinan MESRA yang baru itu. Satu daripadanya adalah pelibatan lebih aktif golongan belia.

Sayap belia itu akan dipimpin Encik Muhd Fauzi Sani, yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kecil Belia MESRA.


Baru-baru ini, beliau menerajui jawatankuasa bagi Pesta Belia anjuran MESRA, MENDAKI dan MUIS, atau M³.

"Untuk masa depan, jawatankuasa kita ingin memperkasakan belia-belia yang datang daripada latar belakang yang berbeza untuk memberi mereka peluang mencapai inspirasi dan aspirasi mereka," kata Encik Muhd Fauzi.

Menurut Encik Masagos, dengan mengembangkan peranan MESRA, ia mampu membantu masyarakat mencapai visi Masyarakat Melayu Gemilang yang dibentangkannya semasa Majlis Perjumpaan Hari Raya baru-baru ini.

- BERITAmediacorp/ai

Top